Cerita Pembantu Rumah bahagian 6 tergendala tarikh paparan akibat dari kerosakan bateri komputer. Bateri semakin lemah dan perlu di ganti. Dengan sebab itu selama empat hari saya tidak dapat membuat sebarang paparan.
Sehingga ke hari ini 27 Mac 2012 bateri masih belum ditukar baru. Tapi entah macam mana komputer boleh pula dihidupkan. Maka saya terus menulis cerita pembantu rumah bahagian ke 6.
Empat hari yang lepas kami menerima kunjungan dari keluarga terdekat di sebelah malam. Banyak perkara yang dibualkan termasuklah kisah pembantu rumah. Tetamu bertanya siapakah yang menjaga cucu kami semasa kedua ibubapa pergi bekerja walaupun tetamu sedia maklum yang menjaganya ialah kami , datuk dan neneknya. Ambil bahasa agaknya, cara memulakan sesuatu cerita bagi orang Melayu.
Tetamu ini tidak langsung menaruh sebarang harapan bagi pembantu rumah ini untuk dapat memberi jagaan yang baik dan sempurna kepada anak kecil. Berbagai kisah sedih duka yang telah diberitahu bersangkutan dengan penjagaan pembantu rumah ini. Tiada yang menyenangkan hati. Anak terbiar, anak diberi ubat tidur, anak dibiarkan hisap jari kaki pembantu rumah sebagai cara untuk mendiamkannya sehingga anak itu ketagih jika tidak dapat menghisap jari kaki, anak dicedera dan di bawa lari dan banyak lagi.
Cerita-cerita seperti itu telah saya maklum dan tahu sebelum itu lagi. Jadi kamipun berkongsi cerita apa-apa yang kami sudah alami dan dengar. Hanya tentang menghisap jari kaki khususnya ibu jari kaki pembantu rumah merupakan satu cerita baru kepada saya. Maka bila mendengar cerita seperti itu, reaksi spontan saya ialah mulut ternganga luas tidak percaya. Tapi selepas beberapa saat, saya dapat merasionalkan diri menerima hakikat bahawa kalau dera dan cedera anak sanggup di lakukan apa perlu dihairankan dengan menyusukan ibujari kaki.
'Beres buuuk, janji bisa ngomong talipon dengan bapak diluar!'
Cerita itu bukanlah yang puncak, bukan yang climax. Ada satu cerita tentang bagaimana tuan rumah sentiasa tunduk dengan kehendak pembantu rumah khususnya yang sisuami. Apa saja yang diminta oleh pembantu rumah tetap dilayan dan di tunai. Mahu handphone, beres saja. Mahu cuti balik kampong, beres saja. Mahu berhenti kerana untuk menjaga anak di kampong , itupun tidak ada masaalah. Dan, tiba-tiba dapat panggilan dari pembantu rumah yang telah berhenti itu mahu bekerja semula, dengan segera tuan rumah bersetuju mengambilnya dan memberhentikan pembantu yang ada. Hebat sungguh 'remote control' pembantu rumah ini. Pembantu rumah itu sentiasa memuji tuan lelakinya yang dikatakan terlalu baik berbanding dengan puan nya.
Cerita pembantu rumah yang berjaya mengawal tuannya ini bukanlah satu fenomina yang baru. Sebelum ini kita juga selalu menyebut 'queen control', merujuk kepada seorang isteri yang berjaya mengawal suami. Disuruh duduk, suami duduk. Disuruh basuh pinggan, tanpa soal jawab pinggan beres dicucikan. Pendek kata semuanya dibawah telunjuk isteri. Kepercayaan dikalangan kebanyakan masyarakat Melayu mengatakan bahawa suami itu telah diberi makan kotor yang dipanggil 'nasi kangkang'. Dijauhi Allah perbuatan yang amat hina itu.
Mungkin kah ini yang telah dilakukan oleh pembantu rumah? Kemungkinan itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Dan tidak pula boleh kita percaya 100 peratus. Adakah kaedah yang kotor itu memberi kesan seperti itu? Boleh menundukkan seseorang untuk turut perintah. Saya tidak tahu.
Saya tidak pasti sama ada cerita itu benar atau sengaja direka cipta untuk menambahkan lagi hilang percaya kita kepada khidmat pembantu rumah. Cuma yang dapat saya pastikan ialah bahawa tanpa kasih sayang, anak kecil itu tidak akan dapat pengasuhan yang sempurna walaupun dari keluarga terdekat, apatah lagi dari pembantu rumah yang tidak ada kaitan kekeluargaan yang khidmatnya dibayar, katanya rendah pula upahnya. Dalam perkataan lain lebih baik kita sendiri uruskan anak kita. Terpaksalah salah seorang berhenti kerja, kalau kesempurnaan jagaan dengan penuh kasih sayang yang ditagihkan. Jika tidak, terimalah risiko seperti yang diceritakan itu. Tapi bagaimana pula dengan kos saraan hidup yang sentiasa meningkat yang mahu tidak mahu suami dan isteri terpaksa bekerja? Serba salah.
Tapi kadang-kadang ada yang bernasib baik mendapat penjaga yang benar-benar mahu menjaga anak. Menjaga anak dengan penuh kasih sayang. Jadi tidak semua pembantu rumah yang berkelakuan tidak senonoh itu. Cuma tidak ramai yang bersifat mulia itu.
Jadi dalam keadaan seperti ini kita wajar memikirkan jalan keluar yang terbaik supaya anak-anak kecil kita, satu aset negara yang amat penting untuk satu kehidupan yang sejahtera pada masa depan. Tidak ada apa-apa makna jika negara mewarwarkan tentang kepentingan modal insan tanpa melihat masalah penjagaan anak-anak kecil ini. Ini adalah satu keutamaan bagi negara. Jangan kaitkan dengan kemampuan kewangan apabila saja ada cadangan bagi kerajaan membiayai dari sumber negara bagi mengadakan secukupnya kemudahan penjagaan anak-anak kecil ini.
Saya percaya sumber negara lebih dari cukup jika diuruskan dengan tertib , sempurna dan beramanah. Tiada pembaziran, tiada kehilangan dan kecurian dan tiada rasuah.
Saya akan menyentuh tentang hal ini iaitu pendekatan yang perlu diambil dalam hal menguruskan penjagaan anak-anak kecil pada paparan akan datang.
Buat sementara kami suami isteri akan meneruskan jagaan cucu kami kerana kami memang tidak mengharapkan atau menaruh harapan kepada pembantu rumah memberikan jagaan dengan penuh kasih sayang walaupun bukan anaknya sendiri tetapi sebagai insan kecil yang perlu dibelai dengan penuh kasih sayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan