Theflowersellingboy

Selasa, 6 Mac 2012

Penanda Arah Ke Majlis Perkahwinan

Bukan perkara luar biasa pada masa ini majlis perkahwinan diadakan diluar cuti persekolahan. Bila-bila masa pada hari Sabtu dan Ahad majlis seperti ini boleh kita ketemui. Mungkin dari segi bilangannya tidaklah sebanyak semasa cuti persekolahan. Maka dengan itu di kebanyakan tiang-tiang letrik dan tiang lampu isyarat dipersimpangan jalan akan kelihatan tampalan/ikatan /lekatan penanda arah untuk memandu tetamu ke tempat majlis perkahwinan. Tidak kurang juga kain-kain rentang mengucapkan selamat pengantin baru yang beserta dengan gambar dua mempelai di pasang ditempat-tempat tertentu yang boleh dilihat sebagai satu lagi penandarujuk untuk ke majlis. Maksud saya ke majlis yang hendak kita hadiri.

Ya, penandarujuk ke majlis yang hendak kita hadiri adalah satu kemestian dan amat penting. Sebab itulah dalam kad-kad jemputan ada disisipkan bersama pelan ke tempat majlis. Ini tidak berlaku atau jarang dilakukan pada tahun-tahun 1960an dan sebelumnya. Malah ketika ini maklumat dalam pelan itu di sediakan dengan begitu lengkap sekali antaranya maklumat mengenai jarak jauh ke tempat majlis yang hendak ditujui. Oleh itu jarang sekali kita akan hilang arah. Ianya sungguh memudahkan dan mengurangkan tekanan terutama di tempat yang sentiasa sesak dengan lalulintas.

Namun kadang-kadang berlaku juga sedikit kekeliruan jika tidak berhati-hati apabila dalam sebuah penempatan/kawasan/taman itu terdapat melebihi dua majlis perkahwinan pada waktu yang sama. Pernah saya dan isteri menuju ke majlis yang salah maka tersipu-sipulah kami apabila diberitahu nama tuan rumah majlis tidak sama dengan yang mahu kami hadiri. Tapi bukanlah salah penandarujuk. Yang salah ialah kami yang tidak berhati-hati membaca tanda arah yang telah disediakan.

Bercakap tentang penandaarah ini, saya dapati ada juga yang tidak banyak membantu. Pertama tulisannya terlalu kecil yang tidak mudah dapat dibaca sewaktu kita memandu. Kedua, kadang-kadang terlampau banyak maklumat sehingga tidak sempat kita membaca kesemuanya. Ketiga, ada yang terlalu ringkas dengan memberikan maklumat nama panggilan timang-timangan saja yang tidak mungkin diketahui oleh setengah tetamu. Keempat , tanda arah yang tidak mencukupi. Maksudnya dalam beberapa jarak tertentu dari tanda arah yang telah kita jumpa tiba-tiba kita menemui beberapa simpang. Disini tidak ditunjukkan tanda arah yang boleh memandu tetamu simpang mana yang perlu diambil terutama disimpang-simapang dalam taman perumahan. Mungkin tuan rumah menganggap memadai saja memberikan nama jalan dan no rumah. Tetapi sebenarnya kepada orang yang kali pertama ke tempat itu ianya tidak semudah itu jika berpandukan nama jalan dan no. rumah kerana ada juga sistem meletakkan tanda arah jalan  tidak teratur, dari no. 1 melompat jadi no.6 misalnya. Tambah-tambah lagi jika tulisan tanda arah jalan itu telah luntur atau hilang akibat dirosakkan atau tiada tanda arah.

Bagaimanapun secara keseluruhannya tanda arah yang diberi telah memudahkan tetamau untuk hadir ke majlis yang diadakan.

Satu perkara lagi ialah tentang tanda arah yang terbiar dan menjadi sampah selepas majlis diadakan. Ini memburukkan pandangan. Sewajarnya pihak yang meletakkan tanda arh itu lebih bertanggongjawab untuk mengutip dan membersihkan tempat-tempat yang telah digunakan itu. Tidaklah wajar dibiarkan begitu saja dan mengharapkan pihak majlis tempatan untuk membersihkannya. Jadilah warga negara yang lebih bertanggongjawab. Bukankan cara itu akan menngekalkan kecantikan tempat kita. Sama seperti hasrat kita untuk mencantikkan majlis perkahwinan kita, begitulah harapan semua orang untuk melihat tempat/kawasan/persekitaran yang cantik dan bersih.

Mudah-mudahan penanda arah dan kain rentang yang kita sediakan itu akan menyeri dan mencantikkan majlis kita disamping dapat memudahkan tetamu untuk sampai ke majlis kita. Dan kita juga bertanggongjawab untuk mengekal dan mewujudkan persekitaran yang cantik dan bersih dengan menurun semula kain rentang dan membuang keratas/papan tanda arah yang kita letak disepanjang jalan/persimpangan.        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan