Theflowersellingboy

Isnin, 19 Mac 2012

Cerita Pembantu Rumah......bah.2

Paparan semalam menceritakan fasal gaji tujuh ratus sebulan untuk melakukan satu kerja saja. Banyak orang yang terbeliak mata dan mulut ternganga-nganga . Kemudian segera membebel marahkan kenapa jadi begitu sambil mengesyakki wakil Malaysia dalam perundingan dengan wakil Indonesia itu tidak tahu buat kerja. Tidak tahu apakah syarat dan terma yang telah dipersetujui diantara Malaysia dan Indonesia dalam hal pembantu rumah ini. Nasib baik PM kata dia dan Presiden Indonesia tidak ada membuat persetujuan tentang buat satu kerja saja. Tenang sedikit kerisauan bakal-bakal majikan yang berhasrat untuk mengambil pembantu rumah ini. Tapi kalau ada yang masih tidak tenang, uruskan kerja-kerja yang hendak diberikan kepada pembantu rumah secara sendiri. Baru puas hati. Jangan marah dan usah gelabah.

Seorang kawan berlawak jenaka katanya dengan pengkhususan satu kerja bagi pembantu rumah ini , kita perlu ambil ramai pembantu rumah untuk misalnya menguruskan anak saja. Kita  perlu ada pembantu rumah untuk kerja lipat pakaian anak; pekerja yang basuh pakaian; masak bubur anak; suap makanan; mandi dan mencuci berak anak; mendodoi dan menidur anak dan macam-macam kerja lagi. Bilangan pekerja dalam rumah kita akan melebihi dari bilangan keluarga kita. Terpaksa menyediakan banyak bilik. Belanja makan minum, air dan letrik, sabun dan shampoo, bedak dan gincu untuk pekerja melebihi dari tuan rumah. Nak mampus!

Seorang kawan pula mengatakan tidak lah sampai begitu maksudnya buat satu kerja itu. Katanya lagi buat satu kerja, misalnya menguruskan anak, adalah meliputi dan termasuk membasuh pakaian anak, menyuci dan memandikan anak, menyediakan makanan dan menyuapkannya, menjaga dan bermain bersama anak supaya tidak mendatangkan kecederaan, menidurkan anak dan segala kerja yang bersangkutan dengan anak  itu supaya anak itu sentiasa bersih, tidak kelaparan, tidak cedera , selamat, terhibur dan lena tidur.

Tambah kawan itu lagi, kita mestilah sediakan Senarai Tugas tentang penjagaan/menguruskan anak itu. Barulah pembantu rumah itu dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan teratur kerana ada panduan yang perlu dipatuhi.

Apabila kawan itu menyebut Senarai Tugas, fikiran saya dengan pantas teringat kembali semasa bekerja dahulu. Dokumen utama yang mesti ada dan yang wajib diketahui dan dipatuhi ialah Senarai Tugas. Apakah tugas kita bagi sesuatu jawatan yang kita pegang. Misalnya kita diberi tugas sebagai kerani kewangan. Maka ditunjukkan dengan jelas satu persatu tugas kita yang ada sangkut paut dengan kewangan, misalnya menyediakan baucer bayaran, mengeluarkan pesanan tempatan , mendaftar bil dan sebagainya. Jadi kerja kita terpandu seperti dalam senarai tugas.

Maknanya kerja diatas dilakukan secara pengkhususan iaitu kerja menguruskan kewangan. Sama juga dengan  maksud melakukan 'satu kerja' bagi pembantu rumah itu iaitu kerja menguruskan anak. Ada pengkhususan kerja, tidak carca merba. Meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Bukan kah itu yang kita mahu?

Cuma dalam setiap senarai tugas penjawat awam itu terdapat satu tugas yang meliputi dan merangkumi segala tugas. Apakah tugas itu? Melakukan tugas 'seperti yang diarahkan'. Ertinya apa saja yang disuruh oleh bos, seorang penjawat awam itu tidak mempunyai alasan untuk enggan melakukannya.

Jadi dalam hubungan pembantu rumah yang buat satu kerja yang khusus ini, kita sediakan senarai tugas kerja tersebut, misalnya menjaga anak, dan masukkan di akhir senarai tugasnya , menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Bukankah seorang pekerja itu perlu mematuhi arahan majikan?

Dengan cara demikian dapatlah kita atasi fasal buat satu kerja saja.

Lagipun pembantu rumah yang dulunya termasyhur dengan panggilan servant. Sama juga dengan penjawat awam yang dulunya, dan mungkin sekarang dipanggil government servant. Sebab itu apabila mereka hendak menanda tangani surat, mereka terlebih dahulu memastikan telah sedia ada perkataan 'Saya Yang Menurut Perintah' sebelum surat itu ditandatangani. Jadi pembantu rumah yang juga sebagai servant tiada alasan untuk tidak menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh majikannya. 

Kalaulah begitu keadaannya, maksud saya kita sediakan senarai tugas seperti yang diperkatakan, soal buat satu kerja itu nampaknya tidak jadi masaalah kerana majikan boleh mengarahkan apa saja tugas seperti yang terdapat dalam senarai tugas bagi kerja yang khusus itu.

Macam mana tentang cerita senarai tugas itu? Majikan boleh terima? Pembantu rumah boleh terima?

Saya percaya majikan boleh terima. Pembantu rumah mungkin banyak yang tidak boleh terima. Pada saya itu hak pembantu rumah. Jika tidak mahu terima mereka itu tidaklah jadi pembantu rumah. Tidak jadi servant. Tidak perlu ikut perintah. Tidak perlu datang ke Malaysia.

Tapi sebahagian besar rakyat Malaysia masih memerlukan khidmat pembantu rumah. 

Baiklah, saya akan mencadangkan pendekatan yang wajar diambil bersangkutan dengan khidmat pembantu rumah ini dalam paparan seterusnya. 

Bagaimanapun, saya merasakan lebih molek untuk saya memaparkan kisah suka, duka, pahit, manis, masam, pedas, masin, tawar, dan berbagai lagi rasa terlebih dahulu dalam hubungan diantara majikan dan pembantu rumah. Saya percaya dengan cerita-cerita yang akan dipaparkan ini terlebih dahulu, masing-masing pihak (majikan dan pembantu rumah)  dapat menghargai dan saling hormat menghormati diantara satu dengan yang lain. 

Ikuti terusnya cerita pembantu rumah ini.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan