Theflowersellingboy

Isnin, 2 Januari 2012

Diikat dan Dirotan Tapi Sayang Tetap Sayang.

Sewaktu berihat selepas memesin rumput  dipersekitaran kawasan rumah fikiran saya melayang ke zaman kanak-kanak dalam tahun  1960an dahulu. Teringat fasal membantu abah menoreh getah masa cuti sekolah; kesah abah yang garang; kesah kehidupan kami yang susah dan kesah diikat dan dirotan oleh abah.
 
Semasa itu baru dipenghujung tingkatan satu pada musim cuti persekolahan yang panjang untuk memasuki tingkatan dua pada tahun hadapan. 
 
Waktu cuti sekolah adalah waktu yang digunakan sepenuhnya untuk membantu abah saya dalam kerja menoreh getah. Abah saya bekerja menoreh getah di ladang kepunyaan Orang Putih yang dibayar gaji mengikut hari kerja. Saya tidak pasti berapa jumlah upah yang dibayar. Tapi saya kira purata sebulan tidak melebihi seratus ringgit. Itu pun bergantong kepada musim. Jika musim tengkujuh , upah yang di terima adalah kurang dari musim panas kerana hari menoreh getah telah berkurangan disebabkan pokok getah yang basah.
 
Pada cuti sekolah ini bermula jam sepuluh atau jam dua belas bergantong kepada cepat atau lambatnya emak menyediakan makanan , saya bersedia untuk mengayuh basikal tua yang buruk untuk ke ladang getah tempat abah menoreh untuk menghantar makanan. Sampai saja saya di ladang getah itu yang jaraknya lebih kurang 6 kilo dari rumah, abah masih meneruskan torehan dari pokok ke pokok. 
 
Oleh kerana sebahagian besar pokok getah itu telah menerima banyak torehan dibahagian bawah sepadan dengan ketinggian penoreh, yang saya kira tidak melebihi tujuh kaki maka torehan dibahagian atas terpaksa dilakukan dengan menggunakan tangga. Saya melihat abah memikul tangga di bahunya bergerak dari satu pokok ke satu pokok.
 
Tanpa di sedari air mata saya keluar kerana terlalu sedih melihat beban yang di tanggong oleh abah. Lantas saya membantunya dengan bergilir-gilir mengangkat tangga membawa dari satu pokok ke satu pokok. Abah tidak berkata apa-apa kerana itulah sifatnya yang tidak pernah menunjukkan kemesraan kepada anak-anak. Tapi hatinya tetap sayang kepada anak-anaknya tanpa pernah menyatakan 'abah sayang kau'. Mencari nafkah yang halal adalah petanda bahawa abah menyayangi kami semua supaya dapat makan minum dan berpakaian sekadar  yang ada.
 
Waktu cuti sekolah bukan masanya untuk melancong atau bersenang-senang.
 
Cara didikan pula berbeza dengan cara saya mendidik anak-anak yang banyak manja dan terbuka.

 
Abah mendidik dengan cara menggunakan autoriti sepenuhnya sebagai seorang bapa. Kuasa penuh baginya melakukan apa saja yang pada pendapatnya baik untuk masa depan anak-anaknya. Luka, cedera dan kesakitan akibat dari hukuman yang dikenakan keatas anak-anaknya tidak boleh dipersoalkan. Kami terlalu takut untuk menjadi malas kerana hukumannya berat sekali.

 
Sesungguhnya kami dididik dalam keadaan sentiasa takut dan gerun kepada abah. Ertinya kami tidak pernah berani untuk memulakan percakapan melainkan apabila dipanggil dan ditanya. Tidak berani untuk mencadangkan sesuatu apatah lagi untuk meminta. Lagi pun apalah yang dapat diberikan dengan upah yang sedikit itu bagi menanggong enam orang anak.
 
Oleh kerana kami tidak berani dengan abah maka sebarang keperluan misalnya bayaran wang sekolah atau untuk membeli pensil dan buku kami lakukan melalui emak. Biasanya yang kena marah ialah emak kerana jawapan yang pasti di terima ialah 'mana aku nak cari duit. Dapat makan pun dah cukup'. Kesian emak.
 
Pendapatan yang kecil ini telah mendorong abah, atas cadangan orang kampong yang bersimpati akan kehidupan kami, memohon bantuan  dari Jabatan Kebajikan yang lebih terkenal dengan panggilan welpey (welfare) dikalangan orang kampong. Permohonan kami itu pada mulanya telah ditolak kerana pada penyiasatan pegawai welpey itu kami tidak layak sebab mempunyai peliharaan kambing yang banyak. Rupanya pegawai welpey itu semasa ke rumah kami mendapati banyak kambing jiran yang datang berteduh dibawah rumah semasa hujan. Pegawai itu menyangkakan kambing itu milik kami. Namun apabila maklumat ini diberitahu maka bantuan welpey telah diluluskan. Saya tidak tahu berapa jumlahnya dan berapa lama bantuan itu kami terima. Kami ini anak welpey lah.

Bercakap fasal binatang peliharaan ini sebenarnya kami ada juga membela beberapa ekor lembu dan kerbau. Cuma binatang peliharaan ini tidak mudah untuk dicairkan ke tunai kerana sebahagian besar orang kampong mempunyai binatang peliharaan juga, selain taraf hidup mereka sama juga seperti kami . Kalau lebih pun tidaklah jauh bezanya.

Jadi dalam keadaan seperti ini biasanya apabila ada keperluan untuk membeli buku dan lain-lain bayaran persekolahan sebahagian besar orang kampong tidak  ada wang. Dengan demikian ramai dari anak-anak mereka terpaksa berhenti sekolah walaupun mereka mempunyai binatang peliharaan yang banyak kerana tidak mudah untuk mendapat pembeli. Anak-anak yang mampu meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi adalah anak-anak kakitangan kerajaan seperti anggota polis, askar, guru, kerani dan sebagainya kerana mereka mempunyai tunai bagi melangsaikan bayaran berbanding dengan mereka yang tidak bekerja dengan kerajaan walaupun mempunyai banyak binatang peliharaan. Dan mereka ini tidak banyak maklumat dan pendedahan tentang betapa pentingnya pelajaran berbanding dengan kakitangan kerajaan.
 
Garangnya abah adalah satu perkara yang biasa kerana boleh dikatakan kesemua bapa ketika itu mempunyai sifat yang sama terhadap anak-anak mereka. Tidak ada langsong kemesraan yang di tunjukkan. Silap saja rotan naik atas belakang. Ada setengahnya di ikat di pangkal pokok manggis dan di rotan sampai lebam dan berdarah. Bukan sekali. Saya tidak terkecuali. Kalau kerbau atau lembu jagaan hilang maka bersiap sedialah saya untuk menerima hukuman, dirotan. Menangis teresak-esak. Emak tidak boleh campur tangan. Pernah beberapa kali saya jatuh dari memanjat pokok manggis dan rambutan. Hampir pengsan. Saya tidak  memberitahu kepada emak dan abah kerana kalau di beritahu habuannya paling kurang ialah tengkengan, paling teruk ialah rotan.
 
Walaupun dirotan, diikat saya dan adik beradik yang lain tidak langsong menyimpan rasa marah kami kepada abah. Malah kami sayang dan sentiasa mendoakan rohnya dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai.

Oleh kerana panas terik saya tidak mampu untuk meneruskan kerja memotong rumput itu lagi. Saya terus masuk ke dalam rumah dan terdengar suara anak lelaki saya yang masih bujang menyanyi didalam bilik air. Nasib baik datuknya sudah tiada. Kalau tidak habuannya ialah rotan. Tapi sanggupkah datuk merotan cucu? Yang pasti saya tidak akan melakukan perkara yang sama seperti yang telah dilakukan oleh abah saya dulu. Bezanya dulu air mata saya keluar terlalu kasihan melihat abah yang kepenatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan