SBPA tidak akan dilaksanakan. Itu yang telah diputuskan kerajaan dan telah diumumkan pada 8 Mac 2012. Satu Suruhanjaya akan di tubuhkan bagi mengkaji dan memperakukan saraan penjawat awam ini. CUEPACS yang mewakili penjawat awam mengharapkan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
Buat sementara penjawat awam akan merasa kenaikan gaji dengan menggunakan kaedah penyelarasan berasaskan SSM dengan memberi kadar peratusan yang tinggi kepada penjawat awam di peringkat rendah dan kadar peratusan yang rendah bagi peringkat tinggi.
Bagi CUEPACS yang mewakili penjawat awam, ada kecacatan pada SBPA ini.
Bagi saya kecacatan yang paling ketara ialah SBPA melebarkan jurang pendapatan diantara peringkat rendah dengan peringkat tinggi dikalangan penjawat awam. Ianya tidak berlaku adil dan tidak ada ikhsan keatas mereka yang berpendapatan rendah yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
Saya percaya jurang pendapatan yang melebar ini jugalah yang tidak dipersetujui oleh CUEPACS. Ianya tidak adil.
Mengapa disaat-saat akhir kerajaan memutuskan SBPA tidak dilaksanakan? Saya mengatakan disaat-saat akhir ialah kerana penjawat awam telahpun diminta untuk membuat pilihan sama ada kekal dalam SSM atau menerima SBPA.
Saya berpendapat bahawa Kerajaan dalam kedudukan tertekan. Desakan CUEPACS untuk satu saraan yang boleh diterima adalah satu tekanan. Tetapi ianya bukan satu tekanan sehingga membuatkan kerajaan membatalkan SBPA. Dulupun CUEPACS pernah membuat desakan untuk mendapat bayaran bonus dan kenaikan gaji.
Apa respons kerajaan ketika itu?
Kerajaan dengan mudah memberi jawapan bahawa kerajaan akan berbelanja mengikut kemampuan. Dan jika layanan CUEPACS diterima maka tanggongan kewangan kerajaan akan meningkat, negara boleh jadi bengkrap. Kerajaan tidak melaksanakan diluar kemampuan walaupun kerajaan tidak jadi popular. Mudah saja kerajaan mengenepikan permintaan CUEPACS ketika itu.
Itu jawapan kerajaan sebelum mendekati pilihanraya. Itu juga jawapan kerajaan semasa kekuatan parti pembangkang dirasakan tidak dapat mencabar kekuatan parti kerajaan.
Respons ketika ini nadanya agak lunak pada saat-saat akhir. Bermakna pada peringkat awal kerajaan merasakan kenaikan gaji penjawat awam adalah merupakan satu beban dan boleh menjadikan negara bengkrap. Malah kerajaan memperlekehkan cadangan parti pembangkang untuk menaikkan elaun guru dengan mengatakan cadangan parti pembangkang itu adalah satu tindakan 'populist'.
Ia menjadi lunak adalah kerana ada saingan yang hebat dari parti pembangkang. Parti pembangkang menyatakan persetujuannya dengan apa yang dipohon oleh CUEPACS.
Apa pilihan yang ada pada kerajaan dalam suasana untuk berhadapan dengan pembangkang dalam pilihanraya yang akan datang dari segi mendapat sokongan dari penjawat awam? Jawapannya jelas sekali bahawa permintaan dari CUEPACS itu perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Maknanya pendirian kerajaan adalah sama dengan pendirian parti pembangkang.
Kalaulah begitu pendirian kerajaan, ianya bermakna bahawa kerajaan bertindak disebabkan kekhuatiran terhadap undi penjawat awam yang akan berpindah pada pembangkang. Ertinya tekanan dari pembangkang.Dalam kata lain bukanlah hasrat mula kerajaan untuk melayan tuntutan CUEPACS itu. Hasratnya adalah pada penghujung setelah mendapat tekanan.
Tetapi mampukah wang negara? Tidak bengkerapkah negara? Bukankah itu alasan yang selalu digunakan oleh kerajaan dalam berhujah menolak sesuatu cadangan misalnya tidak mengurangkan subsidi petrol?
Atau negara telah mengenalpasti sumber baru bagi membiayai tambahan tanggongan kewangan berikutan dengan perlaksaan saraan baru penjawat awam yang melibatkan kenaikan perbelanjaan awam ?
Saya berpendapat bahawa sekiranya polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat dalam mengurus tadbir harta negara masih lagi dikekalkan seperti sediakala, seperti yang diwarisi dan yang sedia ada ini, negara tidak akan mampu untuk membiayai kenaikan saraan penjawat awam. Negara akan bengkerap.
Polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat urus tadbir yang ada dan yang diwarisi adalah terarah kepada penyalahgunaan kuasa, rasuah, tidak ada pertanggongjawaban, tidak telus, menggalakan pembaziran, dan tidak adil dan berat sebelah.
Disebabkan itu, maka negara telah mengalami kerugian berbilion ringgit. Tidak perlu rasanya ditunjukkan contoh. Pertama sebahagian besar kita sudah maklum. Kedua, senarainya terlalu panjang.
Adakah kita perlu berhutang bagi membiayai kenaikan saraan penjawat awam ini? Saya berpendapat, kita tidak wajar berhutang untuk membiayai belanja mengurus. Kita buat pinjaman untuk tujuan pembangunan bagi menjana hasil.
Adakah kita mampu berhutang lagi dalam kedudukan negara yang mempunyai hutang yang terlalu tinggi? Kita ada had dari segi undang-undang untuk berhutang. Difahamkan hutang negara telah sampai ketahap yang maksima.
Jadi bagaimana kerajaan mendapatkan sumber tambahn bagi membiayai kenaikan saraan penjawat awam seperti yang dituntut CUEPACS nanti?
Jalan yang ada ialah melalui pengenalan sumber baru. Satu darinya ialah dengan mengenakan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada. Maka cukai barangan dan perkhidmatan yang tertangguh dulu akan sudah tentu menjadi pilihan yang terbaik.
Itulah cara yang menjadi pilihan utama kerajaan. Kenakan cukai.
Untuk menyemak dan membetulkan polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat bagi memandu tadbir urus negara kearah yang lebih bersifat kebertanggongjawaban bukan menjadi pilihan.
Maka bersedialah kita untuk cukai baru dan kadar cukai tambahan nanti. Maknanya kos sara hidup rakyat termasuklah penjawat awam akan menjadi lebih tinggi. Kenaikan gaji itu tidak memberi kuasa beli yang bertambah. Ada kemungkinan wang yang bertambah yang akan diterima nanti akan hanya boleh memberikan kita barangan dan perkhidmatan yang berkurangan dari segi kuantiti dan mutu.
Melainkan kerajaan berubah dari segi polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat dalam mengurus tadbir negara, kenaikan saraan penjawat awam ini dan apa-apa bentuk program dan skim yang dilaksanakan untuk rakyat tidak banyak membantu merengankan beban sara hidup rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan