Theflowersellingboy

Selasa, 13 Mac 2012

Badminton All England....yang dapat saya pelajari

Pada dua malam yang lepas, saya telah menonton pertandingan akhir badminton All England yang tekemuka itu yang ditayang secara langsong melalui sebuah saluran tv. Malaysia hanya mempunyai wakil dalam perseorangan lelaki kerana yang lain telah tewas diberbagai peringkat dalam perjalanan ke peringkat akhir. Tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang telah berjaya ke peringkat akhir. Kepada yang lain berusaha keras dengan semangat yang kental. 

Saya tidak mengikuti semua perlawanan sebab di saluran lain ada siaran secara langsong bola sepak antara MU dengan WBA. Apabila waktu rehat bola sepak, saya bertukar saluran menonton badminton. Kebetulan perlawanan diantara bergu lelaki Cina dan Korea. Saya amat hormat dan kagum sekali dengan bergu pasukan Korea. Bukan saja pada perlawanan ini bahkan dalam mana-mana perlawanan yang di sertai pasukan Korea. Semangat mereka terlalu kuat dan kental. Tidak pernah mahu mengaku dan menyerah begitu mudah kepada pihak lawan walaupun pada kedudukan yang amat genting, pada mata akhir pihak lawan. Lawan tetap lawan. Tidak lembik tidak seperti seorang pemain perseorangan kita yang nampaknya mudah jatuh semangat dan lembik.

Bergu Korea itu telah kalah pada set pertama kepada juara bergu dunia dari Cina itu. Tapi seperti dalam pertandingan kejohanan yang lain bergu Korea itu tidak mudah menyerah. Set kedua, dengan semangat yang kental dan penuh keyakinan, bergu Korea itu telah berjaya membawa perlawanan ke set ketiga, set penentu. Akhirnya, meraih kemenangan yang sungguh manis bagi mereka dan yang penting kepada negara Korea.

Saya juga mengikuti persaingan bergu campuran diantara pasukan Denmark dan Indonesia. Sebenarnya saya telah tersalah sangka. Saya sangkakan bergu kita menang dalam persaingan dengan Indonesia diperingkat separuh akhir, tetapi sebaliknya. Tapi saya teruskan juga  menonton. Yang menarik disini ialah arahan-arahan yang di berikan kepada pemain-pemain oleh koc diwaktu rehat. Suara arahan koc dapat didengar. Cuma saya faham apa yang di perkatakan koc dari Indonesia sebab mereka gunakan bahasa negaranya Indonesia yang tidak jauh bezanya dengan bahasa Melayu.

Bergu campuran Indonesia itu berjaya menewaskan bergu Denmark. Seperti biasa mereka akan di beri peluang untuk menyatakan sesuatu bagi meraikan kejayaan. Maka terdengar pertanyaan dari Liyana Natsir ( minta maaf saya kurang pasti nama sebenar pemain itu) pasangan wanita, bergu campuran Indonesia itu kepada penemuramah, "Speaking Indonesia?"  Maksudnya adakah dia dikehendaki menyampaikan dalam bahasa Indonesia.  Mungkin tiada jurubahasa maka pemain Indonesia itu telah menyatakan kesanggupan bercakap dalam bahasa Inggeris, 'little English'. Begitu yakin sekali pemain Indonesia ini walaupun bahasa Inggerisnya hanya 'little English' saja. Yakin tetap yakin, itulah semangat pemain ini.

Secara tiba-tiba saya teringat akan perlawanan diperingkat sebelumnya yang melibatkan pasukan bergu campuran Cina dan bergu negara kita. Diwaktu rehat pada mata 11, koc masing-masing negara iaitu Cina dan Malaysia seperti biasa memberi arahan kepada pemain masing-masing. Saya tidak faham apa yang dikatakan oleh koc dari Cina itu kerana bahasa yang digunakan saya yakin bahasa Mandarin walaupun saya tidak faham. Yang pasti bukan bahasa Melayu. Itu memang sewajarnyalah, guna bahasa negara.  Saya tidak boleh dipersalahkan kerana tidak faham, bukan bahasa rasmi negara Malaysia.

Saya juga tidak faham arahan dari koc Malaysia kepada pemain negara kita itu kerana saya terlalu pasti mengikut pendengaran saya ianya bukan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu. Besar kemungkinan dalam bahasa Mandarin atau dailek Cina yang lain. Mengapa jadi begitu? Adakah pemain-pemain  itu tidak mewakili Malaysia? Adakah kerana mereka itu warga berbangsa Cina Malaysia dan koc juga dari warga dan keturunan yang sama tidak perlu menggunakan bahasa rasmi Malaysia, bimbang mereka tidak dapat berhubung dan menyampai serta menyerap maksud yang diperkatakan secara yang lebih berkesan? 

Saya tidak mahu jawab soalan-soalan diatas kerana tidak perlu. Hanya saya hendak nyatakan bahawa kalau sebenarnya kita warga Malaysia dan mewakili Malaysia tunjukkan identiti kita sebagai warga Malaysia, tidak kira apa saja latarbelakang dan keturunan kita. Bahasa adalah salah satu identiti kita. 

Kalaupun tidak mahu menggunakan bahasa negara, bahasa Melayu dalam tuturan harian dirumah, kerana kita lebih selesa bahasa dirumah kita, tapi dalam acara yang rasmi, tunjukkanlah yang kita ini punya negara yang punya bahasa.

Walaupun Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri disebabkan kecederaan tapi saya sungguh kagum semangat beliau yang mahu berlawan. Hanya apabila kesakitan tidak lagi dapat ditahan beliau terpaksa menarik diri. Saya percaya dengan penuh kekesalan. Yang menarik sekali ialah air muka yang ditunjukkan oleh lawannya dari Cina, Lin Dan setelah Chong Wei memberi isyarat untuk tidak dapat meneruskan permainan dan secara otomatik memberi kemenangan kepada Lin Dan. Air muka Lin Dan tidak menyambut dengan ceria. Beliau nampaknya kecewa menang percuma. Begitulah rupanya seorang yang benar-benar mahu jadi juara. Jadi juara yang berlawan, bukan juara percuma.

All England, ada juga yang saya pelajari walaupun menonton sehingga larut malam. Berbaloi.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan