Theflowersellingboy

Sabtu, 24 Disember 2011

Kerjaya Seorang Doktor Kerajaan: Pandangan Dari Seorang Bapa

Keputusan peperiksaan PMR baru saja diumumkan dengan satu rekod yang terbaik berbanding keputusan-keputusan yang lepas walaupun ada beberapa mata pelajaran menunjukkan sedikit penurunan. Tahniah kepada yang berjaya termasuk anak saudara saya Suhailah dari Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodiah dengan mendapat 9A. Balik nanti bolehlah belanja.

Selepas ini akan muncul keputusan SPM, STPM dan Matrikulasi. Semua keputusan-keputusan peperiksaan ini akan membawa sama arah tuju setiap pelajar. Yang berjaya, maksud saya yang mendapat keputusan baik, akan mempunyai peluang yang lebih untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dan yang kurang berjaya akan juga mempunyai peluang meneruskan pelajaran mereka tetapi agak sempit sedikit ruangnya. Yang 'gagal' pula janganlah meneruskan kekecewaan itu sehingga terlupa bahawa ada lagi pilihan lain yang terbuka, cuma kita perlu berusaha kerana tiada satu pun perkara yang boleh kita dapati dengan mudah melainkan dengan berusaha bersungguh-sungguh, peluang untuk berjaya tetap ada. 

Tapi satu hal yang pasti ialah setiap anak-anak pelajar itu masing-masing mempunyai impian tersendiri kearah menjadi manusia yang berguna kepada diri, ibubapa, keluarga, masyarakat dan negara.
Maka ada yang bermimpi untuk menjadi seorang professional, seorang usahawan dan berbagai lagi. Bidang professional yang menjadi pilihan ramai dikalangan pelajar-pelajar termasuklah yang mendapat galakan dari ibubapa ialah bidang perubatan dan kesihatan, kejuruteraan dalam berbagai disiplin, perundangan dan  akauntansi.  

Impian mereka itu atau ada yang suka menyebut sebagai cita-cita dapat dijadikan sebagai satu realiti melalui saluran mana yang dipilih diperingkat selepas berjaya dalam peperiksaan itu. Sudah tentu sebahagian besarnya akan disalurkan ke bidang atau memilih bidang berdasarkan keputusan tebaik dalam peperiksaan bagi subjek-subjek atau kumpulan subjek tertentu. Di Malaysia secara amnya salurannya ialah diantara sains dan bukan sains.

Satu dari bidang yang masih lagi popular dikalangan pelajar ialah bidang perubatan. Atas alasan atau sebab apa bidang itu menjadi popular di Malaysia saya hanya mampu meneka saja. Mungkin kerjaya seorang doktor pada pemikiran setengah pihak menjanjikan satu masa depan yang baik; satu kerjaya yang glamour; negara kekurangan doktor dan dengan sebab itu bidang ini perlu disertai lebih ramai lagi; desakan dari ibubapa; dan banyak lagi alasan yang lain.

Bagi saya yang amat pasti ialah kekurangan doktor dalam perkhidmatan kerajaan berbanding dengan pesakit yang memerlukan rawatan. Walaupun tanpa statistik bagi menyokong kepercayaan saya ini tapi pengalaman sendiri membuktikan bahawa memang bilangan doktor tidak mencukupi apabila tempoh untuk mendapat rawatan dari doktor terlalu lama.  Pernah kadang-kadang menimbulkan rasa marah, dan mempersoalkan kenapa doktor tidak ada pada masa yang kita perlukan. Itu perasaan dan sikap saya pada suatu masa dulu.
Tetapi sekarang saya tidak lagi dengan mudah merasa marah jika berlaku perkara seperti ini. Sekarang saya lebih memahami mengapa terjadinya keadaan seperti itu.

Seseorang yang baru diambil dalam perkhidmatan pegawai perubatan kerajaan akan menjalani perkhidmatan wajib dua tahun sebagai 'houseman'. Sewaktu menjalani tempoh houseman inilah seseorang itu akan merasai  kepedihan menjadi seorang doktor. Pernah terdengar rintihan seorang houseman menyatakan 'kekesalan' memilih bidang ini yang tidak langsung mengambil kira kebajikan dan kesihatan diri sendiri. Kerja 'macam nak mati' tanpa rihat yang mencukupi. Apa kan tidak kerja dari jam 7 pagi sehingga 5 petang dan kemudian jika ada 'on call' disambung sehingga ke sebelah petang keesokan harinya. Bayangkanlah bagaimana kualiti rawatan yang kita akan perolehi dari seorang doktor yang berkepenatan. Bukan salah doktor itu tapi sistem yang ada membuatkan mereka terpaksa memberi perkhidmatan seperti itu.

Bayangkan pula jika doktor itu mempunyai anak kecil yang menyusu badan. Bayangkan juga jika doktor itu mempunyai suami yang berjauhan tempat kerja. Adakah ianya dapat memberi tumpuan yang baik terhadap kerja? Akibatnya ialah kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit. Tambah pula pesakit yang mudah marah seperti saya dulu. Sungguh malang sekali.

Saya percaya keadaan ini tidak berhenti setakat houseman saja. Ia akan berterusan ke peringkat selepas itu dan yang lebih tinggi lagi. Cuma kadar kesiksaan berbeza, mengurang.

Satu hal yang saya lihat jika bekerja di klinik kesihatan ianya tidak seteruk kerja dihospital terutama kepada doktor-doktor perempuan khususnya yang mempunyai anak kecil yang menyusu.

Dari segi kemudahan seperti perumahan kerajaan ianya tidaklah selaras dengan kategori yang diberikan sebagai perkhidmatan yang kritikal. Rumah kerajaan terlalu terhad. Misalnya jika bekerja dikawasan-kawasan yang sewanya terlalu mahal seperti Kuala Lumpur dan Putra Jaya , seseorang houseman atau doktor yang baru saja melepasi houseman, akan terpaksa membayar sewa rumah yang mahal, ada yang mencapai melebihi satu ribu lima ratus ringgit kerana tidak diberikan rumah kerajaan. Cuba bayangkan bagaimanakah mereka menghadapi suasana seperti ini. Bagaimana pula mereka dapat memberi rawatan yang terbaik.

Mungkin ada yang berhujah bahawa semua perkhidmatan kerajaan menghadapi keadaan yang sama. Kalau begitu mengapa tidak diperbaikki supaya penjawat awam itu dapat memberikan perkhidmatan dengan tenang dan terbaik terutamanya perkhidmatan doktor yang di kategorikan sebagai kritikal. 
Tidak pula terdapat satu bentuk pembiayaan bagi menampung jumlah bayaran sewa yang mahal itu. Elaun bantuan perumahan hanya RM250.00 sebulan sedangkan sewa melebihi 1500 sebulan. Rumah kerajaan tidak ada. Kenapa tidak difikirkan satu kaedah bahawa bagi mereka yang berkhidmat dikawasan-kawasan dimana sewa rumah mahal maka kekurangan dari elaun bantuan rumah itu akan dibiayai oleh kerajaan dengan syarat  jika tidak ada perumahan kerajaan yang mencukupi.

Ditinjau pula dari segi gaji dan elaun-elaun, ianya tidaklah menarik sangat berbanding dengan perkhidmatan kerajaan yang lain. Jangan pula banding dengan perkhidmatan di sektor swasta. Misalnya seseorang yang bekerja disektor swasta dalam bidang ICT misalnya boleh meraih pendapatan RM4,500.00 sebulan. Houseman? Hanya 2 ribu lebih sedikit. Sewa rumah mahal pulak.
Sesungguhnya paparan ini bertujuan untuk menyatakan bahawa sesuatu perlu dilakukan kepada perkhidmatan ini bukan saja dari segi tempoh bekerja bahkan gaji dan kemudahan-kemudahan yang lain. 

Doktor memang kurang dan permintaan bagi perkhidmatannya terlalu tinggi. Cuma amat menghairankan kerana situasi doktor ini bertentangan dengan prinsip supply and demand. Semakin banyak permintaan harganya tidak naik.
Anak-anak pelajar sekalian jika anda berimpian dan bercita-cita untuk menjadi doktor , teruskan kerana ianyanya satu kerjaya yang murni. Tetapi di Malaysia ini anda mesti bersedia secara fizikal dan mental sebelum memilih kerjaya ini. Kita mengharapkan keadaannya akan berubah kepada yang lebih baik. Baik kepada doktor dan baik kepada pesakit yang perlukan rawatan yang berkualiti.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan