Theflowersellingboy

Rabu, 28 Mac 2012

Rintihan Seorang Pemandu Teksi

Sudah agak lama juga saya tidak menggunakan khidmat teksi, sama ada perjalanan jauh atau perjalanan dekat. Saya lebih selesa memandu kereta sendiri bagi perjalanan dekat dan menggunakan bas ekspress bagi perjalanan jauh. Tapi pada hari itu 26 Mac 2012 mahu tidak mahu saya terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi untuk bergerak dari sebuah bank ke lokasi yang jaraknya lebih kurang 3 kilometer. Kereta tersadai dalam workshop, masih belum siap diperbaikki.

Isteri dan saya menunggu di sebuah tempat menunggu bas setelah urusan dengan pihak bank selesai. Tujuan kami ialah untuk menaikki bas. Kemudian kami mengubah fikiran kerana tidak tahu bas nombor berapa yang patut di ambil untuk menuju ke lokasi yang hendak di tuju , kami bercadang untuk menaikki teksi.

Kebetulan ada sebuah teksi yang diletakkan berhampiran tempat menunggu bas itu. Kami di maklumkan oleh seorang lelaki dewasa yang berada di tempat menunggu bas itu,  bahawa  pemandu teksi itu sedang berurus di bank yang berdekatan. Jadi kami menunggu.

Pemandu teksi, berbangsa India menuju ke keretanya. Kami bertanya berapa bayaran untuk ke lokasi yang hendak dituju. Dia meminta RM10 seorang. Oleh kerana kami merasakan harga itu tidak berpatutan maka kami tidak bersetuju. Tidak pula terlintas difikiran tentang penggunaan meter. Kalau gunakan meter, tidaklah perlu tawar menawar.

'Berapa encik mahu bayar?' Tanya pemandu teksi itu. Kami mencadangkan lima ringgit bagi dua orang. Dia bersetuju. Saya percaya pemandu teksi itu dalam perjalanan balik ke rumah  melalui kawasan yang hendak kami tuju. Atas sebab itu saya fikir dia bersetuju dengan harga yang kami cadangkan itu.

Dalam perjalanan, kami berbual. Dia beritahu bahawa tidak berapa lama lagi harga minyak akan naik. Katanya lagi bila harga minyak naik, harga yang lain pun naik juga. Matilah. Saya pun menumpang duka akan keluhan pemandu teksi itu. Tapi saya cuba meringankan sedikit keluhannya itu dengan menyatakan tidak mungkin harga akan naik sekarang ini. Beliau menganggok bersetuju.

"Memang betul encik, tapi lepas election lah. Bulan Jun". Saya tidak menanyakan dari sumber mana beliau tahu tentang kenaikan harga minyak dan bila pilihanraya akan diadakan itu. Dalam hati saya mengatakan hebat juga pemandu teksi ini, ada maklumat-maklumat penting. Soal betul, tepat atau salah bagi saya tidaklah penting sangat ketika ini. Yang penting adalah maklumat yang diberi perhatian oleh pemandu teksi ini adalah maklumat yang berkaitan langsong dengan kehidupan hariannya, memberi kesan kepada kesejahteraan hidup dirinya dan keluarga dibawah tanggongannya.

Saya cuba mengubah tajuk perbincangan dengan menanyakan bilangan anaknya. Beliau menyatakan tiga orang dan semuanya sudah lepas. Maksudnya bukan dibawah tanggongannya lagi. Tapi katanya anak-anak sekarang 'tak ada guna'. Tak mahu tolong emak bapa walau pun hidup lebih senang. 

"Sikit wang pun tak bagi. Kita bukan mau banyak. Tapi dia kena ingat, kita bagi dia sekolah dulu, bagi makan. Kita bukan senang punya orang", keluh pemandu teksi itu.   Saya sudah salah strategi dalam menukar tajuk perbincangan. Rupanya cerita mengenai anak itu lagi menambahkan beban kepada pemandu.

"Itu hari masa depavali, dia bagi RM500. Saya suka hati. Tapi wang itu bukan untuk saya. Untuk beli barang dan makanan untuk kawan-kawan dia datang rumah. Mahu bagi makan kawan. Tak ada guna punya anak".

Saya merasa sedih akan keluhan dari pemandu teksi itu. Saya tumpang rasa bersalah kerana menanyakan bilangan anaknya tadi membuatkan keluhan hati kecewa terhadap anaknya di curahkan kepada saya, orang yang baru kali pertama dikenali. Biasanya jarang sekali seseorang itu mahu menceritakan kisah yang negatif tentang anak sendiri kepada orang lain terutama kepada orang yang tidak/baru dikenali. 

Saya berpendapat cerita pemandu teksi ini adalah sesuatu yang benar. Beliau terlalu kecewa dengan sikap anak-anaknya itu. Kesian.

"Teksi ni encik punya ke atau syarikat punya?" Saya cuba beralih ke tajuk lain. Dia menyatakan bahawa teksi itu dia yang punya. Katanya lagi buat permohonan tidak susah tapi mahu dapat permit dia menunggu 7 tahun. Jadi sementara menunggu itu dia sewa permit orang lain. 

"Mesti ada sokongan wakil rakyat ke?" Saya bertanya. "Mestilah , kurang-kurang dari JKKK"  Jawabnya. Saya tersenyum saja apabila mendengar jawapannya itu kerana itulah yang selalu diberitahu oleh banyak pihak, jika kita hendak membuat sesuatu permohonan, sokongan dari pihak politik adalah  satu kemestian. Kalau 'ngam' dengan orang politik  yang berkuasa itu, permohonan itu dapatlah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang meluluskan.

Sampai saja di destinasi yang dituju, kami mengucapkan terima kasih. Dihati saya masih terkesan akan rintihan pemandu teksi yang pandai berbahasa Melayu itu. Merintih kenaikan harga minyak dan barang-barang dan merintih kerana anak-anak tidak sudi membantu bagi merengankan beban sara hidup yang meningkat. Kesian.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan