Theflowersellingboy

Rabu, 7 Mac 2012

Debat debat debat....banyak pula 'songehnya'.

Sebelum saya berpanjangan cerita fasal debat, molek rasanya di perjelaskan dulu pengertian perkataan 'songeh' yang saya gunakan dalam tajuk diatas. Ianya mungkin tidak sama seperti yang difahami sebahagian besar orang. Tapi saya masih mahu menggunakan perkataan itu bagi menggambarkan sifat dan sikap seseorang dalam cara, gaya, kaedah dan kesungguhannya menyatakan sifat dan sikapnya itu semata-mata untuk tidak dikatakan seorang yang cuba mengelak, melepaskan diri dan paling dirisau dikatakan sebagai pengecut dalam persemukaan.

'Songeh' disini membawa maksud mencari atau merekacipta helah bagi mengelak dan melepaskan diri dengan mengemukakan berbagai alasan dan syarat serta sebab musabab. Boleh juga dikatakan membuat kerenah. Kadang-kadang sifat dan sikap songeh itu melahirkan satu kecenderungan untuk memperlekehkan pihak lain dengan kata-kata misalnya 'saya tahu hal dia (maksudnya yang buruk-buruklah) dan kalau saya telanjangkan sudah tentu dia demam'.

Banyak pula 'excuses'nya, si songeh ini.


Debat dan songeh?

Sudah semakin hangat rakyat Malaysia menyuarakan hal perdebatan diantara pemimpin politik dari pihak kerajaan dan pemimpin pembangkang. Lebih tepat lagi diantara Najib dan Anwar. Kajian pungutan suara juga menunjukkan majoriti rakyat mahukan perdebatan diantara doa pemimpin ini mengambil tempat diatas pentas, ruang dan waktu serta tarikh yang sama. Malah berbagai pihak telah menyatakan kesanggupan untuk menguruskannya. 

Anwar yang mencabar telah menyatakan kesediaan.  Najib juga telah menyatakan 'kesediaan'. Maka nampaknya tidak ada masaalah dalam mengadakan debat diantara kedua pemimpin ini. Makanya juga rakyat Malaysia perlu menyediakan diri dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan satu budaya baru dalam politik Malaysia dalam proses menilai dan memilih kepimpinan negara. Dan apabila tarikh, masa dan tempat  debat dimaklumkan, hendaklah kita semua bersiap sedia untuk merai dan mengimarahkan debat itu. 

Sebelum itu perlu kita buat bacaan dan semakan dari berbagai sumber akan fakta dan pernyataan berkaitan dengan tajuk debat yang dipersetujui supaya boleh memudahkan kita mengikuti dan mencerna serta menggarap hujah-hujah pendebat itu. 

Tidak perlu bawa emosi marah dan benci. Tidak juga perlu mencari telur tembelang atau telur busuk untuk dilemparkan ke pentas debat. Juga tidak perlu buat kerja tidak senonoh mengumpul air kencing dalam botol untuk dilempar ke khalayak ramai atau ke pentas debat. 

Dengan disiplin seperti ini barulah kita layak memashurkan diri kita sebagai manusia dan bangsa yang bertemaddun, berakhlak mulia, lembut budibahasa dan baik tingkah lakunya. Kita juga tidak akan menyusahkan pihak keselamatan seperti polis untuk membuat jagaan dan kawalan kerana polis tidak perlu bimbang suasana menjadi tidak menentu, tiada yang patah riuk atau darah keluar mengalir dari badan. Bukankah polis ada banyak hal lagi yang perlu diuruskan.
 
Tetapi kesediaan yang ditunjukkan Najib  untuk berdebat itu diiringi dengan 'songeh'nya. Inilah penghalang kepada debat untuk mengambil tempat. Najib tidak bersendirian dalam hal ini. Bekas PM yang telah menerajui negara selama lebih 22 tahun pun ada sifat dan sikap songeh juga. Pemimpin kerajaan terutama dari parti UMNO sudah tentu siap sedia yang bersiaga berdiri dibelakang Najib dengan songehan mereka. Hal itu kita fahami kerana mereka adalah orang bawahan Najib yang perlu setia. Tidak kisahlah setia yang benar-benar tulus atau yang bersifat fulus.

Adalah tidak adil dan tidak benar kita kumpulkan semua orang UMNO banyak songeh berkaitan dengan debat ini. Saya percaya majoriti dari mereka mahukan debat ini mengambil tempat kerana ianya melibatkan nama baik dan maruah parti. Ketua parti membawa dan mengibarkan nama baik dan maruah parti. Tidak perlu gentar atau cuba tunjuk berani dengan cara yang songeh. 

Apabila ketua  tidak ada kesanggupan untuk bersemuka dengan pihak lawan dan hanya berani memperlekehkan pihak lawan diatas pentas sendiri, saya rasa itu bukan semangat yang telah tersemai dalam jiwa orang-orang UMNO.  Malayan Union pun berani ditentang dan disanggah , inikan pula Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.  

Cuma dari jumlah ahli UMNO yang ramai itu hanya seorang saja yang berani berbeza dengan Najib dan  mereka yang seikutan dengan Najib . Pemimpin ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Saifuddin Abdullah. Beliau mahu debat mengambil tempat tanpa songeh-songeh. Malah beliau mengemukakan 10 sebab mengapa debat itu perlu. Saya kira YB ini adalah terlalu setia kepada UMNO, parti yang menjadi wadah perjuangannya. Beliau sayangkan parti dan mahu menjaga maruah dan nama baik parti. Beliau juga sayangkan pemimpin dengan cara berbeza pendapat demi maruah parti. Setia beliau inilah  yang tulus dan bukan fulus. 

Jadi tidak perlulah Najib dan yang seikutan dengannya songeh-songeh mengatakan antara lain 'Anwar akan demam', 'debat bukan budaya Malaysia', 'tidak perlu berdebat macam dalam pemilihan presiden Amerika', 'debat tidak mendatangkan hasil yang baik' dan macam-macam songeh lagi. Songehan yang terbaru pula ialah Najib mahu berdebat dengan orang yang 'berfikiran munasabah'.


'Berfikiran munasabah'? Apa maksud dua perkataan ini tidak pula dijelaskan. Saya tidak pula menafikan hak Najib untuk menggunakan perkataan-perkataan atau rangkai kata itu. Tapi terangkanlah maksudnya seperti yang saya lakukan bagi penggunaan perkataan 'songeh'.

Bagi saya yang menyebabkan UMNO khususnya Najib jadi songeh dalam menyahut debat ini adalah tangongan/liabiliti/beban/begej UMNO yang terlalu besar, berat dan menjijikkan berbanding dengan aset/kekuatan/maruah. Atau direngkaskan,  nilai bersih aset UMNO adalah pada tahap negatif yang terlalu besar. Maknanya kalau UMNO ini sebuah syarikat ianya tidak laku dalam mana- mana pasaran untuk dijaja. Bukan salah entiti itu tetapi salah Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan pengurusannya termasuklah pemegang saham yang sentiasa menadah tangan hendakkan yang mudah dan percuma.


Salah urus, hendakkan yang mudah dan percuma telah merosakkan UMNO sebagai sebuah parti yang dulunya mempunyai wadah perjuangan yang dihormati oleh orang Melayu dan kaum yang lain. Yang merosakkan parti ialah ahli UMNO dari semua peringkat. 


Adakah kenyataan diatas melulu dan tidak benar? Jawapan saya hanya melihat dari satu aspek saja untuk jadi renungan. Apa dia? Pecah amanah dalam menguruskan harta negara khususnya wang negara. Lihat kerugian berbilion ringgit misalnya yang berkaitan dengan MAS; pengaliran wang haram yang juga berbilion ringgit; rasuah dan banyak lagi kerosakan yang telah dan sedang dilakukan dalam pengurusan kewangan. 

Bagaimana pula kepimpinan UMNO mengatasi kerosakan itu? Pertama menafikan. Kedua saling tuduh menuduh diantara pemimpin bahawa bukan dia saja yang menyebabkan kerosakan orang/pemimpin UMNO yang lain pun buat kerosakan, malah katanya lebih teruk. Yang terakhir, buat masa ini yang ketiga lah, Najib memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

Maknanya dalam kesungguhan kepimpinan UMNO menafikan perbuatan yang menjijikkan itu mereka juga mengaku telah melakukan kerosakan. Jadi kenyataan saya diatas adalah selari dengan pengakuan kepimpinan UMNO sendiri.

Maka mana ada kekuatan Najib yang mewakili UMNO/BN untuk berdebat dengan Anwar. Terlalu berat begej/beban yang hendak diheret dan diletakkan diatas batu jemalanya. Bukan saja begej buatannya bahkan mewarisi begej-begej yang terlalu banyak dari zaman sebelumnya. Dan yang paling banyak begej selepas Tun Hussein Onn. Tak terangkat Najib.

Sebab itulah Najib sanggup berdebat dengan bersongeh. Debat debat debat .....banyak pula songehnya.  








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan