Theflowersellingboy

Khamis, 29 Disember 2011

Lilinj Yang Terus Menyala dan Membakar

Tiba sahaja dirumah dia terus ke bilik tidur. Anaknya yang sedang didukung oleh emaknya  terkapai-kapai menghulurkan tangan sebaik saja pintu dibuka. Tapi dia terlalu letih dan mengantuk kerana dia baru saja habis menjalankan tugas 'on call'.
 
Pada jam 7 pagi Isnin dia telah ke hospital bertugas di O and G . Hari itu ialah hari pertama dia memulakan tugas 'on call' setelah seminggu berpindah dari sebuah klinik diluar bandar . Suaminya juga telah bertolak untuk ketempat kerja pada waktu yang sama. Anaknya yang baru berusia sembilan bulan tinggal bersama emak dan bapanya. Dia dan suami belum lagi mempunyai keyakinan untuk menyerah anaknya kepada pembantu rumah.Tambahan lagi emak dan bapanya juga menyokong tindakannya itu atas alasan yang sama.
 
Pada hari itu terdapat empat kes kelahiran. Bagi dia bilangan itu tidak berapa banyak berbanding dengan kes kelahiran disebuah hospital semasa dia menjasdi HO sebelum bertukar ke klinik luar bandar. Semuanya dapat diuruskan seperti sepatutnya.  Cuma ia terlalu penat dan mengantuk kerana tidak dapat tidur. Bekerja dalam tempoh yang begitu lama iaitu 22 jam walaupun ada masa rehat dan tidur tetapi dia tidak dapat tidur.
 
Pada jam 5 petang hari Selasa tugasnya tamat. Dengan segera dia bergegas untuk balik. Balik untuk tidur. Itulah yang ada dalam fikirannya sebaik saja memasuki jam 5 petang.  
 
Di dalam bilik dia nyenyak tidur. Di luar, di ruang tonton tv emaknya sedang memujuk anaknya yang sedang menangis. Maklum saja selama 22 jam dia tidak dapat susuan dari emaknya. Bukan saja haus tetapi terlalu rindu. Rindu pelukan emak dan rindu tidak dapat menyonyot puting emak sambil tangan meraba-raba muka dan mencubit-cubit telinga emaknya. Dan apabila tiba masa yang ditunggu emak terlalu letih dan mengantuk dan terus tidur. Nenek setia memujuk dan berjalan mundar mandir mendodoi dan memujuk. Tidak juga berjaya. Datuknya keluar dari bilik untuk mengambil giliran memujuk anak kecil itu. Itu adalah perjanjian yang telah dibuat sebelum mereka bersetuju untuk ikut sama menjaga cucu. Masing-masing tidak mampu buat seorang diri. Perlu saling bantu membantu.
 
Datuk ada sedikit keistimewaan. Datuk mengambil anak itu dari nenek dan terus berjalan mundar mandir depan belakang sambil menyanyi berulang-ulang dua rangkap pantun yang direka sendiri. Mula-mula nyanyian datuk itu tidak mampu meredakan tangisan anak kecil itu. Tapi lama kelamaan suara tangisan menurun menjadi perlahan. Kelopak matanya perlahan-lahan menutup matanya. Dan anak kecil itu terlentuk di atas riba datuk . Datuk meletakkan anak kecil itu diatas tilam yang telah sedia ada dihadapan tv.
 
Datuk berehat diatas kerusi makan. Fikirannya melayang menerobos tempoh yang telah berlalu. Waktu menghantar anaknya untuk mengikuti Kursus Asasi Sains di Universiti Malaya. Satu taklimat diadakan oleh pihak Program Asasi kepada para ibubapa/penjaga serta pelajar di Dewan Tunku Chancelor.  Di Dewan itu juga datuk menerima ijazah.
 
Dia masih ingat akan pesan dari pemberi taklimat kepada pelajar dan ibubapa bahawa jangan ghairah mengambil bidang perubatan jika tidak ada kesanggupan walaupun mendapat markah yang boleh melayakkan dalam subjek-subjek yang telah ditetapkan. Menjadi doktor bukan untuk suka-suka atau menganggap kerja seorang doktor itu glamour. Kedoktoran memerlukan kekuatan minda dan fizikal. Perlu ada ketahanan dan terlalu banyak perlu berkorban masa untuk diri sendiri dan keluarga. 'Doktor tidak ada kehidupan, 'no  life'. Oleh itu pelajar dan ibubapa dinasihatkan berfikir panjang-panjang dalam memilkih bidang sama ada sains fizikal yang akan menjurus kepada kejuruteraan atau sains hayat yang menjurus ke bidang perubatan.
 
Datuk sungguh tidak berkenan akan nasihat pemberi taklimat itu. Ianya seolah-olah tidak menggalakkan para pelajar untuk mengikuti bidang perubatan. Bertentangan apa yang selalu diperkatakan bahawa bidang ini masih lagi memerlukan ramai orang. Datuk bertambah marah apabila dimaklumkan bahawa ada pelajar perubatan sessi yang lepas menjadi gila kerana tidak dapat menguasai bidang itu disebabkan pelajar itu sendiri tidak minat. Ia hanya melakukan atas kehendak ibubapa saja. 'Mengapa hal seperti ini diperbesar-besarkan', rungut datuk.
 
Sebenarnya datuk tidak mencampuri dan tidak juga cuba mempengaruhi bidang apa yang perlu diambil oleh anaknya. Terpulang kepada anaknya untuk membuat keputusan. Ia hanya akan memberi pandangan jika diminta.  Dan anaknya telah memilih bidang fizikal. Tapi telah bertukar universiti dan sekarang ini menjadi seorang jurutera elektikal dan elektronik.
 
Adiknya pula hanya mahu bidang perubatan. Dan datuk terpaksa akur. Akhirnya berjaya menjadi seorang doktor. Dan sekarang ini sedang tidur kerana keletihan kesan dari tugasan 'on call'. Kerana esok dia akan bertugas seperti biasa. Tiada 'off' selepas menjalani tugas 'on call'. Doktor ini macam robot. Tidak perlu rehat. 
 
Anak kecil yang menangis tidak mampu memujuk matanya  supaya tunggu sebentar, jangan tidur lagi kerana anak sedang menunggu dengan penuh rindu.
 
Datuk sekarang sudah faham akan kata-kata yang didengarnya dalam taklimat dahulu. Itulah agaknya yang dimaksudkan  'no life' bagi seorang doktor. Datuk sungguh kesian. Kesian anak  yang keletihan dan kesian cucu yang dahaga susu dan rindu pelukan serta usapan seorang ibu.
 
Ya, kerja bagi seorang doktor ialah bagi menguruskan kesihatan orang lain, menyelamatkan nyawa orang lain dan merawat orang lain. Lupakan kesihatan diri sendiri. Lupakan juga kesihatan dan keselamatan anak. 
 
Lilin terus membakar dan menyala. Daerah lain nampaknya terang. Daerah sendiri gelap gelita.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan