Pukul 9.15 pagi terima sms dari seorang kawan , kawan sekolah, kawan satu darjah yang mahukan alamat saya untuk membolehkannya menghantar kad jemputan bagi meraikan perkahwinan anak perempuannya. Alhamdulillah, saya mendoakan majlis tersebut akan berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa apa-apa halangan. InsyaAllah. Tahniah juga kepada sahabat saya dan isteri serta keluargannya yang saya percaya terlalu amat gembira untuk menunggu peristiwa yang amat istimewa ini bagi sepasang suami isteri. Dan terima kasih kerana sudi menjemput kami.
Jika tiada aral melintang insyaAllah kami akan hadir.
Sebagai ibu bapa , sesungguhnya diantara peristiwa-peristiwa yang sentiasa kita tunggu dan harapkan menjadi kenyataan ialah perkahwinan anak-anak semasa kita masih ada, masih hidup. Terasa kempunan atau ghalat atau secara ekstrimnya setengah orang mengatakan matanya tidak akan tertutup ketika menghembuskan nafas yang terakhir selagi anak/anak-anak belum berkahwin. Begitulah tingginya harapan ibu bapa yang mahu melihat anak/anak-anaknya kejinjang pelamin sebelum dia menemui Allah SWT. Kalau dapat melihat cucu , ianya satu bonus.
Ada banyak perkara yang kita boleh perkatakan tentang perkahwinan ini. Saya akan menyentuh dalam satu perkara saja.
Saya akan sentuh tentang usia semasa seseorang itu berkahwin dengan melihat secara perbandingan diantara tempoh-tempoh yang lepas dengan tempoh ketika ini. Tetapi pernyataan ini tidaklah berasaskan kepada satu kajian. Cuma berdasarkan apa yang di beritahu kepada saya; dan yang dilihat dan diketahui oleh saya sendiri.
Secara amnya pada tahun-tahun 1940an hingga enam puluhan, usia semasa mendirikan rumah tangga adalah lebih muda berbanding waktu ketika ini. Ada yang mendirikan rumah tangga pada usia serendah 14 tahun terutamanya di pihak perempuan. Misalnya emak saya berkahwin pada usia 16 tahun dan bapa pula berusia 19 tahun.
Cuba kita bandingkan dengan usia ketika ini. Usia 16 adalah bersamaan dengan usia selepas melepasi peperiksaan PMR atau usia murid tingkatan empat. Dan usia 19 adalah usia pelajar tahun satu IPT.
Tapi pada usia 16 dan 19 tahun dua insan telah diberikan tanggongjawab untuk membina dan menerajui sebuah kerajaan diperingkat paling rendah, iaitu sebuah rumah tangga. Mereka dimatangkan untuk menjalani kehidupan pada usia yang begitu muda yang mengikut ukuran dan nilai sekarang mereka ini budak-budak yang masih mentah, umur setahun jagong.
Walaupun itu ukuran kita terhadap mereka namun rumah tangga sebahagian besarnya berkekalan. Ya, memang ada yang gagal. Mereka mempunyai anak yang ramai. Kemiskinan bukan menjadi halangan. Malah kemiskinan mungkin juga satu dari sumber yang menyebabkan mereka mempunyai bilangan anak yang ramai kerana itu sajalah harta yang dapat ditunjukkan kepada masyarakat apabila ditanya semasa bersua muka. "Berapa anak kau?" Dengan bangga mereka menyatakan sekian-sekian bilangan.
Lagi pun apalah hiburan yang ada ketika itu. Yang miskin langsong tidak dapat mengalihkan pandangan kepada yang lain selain dari suami isteri dan anak-anak.
Bagaimana pula dengan kecukupan hidup misalnya rumah, makanan dan pakaian? Benda-benda itu penting juga. Cuma berbeza dengan sekarang, mereka menerima apa yang ada seadanya, tidak ada apa yang hendak dirungutkan. Membazir jauh sekali kerana bagi mereka itu saja yang dapat diadakan. Itu pun tidak sempurna, hanya sekadar boleh meneruskan kehidupan. Sehelai baju dan sehelai seluar boleh bertahan sehingga menyambut ulang tahun raya yang akan datang. Koyak dan lusuh bagaimana? Koyak akan di tampal. Dan tidak ada yang lusuh kerana mereka terima seadanya.
Tanyalah mereka yang ketika ini berusia 16 tahun dari segi masak memasak. Mungkin ada yang mengatakan tidak ada masalah. Namun sebahagian besar mereka tidak mampu melakukannya. Apatah lagi pada usia itu untuk mengambil tanggongjawab dan peranan sebagai seorang emak dan bapa.
Ibu bapa kita telah melakukannya. Sama ada ianya sempurna mengikut piawaian kita ketika ini, ianya telah berlaku dan sebahagian ibu bapa yang ada ketika ini termasuk saya adalah hasil dari perkahwinan di usia muda. Ada 14 kelahiran dan 2 kematian.
Bayangkan angka 12 anak ini dalam kehidupan pasangan ketika ini. Saya rasa kecoh. Pening dan pusing kepala kedua ibubapa untuk melayan keperluan anak-anak yang berbagai itu yang sentiasa meningkat dan mahal-mahal pula. Jangka hayat sehelai seluar dan sehelai baju terlalu pendek kerana anak selalu bertanya "takkan ni saja", pada hari baju dan seluar itu dibelikan untuknya.
Berbeza semasa kita dulu yang terlalu teruja apabila kedua ibu bapa balik dari bandar membawa bingkisan sehelai seluar dan sehelai baju untuk hari raya , dan seterusnya untuk dijadikan pakaian sekolah. Tahu warnanya? Seluar pendek berwarna biru dan baju lengan pendek berwarna putih. Kasut? Benda ini bonus. Kalau dibelipun dari jenama 'Fung Keong' ( mungkin boleh difahami oleh mereka yang sezaman dengan saya). Atau dalam bahasa yang mudah kasut yang paling murah, yang paling 'kokak' sekali. Itupun sudah menghiburkan hati. Tayang sana tayang sini.Tidak beli kasut pun tidak jadi hal. Boleh menapak dengan kaki ayam. Batu krikil, duri dan lumpur tidak jadi hal.
Apalah yang mampu dilakukan oleh mereka yang berumur 16 sehingga 19 tahun ketika ini jika mereka mendirikan rumah tangga. Saya rasa banyak yang menyulitkan terutama soal perbelanjaan. Lagipun pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi meneruskan pelajaran. Oleh itu kemungkinan untuk mendirikan rumah tangga pada usia semuda itu terlalu kecil.
Maka perkahwinan secara amnya ketika ini adalah pada usia selepas dua atau tiga tahun tamat dari pengajian iaitu pada umur 24 atau 25 tahun keatas. Mereka yang tidak melanjutkan pelajaran mungkin lebih awal lagi tapi tidaklah semuda usia 16 sehingga 19 tahun.
Pada saya usia perkahwinan yang patut menjadi pilihan ialah pada usia tidak melangkaui 30 tahun. Usia 25 tahun saya rasa lebih baik. Apa hujah saya?
Pada umur sebelum 30 tahun atau paling ideal pada umur 25 tahun secara amnya kita telah mempunyai kerjaya dan mula membina dan terus memantapkan kedudukan ekonomi kita. Kedudukan ekonomi adalah satu faktor penting dalam sebuah perkahwinan dan rumah tangga. Banyak benda dapat diuruskan dengan baik misalnya keperluan rumah, pakaian, makanan dan pelajaran anak-anak.
Dalam masa yang sama kita akan mula menimang anak pada usia 26 tahun. Mempunyai anak adalah satu pengalaman yang boleh mematangkan kehidupan kita dalam sebuah rumah tangga. Sudah tentu diantara keutamaan yang paling tinggi ialah untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak. Maka kita akan melakukan simpanan dalam berbagai bentuk misalnya membeli insurans dan saham amanah serta tabungan yang lain. Katakan kita akan mempunyai anak seramai empat orang secara berselang dua tahun. Bermakna anak bongsu kita lahir semasa kita berusia 32 tahun. Waktu kita bersara pada usia 58 tahun, anak bongsu kita berumur 26 tahun, sudah tamat belajar dan mungkin telah mempunyai pekerjaan. Jadi kita tidaklah ada tanggongan untuk pembiayaan anak-anak semasa bersara.
Bagaimanapun pada usia 32 tahun kita masih muda. Untuk mendapat anak lagi tidak akan membebankan kita. Cuma anak/anak-anak tambahan ini jika meneruskan pelajaran sehingga berumur 25 tahun, sewaktu itu kita telah bersara, masih lagi menjadi tanggongjawab kita untuk membiayai kehidupannya termasuk keperluan pelajarannya. Kalau wang simpanan mencukupi dan terimaan pencen tinggi ianya mungkin tidak membebankan tapi kalau sebaliknya, pening kepala juga.
Jadi usia perlu diambil kira dalam pembinaan sebuah rumah tangga. Tapi janganlah terlalu muda dan tidak juga terlalu lanjut. Jangan pula menggunakan alasan 'belum ada jodoh'. Kalau sudah ada jodoh pula jangan pula adakan acara/majlis yang memakan belanja yang besar walaupun kita mampu. Sebab, pertama kita membazir dan kedua kita boleh menyusahkan hati orang yang hendak mendirikan rumah tangga tapi tidak ada kemampuan kewangan. Duit kita yang berlebih itu daripada membeli bunga-bungan hiasan yang akan dibuang dan dipijak-pijak itu lebih afdal kita berikan kepada yang tidak berkecukupan itu.
Atau jika ada yang suka sponsor, sponsorlah golongan yang memerlukan ini. Apa faedah ekonomi? Ada, ramai orang yang memuji dan sudah tentu bilangan mereka yang meminati perniagaan kita akan bertambah. InsyaAllah , kerja baik akan sentiasa mendapat balasan yang baik. Jangan biarkan ramai yang kahwin lambat kerana masalah kos yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan