Theflowersellingboy

Selasa, 27 Disember 2011

Sayang Cucu Jagalah Cucu

Semasa saya bekerja dulu sewaktu menghampiri saat bersara ketika itu belum seorang pun anak-anak yang telah mendirikan rumah tangga. Keempat-empatnya masih dalam alam persekolahan, dua diperingkat U dan dua di peringkat menengah.  Bermakna semasa sudah menjangkau hampir 55 tahun saya masih lagi belum boleh memikirkan untuk menimang cucu walaupun ada diantara kawan-kawan sebaya yang telah mula mendukung dan memimpin  tangan dua tiga orang cucu. Ada yang bermanja-manjaan diantara cucu dengan datuk dan neneknya. 

Maka sewaktu melihat keadaan yang indah itu ianya menimbulkan satu perasaan yang  begitu melonjak sekali untuk segera mendapat cucu. Tapi apakan dasa anak-anak  masih lagi belum tamat pengajian. Lupakan saja? Tidak, masih lagi menaruh harapan agar anak-anak berjaya dalam pengajian dan Allah mempercepatkan  jodoh mereka. Itulah diantara doa-doa kami suami isteri.
 
Dalam kami berharap dan berangan akan dikurniakan cucu suatu ketika nanti, kami juga mendengar cerita-cerita kawan-kawan yang telah dikurniakan cucu/cucu-cucu. Ada cerita suka dan menyeronokkan dan tidak kurang juga cerita yang merisaukan. Namun saya lebih fokus kepada cerita yang merisaukan.  Saya pasti akan menghadapi perkara yang merisaukan ini kerana anak-anak saya sudah tentu akan meneruskan kerjaya dan pasangannya juaga akan berbuat demikian apabila mereka mempunyai anak nanti.

Rata-rata datuk dan nenek-nenek itu menyatakan kerisauan berkaitan dengan penyerahan penjagaan kepada pembantu rumah. Pertama, tidak mudah untuk mendapat pembantu rumah yang berkenan dihati. Maksudnya yang boleh diberikan kepercayaan untuk menjaga cucu dengan baik dan selamat. Kedua kos mendapatkan yang terlalu mahal mencecah RM7,000.00 sedangkan penjagaan terhadap cucu belum tentu baik dan selamat. 

Satu lagi kerisauan ialah untuk meninggalkan rumah dan tinggal dirumah cucu.

Kerisauan pertama itu berasas sekali kerana kejadian-kejadian pembantu rumah mendera dan memberi ubat tidur kepada anak jagaan telah pun berlaku. Ada juga kes-kes dimana pembantu rumah lari dan meninggalkan anak keseorangan. Kes membawa lari anak-anak oleh pembantu rumah. Dan perangai pembantu rumah yang mencuri barang kemas, wang dan bercakap talipon berpanjangan semasa menjaga anak. Macam-macam lagi perkara yang tidak berkenan dihati, yang tidak baik dan tidak selamat kepada anak-anak dibawah penjagaan pembantu rumah.
 
Kerisauan kedua juga berasas. Memang kosnya terlalu mahal yang dikenakan agen penyedia pembantu rumah. Kadang-kadang baru sebulan dua bekerja, ada pembantu rumah mohon berhenti atas berbagai alasan misalnya rindukan anak di kampong, ibu sakit dan macam-macam lagi. Terpaksa pula mencari yang lain. Terpaksa pohon cuti kerja jika pengganti tidak dapat serta merta. Banyak masa yang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan pembantu rumah.
 
Kerisauan tentang meninggalkan rumah sendiri untuk tinggal bersama cucu secara langsung mengena diri kami sendiri. Menjaga dan mengurus cucu adalah yang kami tunggu . Itulah yang mahu kami lakukan. Tetapi kata orang seburuk dan sekecil-kecil rumah sendiri lebih selesa berbanding dengan secantik mana istana orang. Banyak benda yang akan bermain dikepala. Antaranya pokok-pokok bunga yang akan kekeringan tanpa menerima siraman dan bajaan; sampah-sampah yang berlonggok-longgok, bersepah tiada siapa yang buang; rumput dan tanaman liar yang tumbuh memburukkan pandangan; tahi-tahi cicak yang berlonggong dan bertaburan kerana tiada siapa yang menyapu dan habuk-habuk yang melekat dan memasuki rumah tiada siapa yang membersihkan.
 
Tapi jika timbul keperluan untuk cucu itu dijaga apakah pilihan yang perlu dibuat?
 
Apa yang saya maksudkan dengan timbul keperluan itu ialah satu keadaan dimana kami tidak akan berasa tenang untuk tinggal dirumah sendiri. Mengapa pula tiada ketenangan. Bukankah rumah sendiri? Bukankah rumah dapat diurus dan dibersihkan? Pokok-pokok bunga dapat dibaja dan disiram? Rumput dan tumbuhan liar serta sampah-sampah dapat dimesin dan dibuang?
 
Jawapannya hanya satu iaitu tidak ada kepercayaan kepada orang yang bakal diserahkan jagaan cucu itu.
Sebenarnya kami mempunyai dua orang cucu lelaki yang beza umur lebih kurang lapan bulan. Cucu pertama adalah dibawah jagaan seorang suri rumah. Cucu kedua adalah yang ketika ini kami jaga.
 
Kami menjaga cucu yang pertama bermula dari kelahiran sehingga beberapa bulan sebelum diserahkan kepada seorang suri rumah yang rumahnya tidak jauh dari rumah anak kami. Semasa perjumpaan dengan penjaga dirumahnya kelihatan kepada kami air muka orang ini nampaknya seorang yang penyayang dan sukakan anak-anak. Maka anak kami telah memutuskan untuk menyerahkan kepada orang itu dan kami pula begitu yakin bahawa cucu kami akan dijaga dengan baik selamat dan penuh kasih sayang. Dalam beberapa bulan berjalan maka sahlah bahawa orang ini orang yang penyayang kerana semasa beliau bercuti bersama anak-anaknya di Cameroon Highland beliau telah membeli beberapa pasang pakaian untuk cucu saya. Cuma orang yang ada kasih sayang akan berbuat begitu. Maka sehingga sekarang cucu saya yang ketika ini berumur setahun lebih masih lagi dibawah jagaannya.
 
Cucu kedua ada sedikit berbeza ceritanya. Setakat ini kami merasakan cucu kami ini terlalu memerlukan kami untuk menjaganya. Pertama belum lagi terjumpa orang sebaik yang diperolehi oleh cucu pertama tadi. Kedua cucu yang ini tidak mahu menyusu botol walaupun dari perahan susu ibu. Susu formula? Asalkan selain dari breast feeding yang lain dia tolak. Maka ia akan lapar. Bila lapar dia akan menangis. Menangisnya terlalu lama sehingga bengkak-bengkak mata. Emaknya pula selalu on call. Jadi dalam 22 jam cucu saya itu tidak akan minum susu. Menangislah jawabnya.
 
Saya tidak yakin ada orang yang mempunyai daya tahan untuk menguruskan cucu saya ini. Saya membayangkan beliau akan dicubit atau diberi ubat tidur atau diherdik. Kami tidak sedikitpun berbuat begitu. Adakah kami orang yang penyabar? Tidak juga. Cuma dia adalah cucu kami. Kami ada ikatan kasih sayang. Marah,benci,herdik,tengking, cubit dan pukul tidak pernah menguasai diri kami. Yang ada ialah pujukan, pelukan ,ciuman dan manjaan. Tidak kiralah dia menangis lama, sakit perut atau tidak mahu minum susu. Kami tetap ikhtiar cara mana untuk mengeyangkannya. Mengenyangkan itu termasuklah menghiburkan beliau dengan berbagai gaya dan laku yang kami lakunkan. Kalau ada orang luar melihat mungkin menganggap kami sebagai orang sedikit kurang siuman. Tapi kami lakukan apa saja kerana tujuan kami ialah untuk meredakan tangisan, membuatkan cucu kami terhibur dan lena untuk tidur.
 
Jadi itulah maksud keperluan yang membuatkan kami memilih untuk bersama cucu ini. Kami berharap akan berjumpa dengan penjaga seperti yang diperolehi oleh cucu pertama kami  itu.  Kami juga sentiasa mendoakan supaya cucu kami ini akan mahu menyusu melalui botol selain dari susuan ibu secara langsong. Jika dua perkara ini dapat diketemu/diselesaikan maka tinggal dirumah sendiri menjadi idaman kami.
 
Oleh itu rumah sendiri yang ditinggalkan itu menjadi keutamaan kebelakang sedikit berbanding dengan menjaga cucu.

Mana-mana yang berangan-angan untuk menimang cucu mesti bersedia menghadapi keadaan seperti kami ini melainkan ada datuk dan nenek yang berkata " Aku dah penat jaga anak, sekarang dah bersara, sudah tua, aku perlu rehat untuk enjoy waktu tua". Kalau begitu katanya datuk dan nenek itu sebenarnya tidak 'enjoy' mendapat cucu. 

Nasib kami baik kerana datuk dan nenek kedua-dua enjoy jaga cucu. Nenek terlalu sangat rajin. Dia memberi kekuatan kepada datuk untuk sama-sama membantu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan