Theflowersellingboy

Jumaat, 30 Mac 2012

Pendekatan Kepada Penyelesaian Pembantu Rumah

Enam bahagian paparan yang lepas, saya banyak menceritakan fasal hubungan diantara pembantu rumah dan majikan. Pertama, sikap dan saikologi majikan terhadap pembantu rumah. Kedua, berbagai cerita tentang pembantu rumah yang kesemuanya menjurus kepada ketidakjujuran dalam menjalankan tugas. Sebenarnya antara pertama dan kedua itu ada kesan-mengesannya.

Secara amnya majikan menganggap pembantu rumah adalah pekerja bertaraf rendah, mempunyai tahap pendidikan rendah, dari kalangan orang miskin yang memerlukan sangat pekerjaan dan tidak mempunyai peluang untuk kerja selain jadi pembantu rumah. Dengan demikian pembantu rumah ini tidak sama dengan pekerja lain dalam pasaran buruh. Tarafnya terlalu rendah.

Mereka diambil bekerja tanpa adanya  syarat dan terma perkhidmatan yang menjadi rujukan dalam menentukan hubungan dan tanggongjawab diantara majikan dan pekerja. Yang penting bagi majikan ialah pekerja itu sanggup melakukan kerja yang diarah. Yang penting  kepada pekerja pula ialah majikan menyatakan kesanggupan untuk membayar upah seperti yang dirundingkan, menyediakan tempat tinggal dan makanan percuma. Hal-hal kebajikan yang lain seperti cuti rihat, bayaran rawatan klinik/hospital dan yang lain-lainnya tidak dibincang dan hanya bergantung kepada budibaik dan budi bicara majikan. Apatah lagi sumbangan ke dalam KWSP-tidak pernah difikirkan.

Maka dalam bentuk hubungan yang sedemikian, ianya boleh menimbulkan berbagai perlakuan atau arahan kerja yang melampaui atau tidak sepadan dengan upah yang dibayar; paling malang sekali adalah penderaan terhadap pembantu rumah itu. Sekirannya pembantu rumah itu terdiri dari warga asing yang diperolehi  secara kemasukan yang tidak sah, kedudukannya lebih rumit lagi. 

Di pihak pekerja pula timbul perasaan marah, benci dan sakit hati terhadap majikan. Kesannya ialah meninggalkan anak jagaan bersendirian, mencederakan anak, melarikan anak dan berbagai perbuatan yang tidak baik termasuklah memasukkan kotoran dalam makanan dan minuman untuk dihidang kepada majikan. Dahsyat!

Terang dan jelas bahawa khidmat pembantu rumah ini lebih merumitkan  dari memudahkan.  

Lebih baik tiada pembantu rumah? Bagaimana pasangan suami isteri yang bekerja? Kepada siapa dapat diharapkan untuk menjaga anak/anak-anak semasa mereka keluar bekerja?


Saya amat bersetuju supaya khidmat pembantu rumah ini tidak diteruskan. Maksud saya dalam bentuk dan tatacara yang ada sekarang ini kerana ianya tidak adil kepada kedua-dua pihak -majikan dan pembantu rumah. 

Yang saya maksudkan dengan bentuk dan tatacara sekarang ini meliputi perkara berikut:
i) pembantu rumah diperolehi dari sumber luar negara,
ii) peranan agen dalam membekalkan pembantu rumah
iii) tiada syarat dan terma perkhidmatan pembantu rumah
iv) pembantu rumah tinggal serumah dengan majikan

 Ertinya saya tidak bersetuju dengan perjanjian yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia dan Indonesia tentang pengambilan dan pembekalan pembantu rumah, termasuk upah RM700 sebulan dan buat satu kerja. 


Khidmat pembantu rumah sebenarnya tidak perlu. Dan perjanjian dengan negara lain untuk khidmat pembantu rumah juga tidak perlu.


Kenapa saya tidak bersetuju? 


Saya tidak bersetuju kerana saya tidak nampak ada kesungguhan dipihak Kerajaan untuk sebenar-benarnya menangani hal-hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini. Pendekatan yang diambil tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada masa depan negara. Pada kerajaan memadai saja dengan menyediakan satu peraturan/perjanjian bagi membenarkan secara sah kemasukan pekerja asing dengan bayaran tertentu. Itu saja. 


Memang benar kerajaan menyatakan akan kepentingan modal insan. Tetapi pendekatan Kerajaan dalam hal ini tidak sepadan dengan pentingnya modal insan itu sendiri. Sebab itu saya katakan pendekatan kerajaan tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada pembinaan masa depan negara. 

Buktinya? Hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini tidak dijadikan sebagai satu tanggongjawab kerajaan sepenuhnya. Jadi pembinaan sahsiah dan penyuburan fizikal, mental dan spiritual anak-anak kecil ini tidak menjadi satu agenda penting dan utama kepada kerajaan. Biarlah ibubapa anak-anak itu sendiri yang menyelesaikannya. Kalau ada pun campur urusan, hanya setakat mengaturkan pembekalan pengasuhnya saja.
  
Bersambung.


     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan