Pagi-pagi lagi perasaan saya telah terusik apabila mendengar berita dari sebuah saluran tv tentang maklumat yang disampaikan oleh saluran tv berkenaan. Saya percaya berita itu adalah ulangan dari siaran berita yang telah dipancarkan lebih awal, mungkin pada sebelah malam.
Bagi saya bukan maklumat itu untuk dipertikaikan kerana saya pun tidak ada maklumat dan fakta yang sahih untuk berbeza dari yang disampaikan. Cuma saya telah terbiasa mendengar maklumat-maklumat seperti itu atau yang bersifat seperti itu setiap kali secara tidak sengaja saya terpetik saluran tv berkenaan. Maksud saya berita atau maklumat yang disampaikan itu lebih banyak berunsur propaganda bagi pihak berkenaan sehingga boleh menimbulkan rasa jemu, mual, muak dan meluat. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa ada maklumat-maklumat itu merupakan putarbelit dan pembohongan yang terlalu ketara sehingga penyiar saluran tv berkenaan tidak langsung memikirkan bahawa penonton juga mempunyai daya pemikiran yang mampu berfikir yang mana satu betul dan yang mana satu pembohongan disamping mempunyai maklumat-maklumat dari sumber-sumber lain yang boleh dibuat perbandingan, seterusnya dianalisis dan dibuat kajian. Yang paling hina sekali ialah pembohongan dan fitnah itu diulang tayang. Ulang tayang ini juga bukan setakat melalui pemberitaan bahkan diadakan dalam bentuk diskusi atau forum bagi melebarkan pembohongan dan fitnah itu.
Saya percaya strategi ini bagi menyakinkan lagi sebahagian rakyat yang tidak mempunyai atau yang tidak terdedah kepada pemberitaan dari sumber -sumber yang lain. Mungkin strategi ini telah berjaya meyakinkan setengah pihak. Cuma kejayaan strategi itu hanya boleh merosak dan menjerumuskan masyarakat ke dalam perbuatan-perbuatan yang terkutuk dan keji. Maka apalah gunanya beribu-ribu pesanan dan seruan dibuat dalam rancangan-rancangan yang lain mengajak orang ramai supaya melakukan yang makruf dan cegah yang mungkar sedangkan penyiar tv itu juga melakukan sesuatu yang tidak betul amat hina sekali. Sesungguhnya saya berasa amat dukacita sekali.
Saya merasakan tidak perlu menjelaskan secara spesifik maklumat-maklumat yang tidak betul itu kerana saya percaya orang lain mempunyai kemampuan untuk menilainya sendiri. Apa yang menjadi kegusaran ialah kekerapan penyampaiannya yang tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada pihak tertentu untuk menyampaikan cerita pihaknya pula. Jika itu dapat dilakukan maka orang ramai mendapat keadilan dari segi berita dan maklumat yang diterima. Maksud saya adil dari segi mereka tidak akan terlibat dengan melakukan perbuatan yang mungkar akibat dari salah maklumat, lalu menyebarluaskan. Bertambahlah dosa mereka.
Pemberitaan yang bersifat tidak adil itu memang sudah menjadi satu kebiasaan. Namun saya tetap tidak berhenti untuk menyatakan perasaan kecewa terhadap perbuatan seperti itu.
Satu hal yang hendak diperkatakan disini ialah tentang sumber maklumat pemberitaan itu. Dalam kes pagi ini telah ditunjukkan secara jelas bahawa sumber itu datangnya dari satu personaliti yang telah berubah arah. Berubah ke satu arah yang boleh membawa kepada keselesaan dan kemewahan berbanding jika mengekalkan arah yang sama seperti asalnya. Personaliti yang bercorak , berbentuk, bersifat dan berperangai seperti yang ditunjukkan oleh personaliti yang di tonton pagi ini juga menghinggapi beberapa personaliti yang lain. Cuma yang berbeza hanya wajah mereka. Yang lain serupa.
Mereka ini pada dahulu kala adalah panglima-panglima, pejuang-pejuang dan wira-wira yang sentiasa kedepan , menjadi barisan depan pertahanan yang memegang pendirian 'membujur lalu , melintang patah' dan 'langkah mayat aku dahulu' dan 'kami sentiasa berada di belakang mu'. Dan sekarang yang ada pada mereka ialah 'kami sentiasa ada di belakang mu', dan oleh kerana telah berubah arah ditambah pula dengan kata-kata ' supaya kami dapat menolak mu masuk longkang'. Inilah yang telah sentiasa dilakukan oleh mereka yang berwajah sama tetapi berrperangai terlalu buruk.
Sama ada maklumat yang dikeluarkan dari peti rahsia hati mereka itu benar atau bohong tidaklah dapat saya pastikan. Hanya saya dapat mengingat kembali akan kata-kata yang pernah terkeluar dan yang telah dihamburkan yang ada juga sebahagiannya dengan cara yang kasar dan biadab keatas pihak yang sekarang ini menjadi pegangan arah hidup masa depannya. Satu pusingan yang melebihi darjah putaran satu objek bulat, melebihi 360 darjah. Inilah personaliti yang dijadikan bahan rujukan dan sumber maklumat pemberitaan yang saya dengar pagi tadi. Apakah nilai baik yang dapat kita raih dari maklumat bersumberkan personaliti seperti ini. Jika orang ini menjadi saksi dalam perbicaraan dalam sebuah mahkamah dihadapan hakim yang adil sudah tentu penyaksiannya ditolak ketepi malah beliau boleh dipenjarakan kerana menjadi saksi bohong.
Malang sekali pihak yang dahulunya yang telah mendapat nistaan dari personaliti ini, bukan sekali bahkan terlalu kerap dan membosankan, dengan senang hati menerima personaliti seperti ini. Saya tidak yakin bahawa pihak ini tidak menyedari akan apa yang telah dilakukan oleh personaliti ini dahulu. Yang saya nampak ialah selagi personaliti ini boleh digunakan bagi menyerang, melemah dan menghancurkan pihak yang menjadi seterunya melalui 'luahan rahsia ' dari orang yang dahulunya wira kepada musuhnya, maklumat itu mempunyai nilai politik yang tinggi. Dan lupakan nilai akhlak, moral dan agama. Sesungguhnya amat hina sekali pendekatan seperti ini. Bagi saya personaliti seperti ini juga tidak akan memberi faedah jangka panjang kepada mana-mana pihak, malah menyusahkan kerana menjadi beban saja , kredibilitinya menjunam dilembah yang terlalu hina.
Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa supaya negara kita tidak dibebankan dengan orang-orang yang berperangai seperti ini kerana jika orang ini diberi kuasa, anda boleh bayangkan bagaimana putarbelit yang melingkari jiwanya itu membelit kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan