Sengaja saya memilih untuk menggunaan bahasa Inggeris dalam menamakan tajuk di paparan kali ini: Felda Settlers (FS) vs Never Forget Cash Cow and Condo (NFC) Projects.
Sebab, pada pendapat saya penggunaan bahasa itu tidak akan mengelirukan malah mudah difahami kerana telah menjadi kebiasaan kita rakyat Malaysia yang memang gemar untuk menggunakan satu dua perkataan Inggeris dalam perbicaraan sama ada yang berbentuk formal mahupun perbicaraan basahan yang sentiasa kita campur adukkan.
Perkataan Felda atau huruf-huruf bagi menyebutnya adalah juga gantian kepada huruf-huruf yang asalnya dari huruf-huruf LKTP yang membawa maksud dalam Bahasa Melayunya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang pada agakan saya telah hilang dari ingatan banyak orang/pihak. Lagipun kita telah sebati dengan UMNO, RISDA, AGRO, SPAD dan banyak lagi yang kesemuanya itu adalah singkatan bagi maksud-maksud tertentu dalam pengucapan bahasa Inggeris.
Saya tidak pula bertujuan untuk berbincang fasal penggunaan bahasa. Yang mahu dibicarakan ialah tentang dua projek yang melibatkan sasaran yang sama tetapi membawa faedah atau keuntungan kepada golongan atau kategori kelas orang yang berbeza. Kedua-kedua projek itu sasaran sebenarnya ialah untuk membantu rakyat khususnya yang berpendapatan kecil sama ada di bandar atau diluar bandar termasuk yang duduk di pedalaman.
Begitulah caranya yang terjadi bagaimana agihan kekayaan (distribution of wealth) dilakukan di Malaysia yang selalu kita dengar dengan kata-kata molok 'development with equity' atau jika di Melayukan maksudnya lebihkurang menjadi 'pembangunan untuk kesaksamaan'. Kata-kata itu cuma tinggal sebagai kata-kata hiasan bagi menyedapkan sebahagian besar rakyat yang telah meletakkan kepercayaan dan amanah kepada mereka yang menguruskan khazanah negara.
FS atau pada asal mulanya adalah kategori/kelas rakyat bawahan yang susah-susah yang tiada tanah yang mencukupi untuk diusahakan bagi penghasilan sesuatu produk/perkhidmatan untuk dijadikan sumber pendapatan dalam menyara kehidupan mereka. Menyedari keadaan ini maka Kerajaan merasakan bertanggongjawab untuk membaikki peluang ekonomi yang lebih baik kepada FS dengan mengadakan satu rancangan tanah berkelumpuk yang sistematik dibawah satu Akta yang dikenali sebagai Group Settlement Area (GSA) yang diuruskan oleh sebuah Lembaga yang dahulunya dikenal sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP). Mereka ini adalah peneroka.
Walaupun terdapat turun naik dari segi pendapatan peneroka tetapai secara amnya kedudukan ekonomi peneroka bertambah baik dari masa kesemasa. Semuanya ini adalah kesan dari kesungguhan Kerajaan, kerja keras peneroka dan pihak Pengurusan Felda yang telah mengurus dengan baik. Maka Felda telah berjaya mempunyai simpanan wang dan aset terkumpul.
Namun perkembangan mutahir ini telah menimbulkan berbagai reaksi apabila ada cadangan untuk menyenaraikan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan Felda (hendak juga dibaca sebagai kepentingan FS ) di pasaran saham awam. Syarikat tersebut ialah Felda Global Venture (FGV). Pihak yang mencadangkan berhujah bahawa ianya akan memberi keuntungan kepada peneroka juga. Oleh itu tidak wajar mendapat tentangan. Ada pula yang berhujah bahawa penyenaraian di pasaran saham ini akan mendedahkan risiko kepada hak pemilikan kepentingan Felda bertukar tangan kepada sesiapa saja yang mempunyai kekuatan kewangan kerana ianya boleh di milikki bila-bila masa dipasaran saham terbuka.
Tanpa maklumat yang tepat dan mencukupi saya tidak mahu mendalami perbicaraan tentang penyenaraian FGV ini. Cuma jika penyenaraian itu akan menggunakan aset seperti tanah, wang dan lain-lain yang mempunyai kepentingan FS sebagai sandaran maka persetujuan dari FS sewajarnyalah diperolehi.
Ertinya janganlah kita cuba mengambil kesempatan diatas kurang pengetahuan FS dalam hal-hal penyenaraian dipasaran saham terbuka dari segi pendedahan kepada risiko dan pulangan dengan menggadaikan kepentingan mereka dalam bentuk tanah dan aset-aset yang lain. Kalau ini berlaku maka kerja baik Kerajaan selama ini akan menjadi sumpahan dan seranahan FS dan rakyat sehingga akhir zaman.
Mungkin kepada mereka yang suka bersumpah dan suka juga mencabar orang lain bersumpah, sumpahan dan seranahan itu dianggap sebagai satu perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan kerana tidak akan memberi kesan terutamanya kesan fizikal, misalnya tidak jadi patung. Apa perlu ditakutkan.
Cadangan penyenaraian FGV itu yang dikatakan akan memberi faedah kepada FS ditambahkan dengan pengumuman pemberian bonus dan insentif produktiviti kepada seramai 95,949 FS seluruh negara. Jumlah implikasi kewangan bagi maksud itu adalah sebanyak RM102.58 juta. Bertambah cerialah FS.
Sekali imbas nampaknya pemberian kewangan itu sesuatu yang saksama sekali diukur dari segi pembahagian kekayaan yang saksama (distribution with equity).
Baik. Saya akan bicara sedikit tentang satu lagi projek yang diuruskan oleh sebuah syarikat bernama NFC. Secara ringkas NFC ini mendapat pinjaman mudah dari Kerajaan untuk projek pembekalan daging untuk kebaikan rakyat melalui skim feedlot. Pinjaman sebanyak RM250 juta telah diluluskan kepada orang/kategori orang yang senang-senang. Orang bandar yang mempunyai kaitan langsong dengan seorang menteri kabinet.
Malang sekali walaupun jumlah pinjaman yang diperolehi itu mudah didapatkan dengan syarat dan terma-terma pinjaman yang mudah juga, besar pula jumlahnya, tetapi pihak Ketua Audit Negara telah mendedahkan bahawa banyak yang tidak teratur mengenai perjalanan projek ini. Maknanya projek ini gagal mencapai matlamatnya.
Yang sebenarnya mendapat faedah langsung dari projek ini ialah mereka yang mendapat pinjaman dan kaum kerabatnya saja dalam bentuk upah dan berbagai kemudahan termasuk lawatan-lawatan merehat diri. Wang itu juga digunakan untuk membeli condo yang katanya merupakan satu pelaburan yang baik berbanding dengan perbelanjaan menyediakan kandang untuk lembu-lembu. Sebab itu saya tidak mudah untuk melupakan projek NFC ini. Saya percaya orang lain begitu juga. Projek ini adalah projek 'cash cow'. Saya suka juga panggil projek ini sebagai Never Forget Cash Cow and Condo project atau saya rengkaskan sebagai NFC juga.
Sekarang cuba kita buat perbandingan diantara faedah yang diperolehi oleh FS dari segi bayaran yang diterima sebanyak RM102.58 juta bagi 95,949 orang berbanding dengan faedah yang diterima oleh beberapa orang yang mempunyai pertalian darah yang mendapat pinjaman RM250 juta . Saya percaya tanpa belajar ilmu hisab yang tinggi kita mudah memberi jawapan iaitu ianya sesuatu yang amat zalim sekali. Zalim kepada FS, zalim kepada rakyat yang susah yang memerlukan sangat pertolongan, zalim kepada rakyat Malaysia dan zalim kepada beberapa orang yang mendapat faedah itu terhadap diri mereka sendiri. Yang zalim juga jatuh ke pangku mereka yang mencadang dan meluluskan pinjaman ini diberikan kepada orang atau pihak yang tidak wajar menerima pinjaman itu.
Kezaliman yang berlaku bukan setakat perkara yang dibincangkan ini saja. Banyak lagi. Dengan demikian saya mempunyai kekuatan untuk mempercayai bahawa penyenaraian FGV juga akan tidak terlepas dari melakukan kezaliman kepada FS dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Saya melihat juga bahawa pemberian wang kepada FS ini ada kaitan dengan cadangan untuk menyenaraikan FGV di pasaran saham terbuka. Maka ada setengah pihak menganggap pemberian wang kepada FS bagi sejumlah RM102.58 juta itu sebagai gula-gula pemanis bagi memudah mendapat persetujuan dari FS diatas cadangan penyenaraian tersebut. Saya tidak pula menganggap pemberian itu sebagai gula-gula kerana gula-gula itu manis, ada kenikmatan selera. Saya lebih setuju untuk mengatakan ianya sebagai racun kerana penyenaraian itu nanti boleh menggadaikan kepentingan mereka. Sesungguhnya saya berharap kekhuatiran saya itu tidak akan berlaku dan salah sama sekali. Jika demikian awal-awal lagi saya pohon maaf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan