Theflowersellingboy

Rabu, 14 Disember 2011

Putra Jaya: Kos sewa rumah yang membebankan.

1. Mulai minggu depan anak saya akan ditempatkan di Hospital Putra Jaya. Rumah kerajaan tiada yang kosong maka anak saya terpaksa menyewa sebuah kondo dengan bayaran RM1600.00 sebulan. Sewanya terlalu mahal bagi seorang penjawat awam yang baru 2/3 tahun bekerja. Ini bermakna satu kos tambahan yang terpaksa ditanggong berbanding semasa bekerja di Melaka. Elaun rumah yang diperolehi tidak dapat menampong jumlah sewa yang terpaksa dibayar. 

2. Soalnya mengapakah kerajaan tidak menyediakan rumah kerajaan yang mencukupi khususnya bagi menempatkan penjawat awam yang baru saja bekerja terutama bagi perkhidmatan kritikal seperti doktor yang terpaksa melakukan kerja-kerja 'on call'.

3. Sepatutnya kerajaan memberi keutamaan membina rumah kerajaan bagi penjawat awam yang diperingkat rendah yang bergaji kecil; penjawat awam dalam perkhidmatan kritikal seperti doktor dan polis dan yang lainnya di kawasan-kawasan yang sewa rumahnya terlalu tinggi seperti Kuala Lumpur dan Putra Jaya.

4. Sekiranya rumah kerajaan tiada yang kosong sewajarnyalah kerajaan menampong perbezaan diantara elaun rumah yang di terima dengan sewa yang dikenakan bagi kawasan-kawasan yang sewa rumahnya melebihi dari elaun rumah yang di terima.

5. Sekarang anak saya dalam senarai menunggu untuk rumah kerajaan. Masalahnya ialah tuan rumah hanya bersetuju untuk menyewa rumahnya pada tempoh tidak kurang dari enam bulan. Bermakna jika ada kekosongan rumah kerajaan dalam tempoh 2 bulan lagi, deposit yang telah dibayar sebanyak RM6,000.00 akan hangus jika anak saya itu memasuki rumah kerajaan. Bukankah ini menambah beban.

6. Kerajaan mahukan penjawat awam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tetapi dalam keadaan tekanan kewangan semacam ini bolehkah perkhidmatan terbaik diberikan.  Sebab itu tidak hairan lah jika ada doktor-doktor yang tidak dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kerana di ganggui oleh beban kewangan seperti ini.

7. Setengah pihak mungkin menganggapkan ini sesuatu yang remeh kerana ramai penjawat awam yang mengalami perkara yang sama. Tapi kalau sudah disedari begitu mengapa tidak mahu diperbaikki. 

8. Apakah perkara seperti ini tidak menjadi perjuangan Cuepacs. Perumahan adalah keperluan asas. Jangan sampai ada diantara penjawat awam menyewa rumah setinggan seperti yang pernah berlaku suatu masa dulu.


9. Adakah menteri-menteri, ahli parlimen dan pegawai atasan melihat perkara seperti ini. Adakah mereka prihatin sebab mereka pun tidak mahu susah dibebankan dengan tekanan kos hidup. Atau mereka sekarang ini terlalu mewah sehingga tidak merasa kepahitan hidup orang lain.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan