Theflowersellingboy

Ahad, 11 Disember 2011

NFC: Satu Babak Cerita Yang Sesungguhnya Terlalu Sedih

Buat ketika ini saya cuba bercakap dengan nada sedih. Perasaan sedih. Tidak dengan nada marah kerana telah selalu perasaan marah itu saya hamburkan. Tidak juga dengan perasaan benci kerana ia membuatkan saya bertambah sakit hati.

Saya mahu nyatakan kesedihan yang terlalu amat.  Terlalu sedih diatas apa yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan besar kemungkinan terus berlaku pada masa akan datang. Kesedihan tentang salah urus khazanah negara dengan berbagai cara oleh mereka yang telah diberi amanah untuk menjaga dan menguruskannya.

Baik, saya mulakan dengan perkara yang telah berlaku. Satu  kisah saja dari jumlah yang tidak dapat dipastikan berapa banyaknya dari segi statistik. Tetapi yang pasti bilangannya terlalu banyak dalam berbagai bentuk.

Terlalu sedih apabila wang sebanyak RM250 juta yang di peruntukkan bagi tujuan membekal daging lembu melalui projek 'ladang lembu kebangsaan' (istilah yang saya gunakan saja) atau lebih tersohor dengan ringkasan NFC (National Feedlot Center) telah digunakan bagi tujuan menyenanglenangkan beberapa kerat manusia sahaja, tidak mencakupi rakyat terbanyak seperti yang diharapkan.  

Sedih kerana yang beberapa kerat itu memang telah sedia senang lenang dan mewah . Projek ini tidak di maksudkan kepada mereka untuk menambah kemewahan. 

Terlalu sedih kerana wang negara sebanyak itu diberikan begitu saja seperti memberikan anak-anak membeli aiskrim saja.


Oleh kerana saya terlalu sedih maka saya akan menyampaikan kesedihan saya ini dalam bentuk soal jawab dalam parlimen. Tapi parlimen saya sendiri. Tidak ada Speaker  atau Yang Di Pertua sebagai orang tengah. Tujuannya ialah untuk cuba mengurangkan kesedihan, jika boleh. 

-----Soalan mula- mengapa projek ini boleh diberikan kepada orang yang senang lenang?


Jawabnya ialah- mereka itu orang yang mempunyai kepakaran dalam hal lembu melembu. Mengatasi penternak-penternak lembu di kampong dan di pedalaman. 

Ok jawapan itu boleh diterima kerana NFC ini bukanlah saja terhad kepada bela membela lembu.  Ia melibatkan berbagai kepakaran sebagai sebuah industri perlembuan. Tidak hanya menjaga lembu saja yang cuma memerlukan padang ragut dan kandang.Tidak ada exkspot-impot dan pembangunan lembu. 

Kalau di kampong-kampong, lembu-lembu itu dibiarkan saja berkeliaran mencari makan sendiri, meragut rumput di mana saja yang dapat di lihat oleh lembu itu. Kadang-kadang ada yang merosakkan tanaman orang lain. Oleh itu baik di sembelih dengan parang saja. Lembu NFC ini bukan cara itu untuk disembelih. Maka orang kampong tiada kepakaran.

Maka jawapan itu terlalu munasabah.


Soalan tambahan- siapa kah beberapa kerat orang yang senang lenang itu kerana di Malaysia untuk mendapatkan orang dalam tahap yang sama adalah dirasakan banyak juga. Banyak yang pakar dan senang lenang.

Lagi soalan tambahan-adakah pemilihan dibuat secara tender terbuka, tender tertutup, runding sendiri atau bagaimana?

Jawab soalan tambahan pertama- orang-orang yang  berkepakaran itu terdiri dari satu keturunan tetapi tidak ada kena mengena dengan 'saya'.


Soalan tambahan kedua dijawab begini-oleh kerana mereka itu satu keturunan maka mereka runding sendiri-sendiri.

Jawapan yang diberikan amat munasabah sekali. Boleh diterima kerana itulah cara yang betul dalam membuat sesuatu keputusan. Utamakan keturunan dahulu. Dan oleh kerana itu mereka tidak perlu orang luar untuk berunding apatah lagi untuk menjadi pesaing melalui tender menender. Upah mengupah jaga lembu pun boleh tentukan sendiri. 100k ke atau apa saja 'k' boleh dengan mudah ditentukan. 250 juta takkan tak boleh ambil sedikit untuk upah jaga lembu.

Minta maaf ada lagi soalan tambahan terakhir kerana hendak pastikan siapakah gerangan 'saya' itu.

Jawab- Sayalah, siapa lagi. Saya yang tidak ada kena mengena dengan suami dan anak saya kerana profession saya berbeza dengan profession mereka. Sebab itu mereka menyediakan kondo untuk lembu dan bukan kandang. Lembu mereka perlukan lif tidak seperti lembu kampong yang perlukan titi untuk menyeberang sungai.

Oooooooh begitu.  

Hilang sedikit kesedihan saya. Malangnya marah dan meluat mula pula mengambil tempat.  Marah dan berang saya menggelegak tidak boleh ditahan.

Maka saya pun berkata "Awas kamu, kamu, kamu, kamu dan kamuuuuuuuuuu yang sedang berkuasa itu apabila tempoh kamu berakhir, tak kisahlah bila, Aku akan beritahu Isteriku, Anak-anakku termasuk menantu-menantuku akan  kelakuan kamu-kamu itu. Kelakuan yang tidak senonoh, kelakuan yang tidak semenggah dari orang yang tidak tahu malu. Sekarang Aku simpan dulu, Aku peram sampai masak-masak".

Tapi kenapa saya perlu marah dan meluat? Bukankah mereka itu menjaga kepentingan orang Melayu seperti saya ini. Ini jelas dalam persidangan UMNO yang baru lepas ini. Ahli-ahli persidangan menjerit-jerit menjadi pembela bangsa, agama dan negara. Tiada yang lain melainkan UMNO saja yang boleh berbuat demikian. 

Benar juga!

Maka seperti biasa, seperti kes dulu-dulu yang serupa bentuk dan sifatnya, perasaan marah dan meluat saya mula bertukar  menjadi sedih. NFC ini adalah cuma satu dari babak cerita yang sesungguhnya terlalu sedih saja. Menangislah kita semua orang Melayu tanda kesedihan kita. Itupun caranya yang dulunya yang kita mampu buat semasa kita tahu kes-kes serupa itu. Teruskan lagi tangisan kita untuk masa depan semoga kesedihan kita berkekalan sebagai warisan masa dulu, kini dan selama-lamanya.------

Saya tidak akan berbuat begitu. Tidak akan mahu bersedih lagi. Marah dan benci pun tidak mahu. Saya mahu berfikir secara rasional. Saya dan keluarga tidak akan beri undi kepada yang tidak tahu malu. Cuba perhatikan, memberi jawapan bertulis pun dalam tulisan yang kecil semacam ada perkara yang hendak disorok-sorok. Tapi nampak juga.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan