Begitulah asas mula hubungan yang wujud diantara majikan dan pembantu rumah iaitu diantara tuan yang mempunyai segala kuasa keatas pekerja yang hanya menerima saja perintah seadanya yang perlu ditaati. Maka soal liputan kerja, masa untuk berihat melepaskan lelah, masa untuk menghibur dan berhibur menghilangkan duka dan rindu, untuk mencumbu rasa seperti manusia biasa, dan ketika bila boleh melelapkan mata adalah kesemuanya hak mutlak tuan yang berkuasa menentukannya.
Ertinya pembantu rumah ini, hanya ikut saja perintah tuan walaupun mereka juga adalah manusia seperti tuannya juga yang mempunyai maruah, harga diri, kehendak dan keinginan mental, fizikal, sosial dan biologikal. Lupakan semua itu jika seseorang itu telah ditakdir menjadi pembantu rumah.
Apakah nilai yang ada kepada pembantu rumah yang 'bodoh' dan 'hodoh' itu selain dari sesuai untuk diberikan upah yang setimpal dengan keterampilannya, cukup dinilai setakat sifatnya itu saja dan bukan kerana beban kerja yang dilakukan. Apatah lagi makan minum, bilik tidur, air dan letrik semuanya dinikmati sama oleh pembantu rumah.
Namun, itu cerita lama ketika mana bilangan yang mahu menjadi pembantu rumah mengatasi bilangan yang memerlukan. Tidak lagi sekarang.
Disamping itu peluang kerja diluar kongkongan rumah semakin bertambah, misalnya kerja dikilang-kilang pembuatan, pengeluaran dan organisasi pemberi khidmat, memberi kesan yang besar kepada corak dan bentuk hubungan diantara pekerja dan majikan.
Begitu juga bilangan yang memerlukan khidmat pembantu rumah semakin bertambah kesan dari pasangan suami isteri yang bekerjaya.
Yang paling ketara ialah terlalu sukar ketika ini untuk mendapatkan pekerja rumah tempatan.
Maka dengan permintaan pembantu rumah yang semakin bertambah dan tiadanya minat orang tempatan, bidang kerja pembantu rumah ini memasuki pasaran buruh dalam dimensi yang baru iaitu bekalannya diperolehi dari luar negara terutamanya dari Indonesia dan Filipina. Dan kemasukan itu bukan saja melalui saluran yang sah bahkan secara yang tidak sah, diseludupkan.
Kemasukan pembantu rumah dari luar negara inilah sama ada secara sah dan sebaliknya, telah dan sedang mencorakkan bentuk hubungan diantara majikan dan pembantu rumah.
Apakah corak dan bentuk hubungan itu?
Saya hanya dapat ringkaskan kepada hal-hal berikut:
i) Perlakuan-perlakuan diluar batasan undang-undang dan kemanusiaan oleh majikan,
ii) Tertubuhnya agensi-agensi yang menguruskan pengambilan,
iii) Implikasi kos yang bertambah kepada majikan
iv) Perlakuan-perlakuan jenayah seperti melarikan anak, mencederakan dan penipuan serta mencuri
v) Perlakuan-perlakuan tidak beradab seperti memasukkan kotoran dalam makanan dan minuman seperti air ludah, dan kotoran yang lain
vi) Menggunakan ilmu hitam atau cara yang boleh menundukkan majikan
Dan banyak lagi perlakuan yang mencorakkan bentuk dan cara hubungan yang jauh berbeza dari asal mulanya seseorang pembantu rumah itu dengan tuan/majikannya. Tidak lagi sepenuhnya menurut arah dan perintah majikan walaupun dihadapan tuan nampaknya seperti pekerja yang taat. Ada semacam balas dendam dan sakit hati akan 'kesombongan' dan 'kejahatan' majikan.
Maka dengan itu kita boleh dengar berbagai cerita tentang pembantu rumah dan juga tentang sikap serta layanan majikan kepada pembantu rumah. Cerita-cerita inilah yang akan saya paparkan nanti.
Cerita-cerita inilah saya percaya yang membuatkan Kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk berunding dan seterusnya mematrai perjanjian bertujuan bagi mewujudkan satu pasaran buruh pembantu rumah yang sistematik , adil dan terkawal. Tapi malangnya belum lagi perjanjian itu beroperasi, timbul pula isu bidang kerja pembantu rumah itu. Pembantu rumah hanya melakukan satu kerja saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan