Sudah hampir tiga tahun dia dipilih menjadi Pengurus Pasukan Bolasepak . Dalam tempoh tersebut dia telah beberapa kali diuji dalam siri perlawanan merebut beberapa gelaran di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri. Ada ketikanya dia menang dan tidak kurang juga menghadapi kekalahan.
Setiap kali kemenangan dia dan keseluruhan anggota pasukannya akan meraikan secara besar-besaran sambil memperkecilkan pasukan yang dikalahkan dengan ejekan misalnya mengatakan pasukan lawan sudah pupus dan tiada harapan dengan kata-kata 'dah abis pun', atau 'punah abis semua', atau 'patah kena rembat'. Dan jika pasukannya kecundang dia sungguh 'gentleman' dengan mengatakan adat bersaing mestilah ada kalah dan menang.
Dia adalah Timbalan Pengurus sebelum mengambil alih sebagai Pengurus. Oleh itu mengurus pasukan bola bukan perkara baru baginya. Dia dipilih menjadi pengurus juga adalah atas kelemahan pengurus sebelumnya. Banyak pertandingan merebut berbagai gelaran telah tidak dimenangi pasukan. Berbagai pihak telah meminta pengurus itu meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada Timbalan. Desakan yang datang bertali arus itu cuba ditepis oleh pengurus itu. Akhirnya pengurus itu terpaksa akur dengan kehendak pihak yang mendesak dan bersetuju menyerahkan tugas pengurus kepada timbalan.
Setelah dia berjaya menguasai kerusi Pengurus maka dia perlu menyusun strategi untuk membawa kemenangan kepada pasukan. Dia tidak mahu menerima nasib yang serupa dengan pengurus yang digantikannya yang hanya boleh bertahan tidak lebih dua kali pilihan. Dia mahu mengakhiri perkhidmatannya sebagai pengurus pasukan selagi nyawa di kandung badan. Dia mahu menjadi pengurus yang digeruni. Dia tidak mahu digelar pengurus yang lembek becek makan nasi lecek seperti pengurus sebelumnya. Dia mesti susun strategi ke arah itu.
Pertama dia mesti tukar nama pasukan. Nama yang menggambarkan sikap berani, ganas dan menggerunkan. Nama lama, Pasukan Bolasepak Jiwa Murni (disengkatkan dengan panggilan Murni saja) tidak sesuai untuk menjadi pasukan yang boleh menang. Nama itu walaupun nampaknya baik tetapi ianya terlalu lembek bagi sebuah pasukan bolasepak. Itu nama satu kumpulan penyanyi atau pemain teater/pentas . Tidak ada langsung sifat melawan yang ganas. Oleh itu nama pasukan perlu ditukar kepada yang lebih bersifat mahu menyerang lagi ganas, berani dan tangkas. Tapi dia juga mesti berselindung disebalik sengkatan nama yang boleh mendapat simpati banyak orang. Maka setelah memikirkan beberapa nama yang membawa sifat sebuah pasukan yang menyengat dan menyerang maka akhirnya pasukan itu ditukar nama kepada Pasukan Bolasepak Angkatan Menyerang Nasional atau sengkatannya Pasukan Bolasepak Aman (PBA).
Untuk menjadi pasukan yang boleh menang dia percaya bahawa pasukan akan dapat kekuatan jika mempunyai falsafah untuk menjadi pegangan dan panduan. Maka dia memperkenalkan dalam pasukannya falsafah 'menyerang dan bertahan dengan apa saja cara dan gaya'.
Kemudian dia melihat aset yang paling penting ialah pemain itu sendiri, pengadil, penonton dan pemain lawan.Pemain mesti mempunyai ketangkasan, kemahiran dan nafsu menyerang pihak lawan. Mesti ada 'the killing instinct' , nafsu ganas yang membara. Bahagian pertahanan mesti kuat yang dikawal oleh pemain-pemain yang berketinggian tidak kurang dari 6 kaki dan bertubuh kental, tidak lembek. Dan yang penting yang boleh di percayai agar tidak menyumbat gol sendiri. Pemain diarah gunakan apa saja cara asalkan serangan menghasilkan gol dan pertahanan boleh mematahkan pihak lawan dari menjaringkan gol. Bermain kasar dan keras diluar peraturan permainan bukan satu halangan kepada pemain tetapi mesti dibuat secara perdayaan yang tidak mudah dikesan oleh pengadil. Bagi dia cara sebegini sebagai kemahiran professional dan ianya tidak salah dan tidak perlu malu untuk menggunakannya.
Bagaimanapun dia sedar kemahiran menipu secara professional ini akan dapat juga dikesan oleh pengadil yang sudah tentu membuatkan beberapa orang pemainnya diberikan kad merah dalam perlawanan nanti.
Dia amat risau jika pemainnya dibuang padang oleh pengadil. Dia boleh mengatakan pengadil berat sebelah menyebelahi pihak lawan tetapi apa faedah yang akan diperolehi. Apatah lagi jika sebahagian penonton memberikan sokongan yang padu kepada pasukan lawan. Dia boleh tuduh penonton irihati kejayaan pasukan pimpinannya. Tapi apa faedah yang dia dapat. Malah boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian penonton.
'Pengadil dan penonton' telah mula menjadi satu fokus yang amat penting dalam mengaturkan strategi untuk menang. Dia tidak boleh memusuhi kedua-dua pihak ini. Mereka mesti dijadikan kawan sekurang-kurangnya semasa perlawanan sedang berjalan. Memusuhi mereka adalah satu jalan menuju kekalahan. Tapi dia juga tidak mahu berundur dari cara bermain yang boleh mencederakan pemain lawan. Dia mesti tentukan permainan seperti itu tidak menjadi masalah kepada pengadil dan penonton. Dia mesti kautaw dengan dua segmen ini. Macam mana caranya? Apa saja cara, asalkan mereka bersama dengannya dalam menentang pasukan lawan.
Dia juga sedar bahawa pemain pasukan lawan terlalu penting dalam skema mahu menang. Tidak cukup dengan mencederakan mereka kerana tektik itu ada risiko pemainnya di buang padang. Dia mahu juga menggunakan strategi mempengaruhi pemain lawan untuk bermain dengan pasukannya. Dia perlu kenal pasti pemain lawan yang terbaik untuk ditawan dengan ganjaran yang menarik.
Ok. Lengkap sudah strategi yang diatur.
Semuanya telah tertulis dalam otaknya. Semuanya perlu diaplikasi dalam perlawanan untuk merebut piala terunggul dalam bola sepak.
Bulan depan pasukannya akan memasuki pertandingan separuh akhir. Dia perlu menang untuk ke peringkat akhir. Dan dia mahukan kemenangan pada perlawanan akhir yang akan diadakan setahun lagi. Jika kalah jawatan pengurusnya akan terbang melayang seperti yang dialami oleh pengurus sebelumnya. Tapi dalam tempoh setahun itu dia yakin akan berupaya menyusun strategi yang boleh memenangkan pasukannya.
Buat ketika ini dia perlu fokus menyusun strategi bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pada bulan depan.
Diperingkat dalaman iaitu dengan pemain-pemainnya dia tidak menghadapi masalah yang besar. Asalkan ganjaran yang dijanjikan lumayan, pemain-pemainnya akan bermati-matian bermain untuk menang. Dia terpaksa bekerja kuat untuk mempengaruhi dan menguasai faktor luaran iaitu pengadil, penonton dan pemain pihak lawan.
Buat menemui pasukan lawan di peringkat separuh akhir bulan depan dia telah menubuhkan kelab penyokong pasukan Aman. Nasib dia sungguh baik kerana dia telah mendapat khidmat dari seorang yang memang terlalu benci dengan pasukan lawannya. Ini berpunca masalah peribadi orang itu dengan pengurus pasukan lawan.
Sebelum memilih untuk mengetuai pasukan sorak PBA orang itu telah cuba dengan satu pasukan lain melalui adiknya yang juga timbalan pengurus kepada pasukan itu. Tapi khidmatnya telah ditolak mentah-mentah oleh pengurus pasukan itu. Apa sebabnya tidak pula dia diberitahu. Ini menambahkan keazamannya untuk berkhidmat dengan pasukan lain sambil menyuburkan dendam kesumat terhadap paengurus itu.
Orang itu telah bersetuju mengetuai pasukan sorak dan telah berjaya mengumpul ramai ahli. Latihan sorakan sentiasa diadakan dengan memberi fokus menaikkan perasaan marah pihak lawan supaya fokus bermain akan menjadi terganggu. Macam-macam gerak gaya, mimik muka dan kata-kata yang boleh menyakitkan hati lawan telah dicipta. Lagu yang meransangkan semangat pasukan dengan kata-kata 'serang, serang sampai dia mengerang' dan 'tahan, tahan sampai dia tak boleh tahan' telah juga dicipta.
Dia berpuas hati akan kerja kuat dan kesungguhan ketua sorak ini. Dia terbaca rasa kebencian yang menyemarak membara dalam hati ketua sorak ini keatas pasukan lawan terutama kepada pengurus pasukan yang telah menolak mentah-mentah khidmatnya itu. Dia yakin separuh akhir adalah kemenangan baginya.
Masa berjalan pantas. Akhirnya pada pertemuan diseparuh akhir dengan menggunakan strategi yang dirancang, apa yang diharap dan dijangkakan menjadi kenyataan. Pasukannya telah membelasah pasukan lawan dengan kemenangan 4 tiada balas. Dia terlalu gembira. Kesombongannya mula menaik dan keyakinan untuk menang di perlawanan akhir tiada keraguan lagi. Dan yang paling menggembirakan sekali ialah sebahagian dari penonton telah mula berpindah menyokong pasukannya. Di hari perlawanan itu, ketua sorak telah membahagi-bahagikan cenderamata yang berupa baju 't' dan topi yang mempunyai lambang PBA kepada para penonton. Penonton merasa seronok dan teruja sekali untuk menyertai pasukan sorak itu. 'Pengurus Pasukan Aman ini memang pemurah dan baik hati', terkeluar kata-kata pujian dari para penonton.
Nampaknya strategi yang digunakan diperlawanan separuh akhir telah membuahkan hasil yang manis bagi pasukan dan dirinya sendiri. Dia mempunyai pemain yang tangkas bersemangat dan agak ganas. Semangat menyerang ke kubu lawan untuk menyumbat gol begitu kental sekali. Barisan pertahanan dengan mudah mematahkan serangan lawan.
Pasukan sorak mempunyai peranan dalam menaikkan semangat pemain. Yang penting penonton telah turut bersama menyokong pasukan Aman. Cuma dia telah kehilangan tiga permain barisan penyerang. Dua orang disebabkan kecederaan bertempur dengan pemain lawan dan seorang telah dibuang padang kerana telah menerima dua kad kuning diatas kekasaran yang dilakukan.
Keadaan ini merumitkan dia untuk melaksanakan serangan yang berkesan untuk menjaringkan gol. Barisan serangannya telah tempang. Satu sinario yang menggusarkan dirinya dalam menghadapi pasukan lawan di perlawanan akhir nanti.
Dia mesti mendapatkan pemain ganti yang kehandalannya tidak kurang dari yang di ganti. Setelah meneliti senarai pemain yang ada , dia gagal menemui seorang pun yang mempunyai kualiti yang diharapkan. Kepalanya semakin ligat berputar memikirkan dari sumber manakah pemain ganti perlu dicari. Dia meneliti peraturan pertandingan tentang pengambilan pemain dari sumber lain. Maka tidak ada pun mana-man klausa yang melarang untuk membeli pemain dari mana-mana sumber termasuk dari sumber pasukan yang akan ditemui dalam perlawanan akhir dengan syarat dalam tempoh lapan bulan sebelum tarikh pertandingan. Dia ada masa lagi untuk menarik pemain pihak lawan. Dia tersenyum gembira.
Dia mengumpul maklumat tentang pihak lawan yang akan ditemui.
Pasukan pihak lawan ialah dari kelab yang mengambil nama Kelab Bolasepak Muafakat (KBM). KBM telah mengalahkan lawannya dengan kemenangan tipis satu kosong. Tetapi pengurus kelab akan dihadapi ke Jawatankuasa Disiplin kerana mengkritik pengadil pertandingan yang menurutnya telah membuatkan pasukannya menang tipis. Banyak tindakan kekasaran yang dibuat oleh pasukan lawan tidak mendapat hukuman dari pengadil.
Pasukan pihak lawan ialah dari kelab yang mengambil nama Kelab Bolasepak Muafakat (KBM). KBM telah mengalahkan lawannya dengan kemenangan tipis satu kosong. Tetapi pengurus kelab akan dihadapi ke Jawatankuasa Disiplin kerana mengkritik pengadil pertandingan yang menurutnya telah membuatkan pasukannya menang tipis. Banyak tindakan kekasaran yang dibuat oleh pasukan lawan tidak mendapat hukuman dari pengadil.
Di tepi padang pengurus itu menjerit-jerit kepada pengadil supaya mengeluarkan kad kuning apabila pemainnya dikasari oleh pemain lawan tapi tidak mendapat reaksi seperti yang diharapkan. Akhirnya kesabarannya tidak boleh ditahan lagi apabila pemainnya dijatuhkan dalam kotak penalti pasukan lawan tanpa mendapat hukuman dari pengadil. Dia masuk ke padang untuk mendekati pengadil. Dan dalam masa yang sama pengurus pihak lawan juga menuruti dari belakang dan mengejar dan menangkap pengurus itu, lalu menumbuk di matanya. Pengurus itu rebah pengsan dan dibawa ke luar padang untuk rawatan.
Namun permainan diteruskan sehingga ke akhir dengan kemenangan tipis satu kosong. Pengurus yang kena tumbuk itu mula sedar dari pengsan dengan lebam dimata kanan akibat penumbuk yang diterima. Peristiwa ini amat memalukan dalam sejarah pertandingan bolasepak.
Senyumannya makin melebar apabila mengetahui bahawa pengurus pihak lawan akan terpaksa berhadapan dengan Jawatankuasa Disiplin. Dia yakin pengurus ini akan dihukum, sekurang-kurangnya tidak boleh berada ditepi padang untuk mengatur apa-apa strategi dan memberi arahan kepada pemain. Dia wajar mengadakan sidang akhbar mengambil kesempatan untuk mengkritik perbuatan pengurus masuk padang dan mengkritik pengadil. Dia mesti memuji pengadil dengan setinggi-tinggi pujian kerana telah menjalankan tugas yang sukar dengan penuh tanggongjawab, adil dan sabar. Dia telah banyak kali mengalami kekalahan tetapi tidak pernah menyalahkan pengadil malah menyalahkan diri sendiri kerana strategi perlawanan yang diatur tidak tepat.
Perasaan pengadil telah dalam genggamannya. Selesai satu hal, pengadil.
Tapi dia mesti menarik sekurang-kurang tiga pemain penyerang pihak lawan.
Dia telah menghantar seseorang untuk memujuk beberapa pemain pihak lawan dengan umpanan tawaran yang lumayan mengatasi apa yang diperolehi dari pasukan asal. Beberapa pemain serangan telah dikenalpasti yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan terutama pengurus pasukan. Bayaran selalu lewat diterima membuatkan mereka bersemuka dengan pengurus untuk mendapat penjelasan. Mereka juga mengugut pengurus untuk bermain dengan pasukan lain jika ada peluang. Tapi ugutan mereka tidak mendapat perhatian yang utama dari pengurus melainkan soal bayaran yang terlewat dibayar. Bayaran telah disegerakan.
Kepada pemain-pemain ini tawaran yang dibuat tepat pada masanya dan kena selera pula.
Maka ketiga-tiganya telah diambil bagi menguatkan barisan serangan. Berbagai maklumat dicungkil untuk mengetahui lebih mendalam strategi dan kekuatan pasukan lawan. Tapi dia masih juga ragu-ragu akan kesetiaan pemain yang diambil ini kerana dia melihat pemain yang mudah dibeli boleh bila-bila masa berubah selera dan taat setia jika ada pihak lain yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Lagi pun dia telah dapat maklumat bahawa ada sebahagian pemain asalnya yang telah bermain begitu lama dengan pasukan tidak menyenangi pemain yang baru diimpot itu yang mendapat layanan yang istimewa.
Baginya bagi tujuan menghadapi lawan dalam perlawanan akhir dia perlukan khidmat tiga pemain yang dibeli itu.
Dia bertambah tidak gusar kerana dia terlalu pasti pengurus pasukan lawan akan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Pertandingan. Dia juga pasti pihak pengadil khususnya yang akan mengadili pertandingan akhir nanti akan bersikap mesra dengan pemain pasukannya. Maka falsafah bermain secara menyerang dan bertahan dengan apa cara akan tidak menjadi perhatian utama pengadil. Pemainnya boleh bertindak ganas.
Dia ketawa besar dengan membayangkan pada bulan ini , pada hari yang kesembilan tahun ini pengurus pasukan lawan itu akan kecundang dihadapan Jawatankuasa Disiplin. Mampus kau! Ketawanya terbahak-terbahak. Dibelakangnya terdengar suara dari ketua sorak pasukan yang menyambung kuat ketawanya tadi. Mereka saling berpelukan. Kita Tentu Menang. Berapa? Sembilan gol berbalas satu. Hadiah tahun baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan