Assalamualaikum wbth . Bersama-sama kita berdoa agar Allah mengurniakan kesihatan kepada kita semuanya, sihat tubuh badan dan akal fikiran. Amin.
Pisang emas dibawa belayar
Masak sibiji diatas peti
Hutang emas boleh di bayar
Hutang budi dibawa mati
Tenang-tenang air di laut
Perahu kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik tetap dijunjung
Dua pantun lama Melayu yang empat kerat diatas sengaja saya paparkan untuk kita mengingat semula akan cara bagaimana masyarakat Melayu lama mahu menyatakan perasaan mereka berkaitan dengan sesuatu hal. Paparan ini juga bertujuan untuk memberi tahu anak-anak generasi baru yang sebahagian besarnya mungkin tidak mengetahui kewujudan pantun dan peranannya dalam masyarakat Melayu dulu sebagai satu dari cara mereka menyampaikan perasaan bagi sesuatu maksud.
Bagi saya cara penyampaian maksud di hati itu sungguh indah sekali dengan di dahului kata-kata bayangan. Cuma ianya memerlukan masa yang lebih berbanding dengan ucapan terus bagi maksud yang hendak disampaikan.
Pantun-pantun diatas bercakap fasal budi. Budi diKenang. Ianya tidaklah sama dengan Jasa walaupun amat susah untuk memisahkan antara keduanya. Jasa diBalas.
Hutang emas boleh dibayar tapi hutang Budi dibawa mati.
Jelas bahawa hutang budi itu tiada dapat diukur nilai harganya. Hanya dikenang sehingga ke akhir hayat. Tidak perlu dibayar dan tidak juga mampu dibayar kerana kita tidak dapat mengukur nilainya. Emas intan dapat dinilai.
Hati terkenang mulut menyebut dan Budi baik tetap dijunjung
Sama juga dengan diatas bahawa budi itu sentiasa menjadi sebutan dan dikenang-kenangkan bahkan ia sangat dipandang terlalu tinggi sebab itu dikatakan dijunjung. Anggota badan seseorang yang paling diatas sekali ialah kepala dan budi ini adalah diatas kepala maka ianya sudah tentu mengatasi kepala dari segi kedudukan ketinggiannya jika dibuat ukuran.
Sebaliknya Jasa adalah satu khidmat yang telah diberi atau dicurahkan dengan berasaskan kepada pertimbangan balasan. Dan balasan ini boleh dalam berbagai bentuk misalnya wang upah, status, anugerah, habuan dan kenaikan pangkat. Ianya boleh dinilai dan diukur walaupun penilaian dan ukuran yang digunakan itu mempunyai piawai yang sama dan berbeza bagi khidmat yang sama.
Jasa dari khidmat itu selalu diungkit-ungkitkan atau diingat atau ditimbulkan untuk sesuatu balasan atau tanda ingatan. Misalnya seseorang yang dikatakan telah berjasa tapi telah mati maka jasanya boleh dibalas dengan memberi nama sesuatu jalan atau bangunan dengan nama orang itu. Atau memberi sesuatu gelaran misalnya aruah P.Ramli yang diberi gelaran Tan Sri kerana jasanya dalam dunia seni.
Sebab itu Jasa dibalas. Boleh juga dikenang tetapi tidak sama seperti mengenang budi kerana jasanya telah dibalas.
Apabila jasa itu boleh diukur maka ianya boleh diperingkat-peringkatkan tahapnya. Misalnya pada tahap cemerlang, terbaik, baik, sederhana, memuaskan dan tidak berapa baik serta tidak baik. Mungkin ada yang tidak bersetuju apabila jasa itu dikaitkan dengan tidak berapa baik dan tidak baik. Apabila orang berjasa maka ianya telah memberi khidmat yang baik kalau tidak ianya tidak dipanggil jasa.
Sesaat fikir benar juga. Tapi apabila ada ukuran dengan piawaian tertentu dan ada juga yang berbeza bagi perkara yang sama maka sudah tentu apa yang ditahapkan sebagai baik oleh seseorang itu tidak semestinya baik bagi orang/pihak yang lain kerana orang lain itu ada piawaian juga. Maka jasa ini adalah satu penilaian yang subjektif. Dan mereka yang telah memberi khidmat adalah mereka yang telah berjasa menurut setengah pihak.
Budi bukan untuk diungkit-ungkitkan atau boleh diungkit-ungkitkan. Jika itu berlaku maka tercemarlah budi itu kerana tiada niat lain mereka yang berbudi itu melainkan berbudi saja , tidak mengharapkan balasan berbentuk kemewahan, kedudukan, habuan, hadiah, upah dan kenaikan pangkat. Jika ada yang terasa telah menerima budi, orang itu cuma sekadar mengingati akan budi yang telah diterima sehingga ke hujung hayatnya. Orang yang berbudi itu tidak pernah meminta budinya dikenang apatah lagi untuk dibayar. Budi tiada piawaian untuk mengukurnya.
Jadi budi perlu dikenang dan jasa hanya perlu dibayar.
Maka mereka misalnya Kerajaan yang meminta supaya budi mereka dikenang adalah tidak tepat. Mereka hanya memberi perkhidmatan dan kerana itu mereka berjasa menurut piawaian mereka saja. Segala perkhidmatan mereka telah dibayar. Malah ada yang tidak menjalankan perkhidmatan mereka secara yang sepatutnya. Perkhidmatan mereka dibayar juga. Paling buruk sekali mereka melakukan sesuatu yang diluar dari yang sewajarnya misalnya melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Tapi khidmat mereka dibayar juga.
Jadi mengapa pula mengatakan rakyat tidak mengenang budi jika tidak memilih mereka semula.
Mungkin mereka lupa Budi hanya untuk dikenang dan tidak perlu dibayar. Jasa mereka perlu dibalas. Dan kalau jasa itu mengikut piawaian kita, ianya yang baik kita wajar membalas. Undilah mereka semula. Dan jika sebaliknya dan jika mereka bertanding, ketepikan mereka.
Bahawa apabila ada pihak yang meminta budi dibalas maka orang/pihak itu tidak pandai berbahasa kerana budi hanya dikenang saja. Sebenarnya apabila diminta balas , itu bukanlah budi. Sebab itu saya kata mereka tidak johari dalam berbahasa. Mereka tidak tahu berbudi dan tidak juga tahu berbahasa. Mereka tidak berbudi bahasa. Sebab itulah yang bukan hak boleh saja digunakan sesuka hati mengikut selera dan nafsunya saja.
Berkaitan dengan hak ini, pengertiannya amat luas sekali. Bukan saja terhad kepada wang dan harta benda. Ia termasuk antaranya memberi malu atau menghina seseorang atas kekuatan kedudukan dan kuasa. Contoh, apa yang telah dilakukan oleh Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor apabila dengan besar hati dan bangganya memalukan seorang penjawat awam dengan hadiah penyapu di hari kecemerlangan jabatan berkenaan.
Tidak ada budi dan tidak tahu bahasa. Tapi beliau masih lagi berharta sebagai balasan khidmat yang telah diberikan.
Satu lagi contoh ialah membuat fitnah dan menyebar fitnah berulang kali menggunakan apa saja kesempatan, peluang dan medan serta media dan jentera yang mereka kuasai. Ya, mereka ini juga telah diiktiraf sebagai berjasa. Maka telah mendapat berbagai kemewahan dan habuan sebagai balasan.
Sekali lagi saya katakan mereka seperti ini tidak ada budi dan tidak tahu berbahasa. Sebab itu apabila mereka bersara, berhenti atau diberhentikan dari perkhidmatan maka mereka telah salah pilih perkataan dalam tulisan dikain rentang yang berbunyi "Khidmat dan Jasa Mu dikenang". Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dikenang kerana mereka sudah dapat balasan.
Mereka tidak layak untuk meraikan pantun dibawah ini,
Pulau Undan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.
Ada terdapat perkataan balasan dalam pantun diatas? Tiada. Yang ada perkataan budi yang perlu dikenang.
Sekali lagi saya cadangkan bahawa sesiapa yang meminta budinya dibalas dengan mengundinya pada pilihanraya yang akan datang ini hendaklah diketepikan. Mereka tidak ikhlas.
Itu hanya pandangan saya saja.
Jumpa lagi dengan izin Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan