Tidak pernah saya mendengar mana-mana orang dari berbagai latarbelakang menyeru supaya kita melakukan kejahatan. Maksud saya apa saja bentuk kejahatan misalnya perlakuan jenayah, penipuan, salahgunakuasa dan apa saja yang tidak disukai oleh fitrah manusia. Maknanya semua orang sukakan yang baik-baik. Amal makruf nahi mungkar.
Jika merasakan kurang yakin akan kebenaran pernyataan diatas cuba tanya dengan perompak, pencuri, pembunuh, penyangak dan macam-macam lagi jenis orang yang melakukan atau pernah melakukan perbuatan yang tidak baik itu. Pencuri akan menjadi naik berang jika barangnya dicuri, waemah barang yang dia curi itu jika dicuri oleh orang lain, dia pun marah. Ertinya walaupun suka mencuri namun untuk menyeru perbuatan mencuri itu untuk dicontohi atau diikuti tidak sama sekali dapat dituturkan. Kelu lidah untuk berkata. Takut dosa? Saya tidak pasti.
Cerita Robin Hood sebuah penglipur lara Inggeris yang menyeru supaya dilakukan rampasan keatas harta orang kaya-kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin mungkin satu kekecualian. Rampasan adalah satu perbuatan hina dan jahat. Ya, matlamatnya memang baik iaitu untuk membantu kehidupan orang-orang susah tetapi cara rampasan adalah cara yang tidak betul dan hina sekali.
Sebab itulah selalu orang memperkatakan 'cara tidak wajar menghalalkan matlamat'. Matlamat murni tapi cara hina dan jahat bukan menjadi seruan untuk dilakukan.
Maka dengan itu apa yang selalu kita dengar ialah seruan berbuat baik dan menjauhkan atau meninggalkan yang tidak baik. Amal makruf nahi mungkar selalu digunakan bukan saja oleh ustaz-ustaz bahkan semua lapisan masyarakat dari yang berkedudukan sosio-ekonomi-politik terendah hingga keperingkat atasan menjangkau barisan pimpinan negara. Benci yang jahat-jahat.
Kelihatan, petanda-petanda yang ada dan ditunjukkan amat memberangsang sekali untuk satu kehidupan yang baik dan bermaruah di negara Malaysia yang tercinta ini.
Cuma petanda yang diperlihatkan adalah dalam bentuk kata-kata yang lunak saja, yang dapat menghiburkan menurut keadaan, masa dan keperluan serta kepentingan bagi sesuatu matlamat saja. Sesungguhnya malang sekali petanda itu tidak dapat bertahan lama, terlalu pendek hayatnya untuk bertahan, tidak mapan, tidak boleh 'sustain'.
Untuk menguji benar atau tidak kebimbangan rasa malang itu, kita mulakan dari peringkat sendiri. Saya dan semua peribadi yang bernyawa.
Sudah tentu ada yang tidak kena. Kita akan dapat mengesan bau hanyir, hancing , bacin, busuk , hangit, tengit, masam dan hapak yang kita keluarkan dari pernafasan, hasil denyutan jantung yang mengepam darah ke seluruh anggota yang menggerak mental dan fizikal kita dalam hubungan sesama kita. Denyutan jantung menghidupkan kita. Malang sekali kita mempunyai perasaan buruk sangka dan jahat. Kita jarang gagal dan biasanya itulah yang selalu kita lakukan, hal-hal yang tidak baik. Sekurang-kurangnya kita mempunyai sifat buruk sangka. Persepsi negatif terhadap orang lain.
Sudah tentu ada yang tidak kena. Kita akan dapat mengesan bau hanyir, hancing , bacin, busuk , hangit, tengit, masam dan hapak yang kita keluarkan dari pernafasan, hasil denyutan jantung yang mengepam darah ke seluruh anggota yang menggerak mental dan fizikal kita dalam hubungan sesama kita. Denyutan jantung menghidupkan kita. Malang sekali kita mempunyai perasaan buruk sangka dan jahat. Kita jarang gagal dan biasanya itulah yang selalu kita lakukan, hal-hal yang tidak baik. Sekurang-kurangnya kita mempunyai sifat buruk sangka. Persepsi negatif terhadap orang lain.
Peringkat yang melibatkan kekeluargaan pun sama saja. Rasa belas ikhsan dan kasih sayang semakin pudar. Lindung melindungi demi keselamatan tidak ada jaminan dari seorang bapa terhadap anak-anak sama ada yang masih dalam kandungan, yang kecil mahu membesar, dan yang muda belia baik siteruna mahu pun sidara. Bapa boleh menjadi seorang perakus merosakkan masa depan anak-anak. Apakan tidaknya, kandungan yang belum sempat keluar dengan kejam digugurkan atas alasan tidak mahu malu, jaga nama diri dan keluarga.
Yang ini adalah bapa binatang yang tidak pernah kenal malu ketika melakukannya dan malu apabila ada hasilnya. Bangsat!
Yang malang sekali 'bapa' seperti ini terlepas dari hukuman. Menghilangkan diri yang tidak pernah mahu dikesan oleh pihak berkuasa. Yang selalu dikejar oleh pihak berkuasa ialah ibu yang mengandung anak itu. Setuju, ibu itu juga bersalah. Tapi mengapa ibu saja terkonteng-konteng menghadapi penghinaan masyarakat dan hukuman dari pihak berkuasa?
Ada lagi yang lebih malang. Bapa bertindak seperti ikan haruan, memakan anaknya. Bukankah bapa itu pelindung yang sanggup berkorban nyawa jika anak-anaknya diperapa-apakan? Tidak sekali ketika ini. Musuh dalam selimut? Tidak. Lebih dari itu kerana perkataan musuh itu masih lagi tidak setimpal dengan perlakuan seorang bapa terhadap anak yang sesungguhnya mempunyai kepercayaan yang tidak ternilai keatas bapa yang sangat disayangi, dikasihi untuk membena masa hadapan yang cerah secerah bulan purnama.
Begitu juga ikhsan dan kasih sayang anak-anak kepada kedua orang tua yang semakin menunjukkan aliran yang membimbangkan. Ibubapa seolah-olah orang yang tidak lagi penting dalam kehidupan anak-anak. Boleh bercakap kasar, meninggikan suara, diherdik dan diperlekehkan semasa berbicara. Ibu dan bapa, dan apa saja panggilan yang digunakan bagi kedua orang tua itu, hanya orang-orang yang telah menjangkau umur tua saja, yang telah ketinggalan dan lapuk dari segi ilmu dan pengetahuan semasa dan terkini. Maka tidak betah untuk dibawa bicara. Tidak akan faham walaupun ditinggikan suara. Yang wajar herdik saja barulah situa mendiamkan diri.
Fenomina ini menjalar ke dalam kehidupan bermasyarakat. Bukankah individu dan keluarga membentuk masyarakat?
Begitu juga gejala-gejala mungkar ini berkembang diperingkat rakyat sebuah negara.
Maka seperti yang dinyatakan diatas semua rakyat termasuk yang berkedudukan bawah, tengah dan atas, yang di pimpin dan yang memimpin dengan lantang menyatakan kebencian terhadap gejala-gejala yang jahat ini. Maknanya sebulat suara kita semua membencinya.
Mereka yang berkuasa sentiasa mengulangi kebencian mereka terhadap perbuatan jijik ini dengan menyediakan berbagai mekanisma dan jentera untuk mengatasinya. Mereka yang mahu inginkan kuasa juga membuat ikrar yang sama bahkan semacam lebih bersungguh dari yang berkuasa untuk menghapus dan menghindarkan perbuatan yang jahat-jahat ini.
Apa yang kita dapati sekarang? Kita cuba lihat beberapa hal saja.
Pertama disiplin peribadi. Ambil contoh kecil saja iaitu bilangan anak-anak sekolah yang merokok. Tanpa statistik, saya yakin ianya bertambah.
Kedua , keharmornian keluarga. Lihat saja perlakuan sumbang dan buangan anak baru lahir dimerata-rata tempat termasuk ditangki najis. Bewrcambah.
Ketiga, kehormornian rakyat berbilang kaum dan agama. Kita sentiasa boleh dengar ucapan-ucapan serta gesaan dari berbagai pihak termasuk pemimpin di berbagai peringkat terarah kepada mewujudkan kebencian sesama rakyat.
Keempat, ketaatsetian rakyat. Maksud rakyat ini ialah semua orang/warga Malaysia yang hidup. Tiada yang terkecuali barang seorang pun. Erti taat setia pula, bukan hanya mengaku kita rakyat Malaysia dan menyanyi lagu negara ku. Melakukan penyeludupan barang atau orang, melarikan dari membayar cukai pendapatan, melarikan wang ke luar negara seperti pengaliran wang haram adalah juga melibatkan persoalan taat setia. Perbuatan-perbuatan itu merosakkan negara. Merosakkan negara bermakna tidak setia kepada negara.
Kelima, khusus kepada yang telah dan sedang diberi amanah untuk mengurus tadbir negara. Yang nyata adalah bahawa negara telah kehilangan dan kerugian berbilion juta ringgit. Namun kita dengar berbagai reaksi. Ada yang menafikannya. Ada pula yang mengatakan dianya tidak keseorangan, yang lain buat sama. Ada yang tidak segan dan tidak juga silu konon merendah diri mohon kemaafan atas kesalahan yang telah dilakukan. Ada juga menyatakan bahawa kita lupakan saja apa yang telah lepas, maksudnya perbuatan jahat itu, dan berilah peluang seterusnya untuk mengurustadbir negara lagi bagi tujuan memperbaikki kesalahan itu.
Kelihatan, terdapat berbagai reaksi tapi motifnya sama saja. Apa motifnya? Motifnya adalah mengelak diri dari dibebankan dengan kesalahan walaupun dalam bentuk pengakuan permohonan maaf. Itu motif di peringkat proses. Di peringkat terakhirnya atau matlamatnya ialah merayu kuasa diperpanjangkan. Dengan itu berbagai aplikasi sama ada yang bersifat senonoh dan tidak senonoh akan digunakan. Itu saja.
Apa-apa pun motif itu adalah satu hal yang terlalu amat penting. Motif akan menjiwai fikiran, merangsang tindakan untuk melakukan sesuatu. Tanpa motif yang jelas, tiada aplikasi ke arah pencapaian motif itu.
Berbalik kepada reaksi terhadap berbagai kejahatan yang telah dilakukan itu. Seperti yang ditunjukkan, reaksi adalah berbeza dan berbagai dari yang empunya diri. Yang tidak berbagai, yang tidak berbeza, yang sama ialah kesemua mereka adalah penyuara-penyuara anti perbuatan mungkar. Dimana saja, atas apa saja pentas, secara seragam itulah yang mereka laung-laungkan. Ketika ini, waktu dan musim ini mereka tidak pernah gagal untuk menunjukkan sifat dan kecenderungan berbuat baik.
Gaya dan kaedah yang berkuasa itu sama saja dilakukan oleh yang inginkan kuasa. Menentang kemungkaran. Untuk itu kita sebagai rakyat tinjau-tinjau dan kaji-kaji apa yang telah dan sedang mereka lakukan di Pulau Pinang, Kedah, (Perak? Sudah dirampas pula), Selangor dan Kelantan. Saya percaya ada cacat dan celanya. Sudah tentu ada yang baik juga.
Tentukan pendirian kita berdasarkan fakta dan pernyataan yang sahih dan benar.
Tidak cukup dengan hanya mendengar permohonan maaf dan suara-suara lunak nyaring yang bising-bising berikrar bahawa "kami perjuangkan amal makruf dan nahi mungkar" dari kedua pihak yang berebutan kuasa ini.
Mengapa? Baca semula para yang pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan