Begitu bersemangat sekali ucapan-ucapan terakhir (ini tanggapan saya saja kerana selepas ini nasib mereka akan ditentukan oleh rakyat ) daripada pimpinan UMNO dihari menurun tirai persidangan tahunan mereka. Dapat disimpulkan bahawa kesemua mereka begitu yakin sekali dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini yang tarikhnya hanya diketahui oleh presidennya saja (mungkin timbalan?). Mereka yakin akan menang. Kemenangan yang melebihi dari tahun 2008, sekurang-kurangnya kemenangan pada kadar 2/3 atau melebihi 66%.
Mereka mempunyai asas dalam keyakinan yang baru diperolehi itu setelah memenangi sebahagian besar pilihanraya kecil yang telah diadakan misalnya kawasan dewan undangan negeri di Negeri Sembilan dan kawasan Parlimen di Selangor. Ini didahului dengan kejayaan mereka dalam masa yang begitu singkat merampas semula pentadbiran Negeri Perak yang dimenangi PR semasa pilihanraya Mac 2008.
Maka pimpinan membekalkan keyakinan ini kepada para delegasi yang akan balik kawasan untuk menghadapi rakyat memanjangkan lidah pimpinan bagi menyampaikan segala kebaikan dan keuntungan dan faedah yang akan rakyat nikmati jika rakyat sekali lagi memilih mereka dalam pilihanraya yang akan datang ini. Mereka telah memberi perkhidmatan dengan penuh keikhlasan, amanah, kerja kuat, prihatin akan keperluan rakyat, penuh kasih sayang kerana mereka memahami akan denyut nadi dan perasaan rakyat, mereka adalah pelindung rakyat dari ancaman pecah belah dan huru hara, dan yang paling penting sekali mereka adalah perisai kepada survival orang Melayu termasuk raja/institusi raja, agama Islam dan negara dari dulu , kini dan selama-lamanya. Maka undilah mereka.
Namun dalam keyakinan itu terdapat juga keraguan yang berbentuk kecurigaan akan taat setia mereka yang akan menjadi penyampai hasrat pimpinan itu. "Jangan skor gol sendiri". Begitulah 'amaran' mungkin juga 'rayuan' yang telah dihamburkan oleh Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya itu. Pengalaman dari pilihanraya 2008 gamaknya.
Bagi saya BN khususnya UMNO susah untuk ditewaskan. Maka jika tewas dalam pilihanraya yang akan datang ini adalah disebabkan secara amnya oleh dua hal utama iaitu tidak mendapat sokongan dari orang bukan Melayu termasuk mereka dalam parti gabungan BN , dan tabiat suka/terpaksa skor gol sendiri.
PR tidak ada kekuatan dalam banyak segi antaranya tiada wang yang mencukupi. Dengan itu jentera pilihanraya terlalu goyah dan lemah untuk berhadapan dengan 'pujukan' dan 'bujukan' dari lawan. Banyak anggota penggerak pilihanrayanya termasuk juga yang jadi calun akan cair atau mudah dicairkan. Tiada juga kuasa untuk melibatkan anggota jabatan-jabatan dan kelengkapan serta peralatan kerajaan, tidak memegang peruntukan untuk dijanji dan diumumkan dalam kempen pilihanraya apatah lagi untuk membawa ole-ole segera pilihanraya.
Maksudnya kalau cakap fasal wang PR kecundang. Cakap fasal jentera pilihanraya yang terdiri dari orang dan kelengkapan/peralatan, PR kecundang juga. Cakap fasal 'executing the actions' yang bergantung sangat kepada dua hal yang disebutkan awal tadi, PR terus kecundang.
Kuasa BN/UMNO tidak mengikut umur parlimen sesuai dengan kata-kata hikmat mereka : Dulu, Kini dan Selama-lamanya.
Walaupun parlimen telah dibubarkan, bekas ahli parlimen BN/UMNO terutama Menteri-menteri yang bertaraf 'care taker' (tugas sementara sementara pembentukan kerajaan yang baru) masih lagi boleh/terus bertindak seperti sebelum parlimen dibubarkan. Kempen mengempen dan umum mengumum peruntukan projek dan apa saja masih lagi menggunakan peruntukan kerajaan termasuklah penggunaan anggota dan kelengkapan/peralatan kerajaan. Pada masa berkempen atau sebelum hari berkempen dalam musim pilihanraya , minta apa saja, jarang sekali rakyat akan dikecilkan hati. Paling tidak beberapa ekor lembu/kerbau akan ditumbangkan bagi meraikan rakyat.
Begitulah keperhatinan BN terhadap rakyat semasa kempen pilihanraya.
PR boleh atau mampu buat? Sudah tentu tidak mampu. Maka kepada rakyat mereka ini tidak prihatin dan kedekut. PR banyak bercakap. Gunakan air liur untuk meraih undi. Cakap fasal memerangi rasuah, keterbukaan, menghapuskan salah guna kuasa, keadilan, hak kebebasan rakyat bersuara dan apa saja yang boleh diistilahkan demi kepentingan rakayat tidak mampu untuk berdepan dengan realiti mendapat habuan segera dan cepat. Tidak kisahlah habuan itu datang bermusim kerana ianya sudah menjadi suatu kebiasaan yang memang telah dijangka, diharapkan dan ditunggu-tunggu kerana musim yang lepas pun begitu juga. Tidak nampak ianya suatu yang salah dan tidak kena. Seronok menikmatinya berbanding dengan memerangi rasuah dan kebebasan rakyat untuk bersuara.
Sebab itu terlalu sukar dan perit bagi PR untuk menang. BN akhirnya yang akan menang. Kali ini saya percaya akan memperbaikki keputusan 2008. Bukan kerana rekod BN bertambah baik tetapi kerana wang, jentera dan kuasa. Bak kata PM yang membawa maksud bahawa 'kita akan melakukan secara luar biasa'.
BN akan kalah atau menang tipis atau kalah tipis adalah disebabkan oleh dua hal yang utama yang disebutkan diawal tadi iaitu tidak disokong oleh bukan Melayu, dan skor gol sendiri.
Hal yang pertama nampaknya jelas sekali bahawa orang bukan Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada BN khususnya kepada parti-parti komponen MCA, MIC, Gerakan dan PPP termasuk ahli parti itu sendiri terutama orang Cina. Saya percaya mereka sudah muak dan meluat dengan BN. Sebabnya? Terlalu banyak sebab yang tidak cukup ruang untuk disenaraikan cuma memadai dengan mengatakan bahawa mereka berpendapat setelah begitu lama diberi peluang memerintah BN masih lagi berwajah dan berperangai serupa. Apa dia? Rasuah dan Salah Guna Kuasa. Sama ada betul atau tidak itu persepsi mereka. Dan bagi saya, jika BN jujur, buktinya memang jelas dimata. Tak perlu pakai cermin mata berkuasa tinggi.
Bagi saya orang Cina tidak mudah dibeli. Tidak laku gula-gula. Mereka boleh tersenyum apabila dirayu untuk memilih BN, undi hak mereka. Tidak seperti orang Melayu dan Bumiputera terutama dikampong-kampong yang mempunyai sumber maklumat yang terhad dan pendidikan yang tidak berapa tinggi , mudah saja cair jika menerima atau dijanjikan habuan. Mereka masyarakat yang tidak cerewet (simple) dan mempunyai tahap ketaatan yang susah untuk digoyah atau diubah. Kalau dulunya mengundi UMNO/BN maka mengapa sekarang perlu menukar parti yang lain. Selama-lamanya undilah UMNO/BN.
Sama juga dengan orang India. Tetapi mereka lebih mengerti sedikit berbanding dengan orang Melayu dari segi hak mengundi.
Orang Cina sudah jelas dimana undi mereka akan pergi. Orang India masih lagi boleh diberi gula-gula seperti orang Melayu. Cuma tidak dapat dipastikan nisbahnya.
Jadi dalam keadaan ini BN akan menang tipis atau kalah tipis.
UMNO/BN akan kalah jika berlaku seperti yang telah diberi amaran oleh TPM itu iaitu masuk gol sendiri. Maka PRlah yang akan menang.
Bagaimana boleh timbul situasi tendang gol sendiri ini? Yang dapat saya fikir antaranya seperti yang selalu diingatkan ialah tidak dapat menjadi calun.
Mereka yang merasakan atau yang akhirnya tidak akan menjadi calun adalah penghalang terbesar untuk UMNO menang. Sabotaj sana sabotaj sini.
Namun situasi itu dapat juga diatasi kalau ada habuan tukar ganti walaupun ianya tidak semewah menjadi YB jika menang nanti. Ini adalah satu perkara yang biasa. Takkan melopong saja tidak dapat apa-apa terutama kepada mereka yang telah berkhidmat begitu lama dalam parti.
Bagaimana pula yang masih mengatakan dialah calun 'winnable' , yang boleh memenangkan UMNO? Mereka masih lagi mahu mencurahkan khidmat bakti demi bangsa, agama dan negara. Yang inilah agaknya menjadi kerisauan TPM tadi.
Alasan untuk menjadi calun itu sungguh murni sekali. Tapi saya terdengar juga semasa mengikuti petikan perbahasan ahli-ahli dipersidangan UMNO baru-baru ini melalui tv, terdapat suara-suara lantang yang mahukan ahli-ahli parti mengetuai GLC kerana mereka memahami hasrat dan perjuangan bagi mengangkat maruah dan ekonomi orang Melayu. Projek, kerja dan kontrak dapatlah diagih-agihkan kepada mereka.
Sepintas lalu bagus juga cadangan itu terutama kepada ahli-ahli parti UMNO. Namun mereka ini tidak sedar akan kesan kepada pihak lain yang diluar parti UMNO termasuk orang Melayu dan bukan Melayu yang tidak mengaitkan diri mereka dengan mana-mana parti politik. Jangan kata mereka ini 'orang atas pagar' seolah-olah mengatakan mereka tidak ada prinsip. Mereka matang berfikir dan bertindak.
Tapi desakan itu secara langsung mengesahkan apa yang dihujahkan oleh orang ramai terutamanya pembangkang bahawa benarlah UMNO ini suka mengamalkan 'nepotism' yang mana UMNO sentisa menafikan. Sementara mereka berkuasa berilah apa yang ada untuk mereka. Sebab mereka mahu hidup mewah dan senang tanpa berusaha kuat. Dapat tender secara tender terhad (saya katakan terlalu terhad kerana mereka mahu untuk kumpulan mereka saja, itulah hasrat desakan mereka), runding harga, sistem 'design and built' yang boleh dimanipulasikan dan berbagai cara lagi.
Lihat, ahli yang mendesak itu akan balik ke kawasan untuk cuba memenangkan UMNO. Katakan dia/mereka tidak menjadi calun. Maka peluang untuk mewah akan terlepas. Apa yang perlu dibuat? Skor gol sendiri. Sebab asas desakan beliau/mereka itu ialah untuk hidup mewah tanpa kerja keras. Berikan saja kepada mereka. Hanya jadi YB hidup akan terjamin mewah.
Ada yang mahu menafikan? Memang ada. Ini satu penyakit UMNO atau banyak dari ahli UMNO, tidak semuanya. Denial syndrom. Orang Cina secara pelat-pelat akan berkata "wa picayalah".
Hanya saya nak ambil satu perbandingan. Katakan ahli UMNO itu seorang doktor perubatan yang baru keluar dari Universiti dan telah pun menjalankan khidmat wajib 2 tahun yang dipilih menjadi calun dan menang. Sahabatnya yang berkelulusan sama, keluar pada tahun yang sama dari Universiti yang sama juga tetapi terus berkhidmat sebagai penjawat awam. Saya nak tanya: i) diantara dua kerjaya ni siapakah dulu yang akan dapat beli rumah? Maksud saya rumah besarlah bertaraf mewah. ii) dalam tempoh yang singkat siapa yang akan dapat memandu kereta mewah? iii) siapa yang mampu membeli dan bermain dipasaran saham? Cukup tiga soalan itu saja.
Itu perbandingan 'apple dengan apple'. Banyak juga mereka yang tidak belajar pada tahap yang sesuai untuk keperluan masa ini terutama YB di peringkat DUN menjadi mewah dalam tempoh yang singkat berbanding dengan seorang doktor yang pernah sekelas dulu.
Masih tak percaya lagi. Masih mahu nafikan. Lihatlah persekitaran anda.
Maknanya jadi YB sebenarnya untuk mengejar kemewahan. Tapi tidak semua begitu. Yang hendak mengejar kemewahan inilah yang skor gol sendiri.
Orang yang membuat desakan itu mungkin terlupa atau telah dipengaruhi sangat oleh nafsu tamaknya bahawa yang boleh memberi kemenagan kepada UMNO itu bukan ahli UMNO saja. Orang Melayu diluar UMNO pun terlalu penting. Apa kah perasaan orang Melayu yang bukan ahli UMNO terutama yang ketika ini memegang atau mengetuai GLC itu dengan desakan seperti itu. Mereka pun ada perasaan dan yang paling penting mereka mempunyai hak untuk mengundi. Bukan mereka saja termasuk sanak saudara dan sahabat handai orang sekampong.
Kecuali jika UMNO terlalu gah menganggap orang Melayu luar UMNO itu tidak penting dan boleh dinyahtepikan kerana boleh menang tanpa mereka. Tapi lupakah akan kata-kata TPM bahawa ada ahli UMNO yang tendang ke arah gol sendiri. Kalau sudah ingat dan sedar jangan mengelabah pula mencari orang Melayu di luar sana.
Kepada orang bukan Melayu pula sama ada orang BN atau luar BN
Kecuali jika UMNO terlalu gah menganggap orang Melayu luar UMNO itu tidak penting dan boleh dinyahtepikan kerana boleh menang tanpa mereka. Tapi lupakah akan kata-kata TPM bahawa ada ahli UMNO yang tendang ke arah gol sendiri. Kalau sudah ingat dan sedar jangan mengelabah pula mencari orang Melayu di luar sana.
Kepada orang bukan Melayu pula sama ada orang BN atau luar BN
desakan seperti itu menguatkan keazaman mereka untuk mengalahkan BN kerana jika BN terus berkuasa maka mereka akan menerima kesannya berterusan.
Kesimpulannya ialah UMNO/BN sepatutnya boleh menang. Menang 2/3, dan paling teruk menang tipis. Mereka ada dan menguasai segala yang diperlukan dalam sebuah pilihanraya di Malaysia.
Yang membuatkan UMNO/BN kalah ialah perangai orang-orang UMNO itu sendiri termasuk diperingkat kepimpinan yang tidak puas-puas mahu hidup mewah secara mudah, yang sentiasa menggunakan cara yang menjijikkan memfitnah dan berbohong secara terang-terangan seolah-olah orang ramai khususnya orang Melayu tidak dapat membezakan yang hak dengan yang batil, yang fitnah dengan yang benar. Perangai ini dari dulu dan diteruskan hingga sekarang. Saya tidak pasti ianya akan kekal selama-lamanya. Harap-harap mereka berubah seperti yang selalu diucapkan.
Saya percaya itu adalah perangai orang UMNO yang mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara.
Seperti yang saya katakan tidak semua begitu kerana terdengar juga suara-suara ahli persidagan yang menyuarakan kebimbangan tentang kes yang popular dengan kondo lembu. Kata mereka, ini menyusahkan mereka untuk balik ke kawasan untuk meyakini rakyat supaya mengundi UMNO/BN.
Masih mau nafikan. Ini bukan kata saya. Ini bukan kata pembangkang.
Jadi bagaimana ahli-ahli itu akan menghadapi rakyat kawasan? Kalau tidak terpilih menjadi calun, bagaimana perangai mereka?
Semuanya ini akan menentukan menang atau kalah UMNO/BN. Tapi kalau dapat diuruskan secara terbaik UMNO/BN paling teruk akan menang tipis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan