Theflowersellingboy

Ahad, 18 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah.......bahagian 1

Cerita Pembantu Rumah masih lagi berterusan. Semalam ceritanya adalah mengenai berita mengatakan gaji pembantu rumah telah ditetapkan sebanyak RM700.00 sebulan. Ianya tidak membuatkan banyak orang terbeliak mata, macam boleh diterima saja. Pembantu Rumah ini hanya melakukan satu kerja saja sebagai balasan upah tujuh ratus sebulan itu. Berita inilah yang membuatkan cerita Pembantu Rumah berterusan, berkesinambungan, tidak tahu sampai bila waktu penamatnya. Banyak mata yang terbeliak, mulut ternganga luas dan cepat-cepat mulut itu ditutup dan dibuka bagi membenarkan lidah menzahirkan kata melalui kotak suara. 

"Apa buat satu kerja, tujuh ratus ringgit. Gila ke. Bilik percuma, makan percuma, tengok tv dan video percuma, air dan letrik percuma, sabun , bedak , obat gigi, dan shampoo percuma. Kalau ikut makan angin duduk bilik hotel percuma. Perangai belum tau baik. Lari tinggalkan anak, lari bawa anak, cedera dan dera anak, mencuri, bawa boyfriend di rumah , tak patut, dah melampau".

Reaksi secara am dari bakal majikan yang tertunggu-tunggu akan keputusan  perjanjian yang termetrai antara Indonesia dan Malaysia bersangkutan Pembantu Rumah ini. Majoriti terlalu marah dan ada yang menyampah. Tidak kurang yang meluat."Baik salah seorang kita berhenti kerja. Urus anak sendiri. Menyakitkan hati", ada juga reaksi yang sampai keperingkat emosi yang tidak dapat ditahan.

Hari ini cerita lain pula dari PM. Kata PM dia tidak pernah bersetuju sewaktu berbincang dengan Presiden Indonesia dulu. PM pun tidak bersetuju. Jadi siapa yang setuju? Indonesia buat keputusan sendiri ke? Kalau begitu apa makna rundingan? Apa makna perjanjian? Mesti dua-dua pihak telah mencapai kesepakatan, baru perjanjian di tandatangani.

Dalam berita hari ini juga ada diceritakan bahawa 'satu kerja' ini adalah datangnya dari pihak Indonesia dalam satu pengumuman yang dihadiri wakil Malaysia. Diceritakan juga wakil Malaysia tidak pula buat celahan menyatakan perkara itu tidak termasuklah dalam perjanjian yang telah dipersetujui. Maknanya, kalau tiada celahan untuk mempersoalkan apa yang diumumkan, Indonesia atau saya sendiri beranggapan bahawa wakil Malaysia yang hadir dalam sessi pengumuman itu bersetuju. 

Atau wakil kita itu tidak tahu tentang syarat dan terma perjanjian yang telah dipersetujui? Atau tidak mahu merosakkan majlis pengumuman itu dan berpendapat ianya akan diselesaikan selepas itu? Atau tidak faham apa yang dituturkan oleh wakil Indonesia itu?

Macam-macam cerita pembantu rumah ini. Tak habis-habis.

Saya sengaja memangilnya sebagai cerita, bukan berita dan tidak juga isu. Sebab, cerita ini ada bermacam-macam. Ada yang benar, ada yang bohong, ada yang baik , ada yang tidak baik, ada yang menyakitkan dan ada yang menyenangkan hati dan macam-macam perspektif lagi.

Saya akan bercerita tentang pembantu rumah ini dari berbagai cerita. Dari cerita pengalaman sendiri, pengalaman dan cerita sahabat-sahabat, dari cerita yang dibuatkan dalam bentuk drama tv, dari youtube dan dari berbagai sumber.

Anda sendiri ada cerita. Dengan itu nilaikan sendiri cerita yang bakal saya ceritakan pada paparan esok hari. 

Buat ketika ini, penjelasan PM itu sudah menenangkan sedikit kerisauan bakal-bakal majikan. Usah gelabah. Kalau masih lagi marah, uruslah sendiri apa yang perlu kita buat. Bagaimana? Fikirlah sendiri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan