Theflowersellingboy

Selasa, 6 Disember 2011

Sayangkan Cucu, Sayangkan Dunia? Entahlah.

Sebelum semalam aku telah agak lama tidak bersolat jemaah di masjid yang jaraknya sepelaungan dari rumah ku yang terletak diatas sebuah bukit. Tapi ini tidak termasuk solat Jumaat yang tidak pernah gagal aku turut sama dengan ahli kariah yang lain melainkan jika aku berada di tempat lain yang berjauhan.

Entah macam mana petang semalam telah tergerak di hatiku untuk bersama dengan yang lain dalam saf dibelakang Imam menunaikan fardhu Maghrib dan Isya. Ramai juga para jemaah pada malam Selasa itu melebihi dari bilangan semasa sebelum aku ponteng dulu yang hanya terdapat tidak lebih dari tiga saf. Itu pun bukan dari hujung ke hujung, sekerat-sekerat saja.

Selepas solat Maghrib dan sementara menunggu waktu Isya seorang ustaz telah memberi ceramah yang menyentuh tentang kelalaian umat Islam akan tanggungjawab terhadap Allah swt kerana leka dengan hal dunia, terlalu sayang akan harta dunia termasuk anak-anak.

Masih terngiang-ngiang suara keras ustaz itu yang menyatakan bahawa ramai orang tidak mahu bersama hadir ke masjid berjemaah semata-mata terlalu sayang untuk meninggalkan anak-anak dirumah terutama anak-anak kecil. "Yang sayang sangat anak-anak kecil itu adalah datuknya. Terlalu sayang sampai masjid pun tak mahu jenguk. Sepatutnya semakin tua masjid tak lupa".

Terkesan juga di hatiku kerana aku ponteng ke masjid selama ini adalah juga untuk menguruskan cucu kerana kedua ibu bapanya kerja tidak menentu jadual. Selalu 'on call' dan kerja lebih masa. Dan aku juga tidak menggalakkan anak yang baru berusia tujuh bulan itu di bawah jagaan pembantu rumah. Aku datuknya dan isteriku neneknya bersedia untuk menguruskan cucu ku itu. Lagipun selepas bersara aku mempunyai masa untuk menguruskan cucu ku itu sepenuh masa.

Aku merenung Naqib yang terbaring diatas katil. Sudah hampir setengah jam cucuku tidur setelah di mandikan oleh neneknya sebaik saja selesai disuapkan biskut bercampur dengan susu. Minggu depan Naqib akan ke Putera Jaya. Emaknya telah ditukarkan kesana. Bapanya memang dari mula, bekerja di Kuala Lumpur. Mereka suami isteri telah bersetuju menyewa sebuah kondo di Putera Jaya yang berhampiran dengan tempat kerja isteri di hospital Putera Jaya.

Hatiku merasa sedih untuk berpisah dengan Naqib yang sejak dari lahir telah kami jaga sehingga usianya ketika ini yang hampir memasuki bulan yang ke delapan. Dia begitu manja sekali. Setiap pagi jam 6.30 emaknya akan membawa dia masuk ke bilikku untuk aku memulakan tanggungjawab menjaganya. Pagi-pagi lagi Naqib akan memberi isyarat kepada ku untuk keluar dari bilik untuk turun menuju ke dataran kecil dihadapan rumah untuk menyedut udara pagi. Dia akan menangis sambil mendepa kedua belah tangannya ke arah aku untuk didukung dan dibawa turun. Jika aku pura-pura tidak faham tangisannya akan lebih kuat lagi. Maka dengan segera dan penuh kasih sayang aku mendukungnya untuk kesana. Secara otomatik Naqib akan berhenti menangis dan ditukar dengan ketawa riang disusuli dengan memasukkan ibu jari kanannya ke dalam mulut. Dia terus menghisap jarinya itu semasa didukung menuruni tangga untuk ke dataran.

Dada ku mula sebak. Air mata menitis membasahi pipiku. Macam-macam yang bermain dalam kepalaku memikirkan hal Naqib yang akan ke Putera Jaya seminggu lagi. Naqib tidak mudah untuk menerima orang selain dari yang dia sudah biasa. Setakat ini dia hanya boleh menerima lima orang saja. Yang lain hanya menerima tangisan darinya jika mahu mengambil, mendekati atau cuba bermesra dengannya. Emak dan ayahnya adalah yang utama. Kemudian aku datuknya dan isteriku neneknya. Di ikuti Acik bapa saudaranya yang masih bujang dan Acu emak saudaranya yang sekali sekala balik bercuti semester.

Kami iaitu aku dan isteri mempunyai keyakinan hampir ke tahap 0 ke atas khidmat dari mana-mana pusat atau rumah penjagaan anak-anak. Tempat-tempat ini walaupun ada setengahnya memberikan 'ranking' sebagai tempat penjagaan anak-anak yang terbaik dengan bintang 7 mahu pun 10 berdasarkan kemudahan serta perkhidmatan atas nisbah seorang penjaga bagi 5 anak atau 2 anak ianya tetap tidak akan dapat memberikan penjagaan seperti yang kami harapkan. Sudah tentu tidak untuk Ahmad Naqib. Tidak sampai kepada piawaian beliau yang begitu tinggi. Dua orang penjaga untuk seorang anak, kalau lebih penjaga amat dialu-alukan.
The more the merrier. 


Aku yang telah memasuki usia bonus dan isteriku pada usia emas telah memberikan penjagaan yang begitu rapi sekali. 

Siapakah yang akan menguruskan Naqib nanti semasa kedua ibubapa keluar bekerja. Aku tidak yakin ada pusat jagaan kanak-kanak dapat menguruskan Naqib seperti apa yang telah aku dan isteri ku lakukan. Tidak sesaatpun kami pernah meninggi suara merasa marah atau geram disebabkan kepenatan menjaganya. Memang menjaga Naqib memerlukan banyak kesabaran. Dia selalu minta di dukung. Kalau tidak dia akan menangis tidak henti-henti. Untuk menidurkannya, dia perlu di dukung di bawa jalan ulang alik sambil aku bercerita dan menyanyikan lagu-lagu ciptaan ku sendiri. Ia memakan masa kadang-kadang hampir satu jam. Paling cepat dia akan lena setelah lima belas minit ulang alik sambil mendengar cerita-cerita dongeng atau lagu ciptaanku. Ada masanya tidurnya lebih pendek dari dodoian untuk menidurnya.

Maka selalunya aku menangguh untuk ke bilik air. Aku bersyukur kerana aku telah di beri sedikit keistimewaan mempunyai keupayaan dan teknik untuk menangguhkan panggilan semula jadi itu. Aku terpaksa berbuat demikian kerana pernah satu ketika setelah berjaya menidurkannya aku meletakkan Naqib diatas katil dan terus ke bilik air. Tidak sampai beberapa minit aku terdengar dia menangis sedangkan aku dalam proses pengeluaran. Terencat dibuatnya. Dengan segera aku keluar dari bilik air dalam keadaan berhadas kecil menuju ke katil. Sesungguhnya muka ku bertukar menjadi pucat , toreh tidak akan keluarkan darah. Naqib betul-betul ada digigi katil. Kedua-dua kakinya mahu di hulur ke bawah. Dengan cepat aku memeluk Naqib dan menangis kesyukuran.

"Tokpa janji takkan tinggalkan Naqib lagi". Itulah janji aku kepada anak kecil yang masih lagi tidak faham akan makna kesakitan atau tercedera akibat jatuh dari atas katil. Aku merenung wajah Naqib dan memeluknya dengan erat sekali. Mata ku memandang kebawah ke  lantai 'tiles' yang menyambut Naqib sekiranya aku terlambat. Pelukan aku semakin kuat. Naqib tidak menangis lagi.

Pengalaman yang memberi pengajaran pada hari itu telah dikongsi sama dengan isteiku. Beliau yang memang mudah cemas , terbeliak mata dan ternganga besar mulutnya apabila cerita itu ku beritahu kepadanya. "Pasal apa abang tinggalkan. Kalau nak tu pun, panggillah Jam", ada nada kesal dan kecewa dari isteriku diatas cara aku menguruskan Naqib. Aku diam saja kerana sememangnya cara aku itu tidak tepat kerana membuat keberangkalian 0 akan kemungkinan Naqib terjaga dari tidur selepas beberapa minit dilenakan.

Bermula dari hari itu kami atau salah seorang dari kami akan sentiasa ada disisi atau berhampiran dengan Naqib. Naqib tidak pernah keseorangan. Akulah yang paling banyak masa bersama dengan Naqib kerana isteriku mempunyai tugas-tugas yang lain seperti memasak dan mengemas rumah. Jadi aku tokpa yang paling setia. Aku tidak mahu perkara-perkara yang bukan-bukan menimpa keatas Naqib. Aku tidak mahu menyesal kemudian dan sentiasa nenyimpan rasa bersalah dalam baki-naki usia yang ada kalau ;yang itu' berlaku. Ya , aku telah merasa kehilangan dua orang anak. Terlalu sedih. Namun itu kehendak Allah, aku redha.

Dan aku sayangkan cucuku.

Sudah tentu ustaz yang berceramah hari itu akan merasa kecewa jika ini yang aku beritahu. Aku beritahu bahawa cucuku memerlukan aku. Maka ponteng ke masjid untuk berjemaah sama nampaknya terpaksa aku teruskan. 

'Itulah manusia. Masa susah bukan main ingat Allah. Dah senang, dah dikurniakan cucu, selamat dilahirkan dah mula lupa". Aku mengarang dalam fikiran ayat-ayat yang mungkin dikeluarkan oleh ustaz itu sebagai menyanggah alasan yang aku beritahu itu. Kata-kata itu jika dikeluarkan oleh ustaz itu, bagi aku adalah tepat sekali. Aku sendiri merasakan begitu. Aku sayang cucu dan ponteng ke masjid.

Tapi  entah mengapa petang semalam aku tiba-tiba merasakan perlu ke masjid untuk bersolat Maghrib dan Isya secara berjemaah. Kalau dulu , aku merasakan ke masjid berjemaah adalah perkara yang biasa saja. Tidak ada yang luar biasa. Ianya sebagai satu rutin dan dilakukan apabila sampai waktunya. Biasanya pada jam 5.30 petang aku akan menghentikan semua aktiviti dan bersiap sedia untuk ke masjid.

Selepas solat Maghrib , aku akan meneruskan ibadat dengan membaca al-Quran secara perlahan-lahan, merangkak-rangkak. Tiada siapa yang ada yang boleh aku minta untuk membantu aku melancarkan bacaan. Tuan Imam akan balik ke rumah dan begitu juga jemaah-jemaah yang lain. Mereka ada hal agaknya. Ada juga yang tinggal membuat dua atau tiga kumpulan di bahagian belakang dekat dengan pintu masuk masjid. Selalunya akan terdengar ketawa dikalangan mereka. Mungkin ada perkara yang menggelikan hati mereka. Tapi aku tidak bersama mereka kerana aku tidak pandai untuk berborak sembang. Kurang modal untuk berbicara. Sebab itu mereka hanya mengecam muka ku dan tidak tahu nama ku. Begitu juga dengan aku.

Melainkan sekiranya ada ceramah keadaan yang sama akan berlaku. Aku didepan merangkak-rangkap baca al-Quran dan beberapa kumpulan di belakang berbicara dengan cerita masing-masing dan selalunya diiringi dengan gelak ketawa.

Aku jadi bertambah bosan.


Dan bulan Mac yang lepas aku menerima sesorang cucu. Cucu yang kedua. Kebetulan anakku itu iaitu emak kepada cucuku ini bekerja di tempat tinggalku. Maka mereka tinggal bersama dengan kami.


Aku memandang Naqib yang masih lagi lena berbaring diatas katil. Nampaknya kali ini Naqib tidur sudah masuk satu jam. Satu rekod baru. Sekarang telah masuk pukul 12.30 tengah hari. Aku masih belum mandi dan belum lagi berkesempatan untuk menunaikan panggilan semula jadi. Aku bangun perlahan-lahan dari sofa supaya tidak mengeluarkan sebarang bunyi kerana telinga Naqib terlalu sensitif dengan bunyi. Malah bunyi suara cicakpun boleh membuatkan dia terjaga dari tidur. 

Aku mula melangkah ke bilik air yang terletak 15 langkah dari tempat dudukku. Aku memandang kearah Naqib lagi sekali. Tiba-tiba langkah ku terhenti kerana aku teringatkan janji yang pernah ku buat dulu bahawa aku tidak akan meninggalkan Naqib keseorangan. Maka aku melangkah semula menuju ke sofa dan duduk semula.  


Fikiran ku mula tertumpu kepada isu siapa yang akan menjaga Naqib di Putera Jaya nanti. Ya, pusat jagaan kanak-kanak tidak akan mampu memberi perkhidmatan seperti yang kami berikan. Anakku pula begitu mengharapkan kami untuk mengikutnya bersama sekurang-kurangnya sehingga Naqib mampu berjalan. Maknanya tidak kurang tiga bulan. Rumah ini bagaimana? "Matilah bunga dan pokok-pokok tak disiram air", begitulah kerisauan isteriku. Tapi aku dan isteri , dalam kesepakatan kami tetap mahu menjaga Naqib. Kami juga risau tentang rumah yang akan di tinggalkan kosong. Aku pula, baru saja mahu berjinak dengan masjid terpaksa pula ke Putera jaya. Aku tahu di sana ada juga masjid. Aku percaya jaraknya tidak sedekat seperti rumah ku ini dengan masjid disini. Itupun aku selalu ponteng.

Entahlah Naqib, harap-harap segalanya akan berjalan dengan baik
"Entahlah Naqib", jalan keluar yang aku ambil dalam menghadapi isu penjagaan Naqib ini.       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan