Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat. Semoga semua sihat-sihat belaka dengan izin Allah. Amin.
Musim cuti persekolahan yang panjang ini berbagai aktiviti sosial mengambil tempat, diadakan disana sini. Misalnya majlis khenduri kahwin, pertunagan dan risek merisek, majlis berkhatan yang sekarang ini banyak diadakan secara berkelompok/beramai-ramai penuh dengan kemeriahan. Kesempatan juga diambil untuk melawat sanak saudara yang berlainan tempat/negeri sambil melancong membawa keluarga terutamanya anak-anak sekolah yang sememangnya ternanti-nanti akan aktiviti kerehatan fizikal dan minda seperti itu setelah hampir setahun menghadapi pelajaran dan beberapa kali peperiksaan. Ada yang melancong ke luar negara untuk satu pendedahan dan pengalaman persekitaran yang berbeza dari negara sendiri. Dan macam-macam lagi aktiviti yang diadakan waktu cuti panjang ini.
Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga semua aktiviti itu berjalan dengan lancar dan selamat termasuklah perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Pada cuti yang panjang ini juga seperti orang lain saya juga ada menerima jemputan majlis perkahwinan dan pertunangan. Secara puratanya dua jemputan seminggu iaitu pada hujung minggu , hari Sabtu dan Ahad. Ada majlis yang diraikan dirumah dan ada juga didewan-dewan dan di hotel mengikut cita rasa tuan rumah yang mungkin dipengaruhi oleh kemudahan yang dapat disediakan, keselesaan, dan paling kritikal ialah perbelanjaan yang terlibat.
Namun ada setengah orang yang mementingkan rakaman sebuah sejarah yang amat penting dalam sebuah kehidupan akan memilih tempat yang dirasakan terlalu istimewa dijadikan latarbelakang sebuah perkahwinan. Dalam hal ini wang bukanlah yang kritikal dalam memilih tempat bagi majlis itu. Dengan itu ada yang mahu menjadikan rumahnya atau rumah orang tuanya sebagai sebahagian dari sejarah penceritaan majlis perkahwinannya. Sama juga yang memilih dewan dan hotel tadi.
Seronoknya mendapat jemputan ke majlis-majlis ini bukanlah sangat makanan yang dihidangkan. Apatah lagi orang seperti saya yang terpaksa banyak berpantang. Banyak pantang larang orang yang telah bersara bagi menjalani baki-baki usia yang ada. Apatah lagi saya yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka. Makanan berminyak dan berlemak perlu dielakkan. Tapi kadang-kadang kalah juga dengan selera, disebatnya juga.
Yang seronoknya ialah berjumpa kawan-kawan lama semasa bekerja dulu. Bertambah seronok lagi apabila masing-masing telah berwajah baru , tapi tidaklah bertambah cantik. Lihat kepala, rambut sudah nipis dan ada yang sudah gugur semuanya. Kalau ada rambutpun , warna bertukar putih. Muka, sudah banyak bintik-bintak hitam dikedua pipi dan telah banyak garis-garis dalam proses pengedutan. Leher kalau boleh dilihat, sudah banyak yang berkedut.
Maka masing-masing ketawa akan perubahan yang tidak disedari. Ada yang mengenang cerita semasa bekerja, semasa muda belia. Kalau dulunya satu kelas maka bercerita panjanglah kesah-kesah lama yang dirasakan baru saja berlalu.
Begitulah masa berlalu meninggalkan kita yang tidak dapat dikejar dan ditahan. Hanya yang ditinggalkan atau tanda-tanda yang boleh dikesan ialah wajah-wajah kita yang semakin kendur. Dan semasa usia tua inilah kita semakin bertambah mesra berbanding semasa muda dulu. Misalnya jika kita bersekolah asrama dulu yang selalu berselisih faham dan bertengkar, berpuak-puak, yang Kelantan dengan semangat kenegeriannya yang pekat, yang Jawa tidak mengaku Jawa dan berbagai sikap perangai dan ego masing-masing tapi sekarang diusia tua apabila sesekali berjumpa kisah-kisah itu hanya menjadi bahan cerita untuk kita ketawa dan bermesra.
Dulu lelaki yang handsome dan perempuan jelita yang sentiasa menjadi sebutan dan ramai yang mahu bersaing untuk memilikinya, yang kadang-kadang menimbulkan rasa terlalu eksklusif dikalangan mereka sehingga ada yang agak 'sombong', sekarang ini tidak lagi. Tegur sapa begitu mesra sekali. Rupa-rupanya wajah tua mengajar kita untuk menghargai dan meghormati sesama insan.
Sekian . Jumpa lagi dengan izin Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan