Theflowersellingboy

Khamis, 8 Disember 2011

SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA): Satu Transformasi?

Tahniah kepada penjawat awam yang bakal menerima Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada awal tahun baru nanti. Sudah tentu perkara yang menggembirakan ialah dari segi struktur gaji dan kenaikan gaji mula dan peningkatan gaji maksima setiap gred jawatan serta  faedah-faedah lain yang mengiringinya. 

Sudah tentu juga penjawat awam itu  akan memberikan perkhidmatan melebihi atau sekurang-kurangnya setimpal dengan apa yang akan diterima. Sebagai bekas penjawat awam yang ketika ini sedang menikmati tempoh dalam persaraan, saya penuh yakin sebahagian besar penjawat awam boleh melakukannya, dengan usaha yang kuat penuh cekal dan izin Allah.

Cuma saya ada satu kekhuatiran.

Sebelum itu lebih molek kita melihat dulu asas/prinsip yang menegakkan SBPA ini.

Asas kepada SBPA ini ialah perubahan atau apa yang selalu disebutkan sebagai TRANSFORMASI. Ini adalah model yang mahu dibawa dan dilaksanakan oleh Pentadbiran Kerajaan yang ada sekarang ini. Transformasi dalam berbagai bidang dan sektor umpamanya Transformasi Ekonomi dan Politik kearah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Maka nadi utama yang menggerakkan transformasi ini ialah Kerajaan itu sendiri melalui jentera pelaksannya iaitu penjawat-penjawat awam. Sudah semestinya jentera ini mesti diberi satu 'kekuatan' yang dapat memenuhi hasrat tersebut. 'Kekuatan' yang dirangkumkan dalam kata-kata 'Mesti berubah atau Transform.

Apa yang perlu berubah atau apa kah bentuk transformasi itu. 

Menurut maklumat yang diketahui bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang dikatakan 'radikal', dan ciri-cirinya,

i) Radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya. 
ii) Mereka yang berprestasi akan dikekalkan dan yang tidak berprestasi akan di tunjukkan jalan keluar (ditamatkan perkhidmatan) melalui prinsip susur keluar (exit policy). 
iii) Mengutamakan merit.
iv) Menaikkan gaji maksima setiap gred.
v) Kenaikan gaji tahunan diantara RM80- 300.
vi) Mewujudkan banyak mata gaji. 

Sepintas bacaan dan dari pengalaman berbagai sistem dan skim gaji terdahulu termasuk SSM saya tidak nampak adanya satu perubahan yang radikal. Misalnya dari segi mata gaji dan kenaikan gaji. Dalam semua skim yang telah dilaksanakan tidak pernah gaji atau tangga gaji yang ditawarkan dalam skim baru bagi menggantikan skim terdahulu termasuklah faedah-faedah dan kemudahan yang mengiringinya lebih rendah dari yang terdahulu. 

Begitu juga dari segi prestasi kerja dan merit. Setiap penjawat awam itu dikehendaki memberikan perkhidmatan yang terbaik. Mereka yang 'terbaik' saja yang diberikan kenaikan pangkat. Bermakna asasnya juga ialah merit. 

Mungkin ada pihak mengatakan bahawa merit ini adalah satu ukuran yang objektif maka ia tidak sama dengan pengertian  yang 'terbaik' yang dipakai dulu, yang subjektif katanya.

Saya boleh juga bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangan seperti itu. 

Bagi saya semuanya bergantung kepada mereka yang akan melaksanakan tugasan memberikan penilaian kepada penjawat awam itu. Cuma saya berani katakan bahawa 'merit' dari kaca mata si A adalah mungkin tidak sama dengan 'merit' si B. Ukuran prestasi si A juga berkemungkinan tidak sama dengan si B. Bukankah mereka itu manusia? 

Manusia yang terhibur dan menghibur. Manusia yang rindukan pujian. Manusia yang apabila duduk diatas jarang boleh ditegur atau berbeza pandangan. Manusia yang memang tidak suka yang lain lebih pandai maka akan dikatakan memandai-mandai. Manusia yang segala-galnya mempunyai sifat manusia misalnya cemburu, sakit hati , kecewa dan banyak lagi. Maka 'merit' yang dikatakan objektif itu akan menjadi hiasan mulut saja untuk menjadi senjata mempertahankan sistem.

Jangan pula ada yang mengaku bahawa ini tidak dapat dielakkan kerana faktor manusia itu. Saya juga tidak bersetuju. Yang paling teruk lagi jika ada yang mengatakan bahawa 'perkara seperti itu jarang berlaku , iaitu sesuatu yang terasing'.

Yang paling kacau sekali ialah jika penentuan merit dan prestasi itu datangnya dari tangan-tangan ghaib yang maha berkuasa walaupun bukan tugasannya. Oleh kerana ianya berkuasa dan ghaib pula terlalu amat susah untuk membuktikannya walupun kita tahu siapa gerangan si tangan ghaib itu.

Saya tambah sedikit lagi berkaitan merit dan prestasi ini. Jika anda secara relatifnya kurang prestasi dari kawan anda, jangan risau . Anda ada jalan keluar untuk kekal dalam perkhidmatan. Tidak perlu gusar dengan 'exit policy' itu. Cuma anda perlu menjadi pemerhati yang baik dan tajam akan peribadi bos anda itu, apa yang dia suka. 

Contoh: Bos suka sangat main golf? Anda tidak perlu main bersama. Tapi mesti pandai mengatur 'flights' dan adakan goodies yang menyelerakan. Itupun tidak cukup. Anda mesti tentukan 'goodies' tertentu itu akan tetap menjadi genggaman bos itu. Kalau anda bermain bersama lagi bagus. Cuma anda mesti banyak kali hayun kayu/batang golf itu sebelum sampai ke lubang.  Dan tentukan juga bola yang anda pukul itu masuk hutan atau masuk kolam. Yang terbaiknya bola golf itu hilang. 

Anda telah melakukan sesuatu yang merit dari segi pandangan bos anda. Dan itu pun prestasi anda yang terbaik yang menjadi ukuran.

Maka apa yang radikalnya dalam perkara berkaitan dengan merit dan ukuran prestasi itu. Apakah perubahannya atau apa yang menjadi satu transformasi. Dalam bahasa yang mudah 'apa yang barunya'?

Maka mungkin ada yang berkata: "Itu sistem lama. Sebab itu kita nak ubah, nak transform. Kita nak merit dan prestasi". Saya menjawab:"Rasa-rasanya ayat-ayat yang membawa maksud yang sama pernah banyak kali saya dengar dulu. Kan ke dulu ada sistem belanjawan yang dipanggil Program dan Prestasi . Macam siaran ulangan saja merit dan prestasi ini".


Dari segi pengambilan ke dalam perkhidmatan dan pembangunan kerjaya penjawat awam ianya merupakan perkara peningkatan saja bukan sesuatu yang baru. Melainkan dari segi pengambilan jika dilakukan melalui mekanisma selain dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Ini suatu perubahan drastik jika dilakukan. Sama ada baik atau tidak belum dapat diukur lagi. Rasa-rasanya tidak perlu satu mekanisma pengambilan yang baru. Cuma dikaji semula keanggotaan ahli-ahli Suruhanjaya itu, mungkin lebih sesuai.


Berkaitan dengan pengisian jawatan pula, telah diwujudkan satu peluang bagi orang diluar sistem perkhidmatan yang dikatakan berprestasi tinggi? diambil mengisi jawatan perkhidmatan awam pada peringkat tertinggi dan utama. Ini memang sesuatu yang radikal. Tapi membawa kesan yang tidak baik kepada perkhidmatan awam.

Saya hanya berhujah secara rengkas begini,

Perkhidmatan awam tidak sama dengan bekerja di luar. Pencapaian matlamatnya bukan memadai dengan mengemukakan stastik. Pengukurannya hanya satu iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat mengikut cara yang dimahukan oleh Kerajaan yang bertonggakkan kepentingan politik.

Kalau masih tidak jelas juga, saya pohon pihak berkenaan melihat kerangka perkhidmatan awam itu. Kerangka dimana semua penjawat awam ada didalamnya atau mesti sentiasa duduk didalamnya. Maknanya penjawat awam tidak boleh keluar dari kerangka itu. 

Apa dia kerangka itu?

SYMP. 

Jika anda pernah menerima surat dari Jabatan/Kementerian Kerajaan anda akan disajikan dengan kerangka ini. Lihat di ruang akhir, diruang sebelum penjawat awam yang menghantar surat itu menandatangani surat berkenaan. 


Saya Yang Menurut Perintah. Itu budaya penjawat awam. Selagi budaya ini tidak ditukar atau di transform saya tidak yakin orang luar yang mengisi jawatan itu dapat melaksanakan tugas dengan penghasilan prestasi yang tinggi mengikut ukuran semasa orang itu diluar perkhidmatan.


Satu hujah lagi ialah salah guna ruang yang di buka. Sudah tentu orang luar yang bakal diambil itu adalah orang yang selari, sejalan dan seirama dengan kehendak orang yang berkuasa dalam Kerajaan. Itu tidak menjadi satu kesalahan. Cuma saya khuatir dan berdasarkan pengalaman dalam banyak hal, saya yakin akan berlaku pengisian jawatan perkhidmatan awam atas kepentingan politik. Ini amat memberi kesan negatif kepada penjawat awam dan perkhidmatan awam.


Dengan demikian pada pandangan saya SBPA ini nampaknya tidak banyak beza dengan matlamat skim yang terdahulu ditinjau dari faedah kepada penjawat awam. Sewajarnya penjawat awam menerima dan alu-alukan. Lakukan tugasan anda sebaik mungkin dan jangan jadikan soal merit dan prestasi itu sesuatu yang merisaukan kerana kita menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Dan jangan kecewa jika merit dan prestasi ini mempunyai tafsiran yang berbeza. Kita buat kerja dengan sebaiknya. Dapat rezeki yang halal.

Anda perlu juga risau atau kata tidak bersetuju jika orang luar diambil mengisi salah satu tempat anda. Budaya anda dan budaya dia lain sekali. 

Adakah mengambil orang luar itu satu transformasi? Apakah kurangnya anda? Apakah lebihnya mereka?
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan