Theflowersellingboy

Khamis, 22 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah.......bah.5

Cerita pembantu rumah kali ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri.

Saya dan isteri adalah pasangan rumah tangga yang bekerjaya. Itulah kesepakatan yang kami persetujui, tiada seorang pun yang perlu berhenti kerja apabila kami mendirikan rumah tangga.

Tidak ada keperluan untuk khidmat pembantu rumah semasa kami berdua saja. Semua urusan rumah tangga seperti masak memasak, mengemas, membersih dan mencuci rumah dalam dan luar termasuk longkang adalah tanggongjawab dan diuruskan sendiri. Beres.

Apabila kami dikurniakan cahaya mata pertama maka bermulalah dalam kehidupan kami keperluan bagi mendapat khidmat pembantu rumah yang dulunya kami panggil sebagai orang gaji. Kadang-kadang dalam perbualan dengan kawan-kawan, pembantu rumah ini kami kami panggil sebagai servant. Dan ibubapa kami pula lebih mesra dengan sebutan amah. 

Kami sebenarnya adalah diantara sebilangan kecil pasangan yang bernasib baik . Dari hari pertama kami dikurniakan cahaya mata sulong sehingga anak bongsu yang kesemuanya berjumlah enam orang, kami dibantu oleh keluarga iaitu ibubapa dan adik beradik serta saudara mara dari kedua belah pihak. Ada yang memberi bantuan dalam tempoh masa yang pendek misalnya sebulan dua dan ada yang secara kekal, tinggal bersama kami. Dengan demikian kami mengucapkan jutaan terima kasih dan mendoakan semoga segala budi dan jasa baik itu akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. 

Sesungguhnya  kami juga tidak akan lupa belaian kasih sayang yang telah diberikan oleh aruah nenek (nenek isteri yang dipanggil emak) yang tinggal bersama kami menjaga dan mengasuh kesemua enam orang anak-anak kami. Semoga Allah memasukkan roh aruah dikalangan orang-orang solehah yang diredhai.ALFATIHAH dari kami. Begitu juga emak saudara (sebelah isteri) yang bersama-sama nenek tinggal bersama kami. Segala kasih sayang yang diberikan kepada kami dan anak-anak tetap dikenang dan kami mendoakan agar makcik sentiasa sihat wal afiat dan diberi ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.   

Jadi adakah kami tidak mengambil pembantu rumah? Ambil, kami tetap perlukan bantuan dari pembantu rumah atau orang gaji.

Maka bermualah cerita pembantu rumah sebagai sebahagian dari pengalan hidup kami.

Sehingga anak kami yang bongsu iaitu anak keenam, kami mempunyai seorang pembantu rumah pada sesuatu masa. Cuma yang berbeza ianya bukan orang yang sama. Dalam kata lain sepanjang kami mempunyai pembantu rumah bilangan yang telah kami ambil adalah seramai 5 orang dalam tempoh kurang lebih 15 tahun. Purata seorang bagi tempoh 3 tahun. Tetapi tidak semestinya begitu. Ada yang tidak sampai beberapa bulan atau tidak mencukupi setahun. Ada yang lama melebihi 2 atau 3 tahun. Maknanya yang berhenti cepat itu ada sebab yang tertentu.

Saya tidak 'mesra' dengan mereka. Hanya sekali sekala menyatakan sesuatu atau meminta membuat sesuatu. Isteri, nenek dan makciklah yang sentiasa berkomunikasi menentukan kerja yang perlu dibuat. Tetapi kerja itu tidak termasuk menjaga dan mengurus dan mengasuh anak. Kerja-kerja ini menjadi monopoli makcik dan nenek terutama nenek yang tidak yakin untuk menyerahkan kepada orang lain. Maklumlah cicit nenek.

Secara amnya saya dapati kerja-kerja yang dilakukan tidaklah berat cuma masa rihat agak terhad. Untuk berhubung dengan orang diluar adalah sulit sekali kerana kehadiran nenek dan makcik. Waktu itu tiada talipon tangan. Maka saya percaya kehidupan mereka di rumah kami sebagai pembantu rumah amat menjemukan sekali. Tetapi mereka adalah pembantu rumah, itulah kedudukan mereka yang mempengaruhi kami bersikap demikian. Namun jika mereka perlu bercuti untuk balik kampong kami tidak pernah menghalang.
   
Dari segi upah ketika itu, kami bayar sebanyak RM400.00 sebulan. Kami merasakan upah sebanyak itu adalah wajar bagi kerja yang dilakukan. 

Ada masalah?

Sudah tentu ada masalah. Pertama rasa tidak puas hati isteri ,nenek dan makcik terhadap kerja-kerja yang dilakukan. Tidak sampai ke tahap yang diharapkan. Tetapi yang baiknya mereka semua tidak pernah memarahi pembantu rumah itu. Yang agak merunsingkan ialah segala rungutan itu atau rasa tidak puas hati itu diberi tahu kepada saya. Bukan bermaksud untuk meminta saya memarahi pembantu rumah itu tetapi sekadar melepaskan 'geram' saja. Saya pun tidak berminat untuk memarahi pembantu rumah itu.

Sebenarnya kami tidak mahu mewujudkan satu keadaan dimana pembantu rumah itu minta segera diberhentikan. Masalah itu yang kami cuba elakkan, seboleh-bolehnya. Bermakna segala rasa tidak puas hati itu hanya disampaikan dalam bentuk melakukan bersama kerja-kerja itu supaya dapat dilihat dan dituruti selepas itu atau telan dan simpan saja dihati, dan paling mudah curahkan kepada saya. Selesai masaalah. Saya pula kerana alah bisa tegal biasa bersikap masuk telinga kiri , keluar telinga kanan. Selesai juga masalah.

Kedua pembantu rumah yang tidak sihat. Pembantu rumah ini kami ambil dari rumahnya. Bersaksikan kedua ibubapanya kami menyatakan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Ada anggokan dari yang hendak bekerja dan ibubapa sebagai tanda sanggiup dan bersetuju dengan kerja yang dilakukan. 

Tidak sampai beberapa bulan, mungkin 2 bulan, pembantu rumah ini mohon berhenti kerja. Beliau tidak mampu melakukan kerja kerana beliau adalah selalu diserang kelelahan. Saya juga seorang yang mengidap penyakiy yang sama tapi tidak seteruk pembantu ini. Dengan demikian saya terlalu faham tentang kemampuan pembantu itu untuk melakukan kerja dalam keadaan selalu diserang lelah. Maka kami bersetuju untuk menghantar balik. Kasihan juga kerana beliau adalah dari keluarga miskin.

Ketiga, pembantu rumah yang panjang tangan. Pembantu ini kami perolehi melalui seorang kawan. Ketika itu tidak ada agensi pengambilan pembantu rumah. Pembantu rumah pula terdiri dari orang tempatan.

Pembantu itu cergas orangnya. Dimaklumkan tamat tingkatan lima tetapi tidak pasti gred berapa yang diperolehi dalam peperiksaan SPM. Saya cuma boleh agak saja, mungkin setakat sijil am saja. 

Tiada siapa diantara kami yang menaruh rasa curiga dan syak wasangka terhadap pembantu ini. Ertinya beliau boleh masuk bebas kedalam mana-mana ruang dalam rumah kecuali bilik kami. Namun saya tidak pasti sama ada beliau pernah memasuki ke bilik kami semasa kami bekerja. Bilik itu sentiasa tutup tapi tidak berkunci.
Suatu hari nenek meberi tahu wang yang disimpannya  telah hilang. Saya tidak tahu dimana wang itu disimpan tetapi saya diberitahu jumlahnya mencecah ribu, empat ribu kalau tidak silap saya. Wang itu adalah hasil simpanan dari pemberian anak cucu termasuklah isteri saya. Tidak pula dibuka akaun simpanan di bank. Orang tua, maklumlah.

Semenjak nenek bersama kami, itulah kali pertama wangnya hilang. Rumah kami tidak dimasukki pencuri atau perompak. Jadi siapa yang ambil? Siapa yang curi?

Kami semuanya berpendapat ianya dilakukan oleh pembantu rumah. Tapi beliau tidak mengaku walaupun saya menyatakan untuk membuat laporan polis. Saya tidak pula membuat laporan polis kerana pada saya ianya tidak perlu dan boleh diselesaikan tanpa siasatan polis. Bagaimana?

Caranya ialah berhentikan saja pekerja itu. Wang yang hilang itu anggapkan bukan rezeki kita lagi. Selesai cerita tanpa melibatkan pihak lain. Lagipun kepercayaan kami kepada pekerja itu telah menjadi negatif, kosong. Langsong tidak percaya.

Selepas peristiwa itu, kepercayaan kami kepada pembantu rumah sudah longgar walaupun kami tahu tidak semuanya begitu. Ini adalah sangka buruk yang tidak baik. Ya, kami sedar tetapi lebih baik mempunyai sedikit kecurigaan dan rasa cemburu daripada mempercayai sepenuhnya. 

Saat yang paling menyenangkan sekali ialah apabila isteri membuat keputusan untuk berhenti kerja. Berhenti kerja bukan fasal kecurian itu. Tapi kedudukan ekonomi telah agak stabil. Sesungguhnya terlalu jauh bezanya diantara khidmat yang diberikan oleh pembantu rumah dengan khidmat isteri yang menguruskan rumah sepenuh masa. Isteripun terlalu suka dan saya terlalu gembira. 

Ertinya sebaik-baik khidmat menguruskan rumah tangga adalah dari isteri sendiri. Isteri gembira, suami ceria dan anak berpesta ria.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan