Theflowersellingboy

Rabu, 4 Januari 2012

Selamat Maju Jaya

Seronok betul melihat anak-anak kecil memasuki hari pertama persekolahan. Macam-macam penampilan yang dapat kita lihat. Ada yang menangis sambil mata mencari wajah kedua  ibubapa, ada yang ceria sambil bercakap-cakap dengan kenalan baru sehingga lupa akan kehadiran ibubapa yang sedia menunggu melihat kemajuan anak dihari pertama dan ada juga yang bersunyian walau disebelah kanan kiri, depan dan belakang ada kenalan baru tapi sebutir perkataan tidak mahu dikeluarkan. Dan macam-macam lagi.
 
Walaupun sebahagian dari anak-anak itu telah biasa dengan suasana 'persekolahan' tapi suasana dihari pertama persekolahan sebenar ini nampaknya agak berbeza terutamanya kepada kedua ibubapa. Kelihatan ibubapa ini lebih 'serious' lagi berbanding semasa menghantar anak ditaman asuhan dahulu. Ada setengah dari ibubapa memanggil taman asuhan itu sebagai sekolah main-main atau makan-makan. 

Tapi  memasuki alam persekolahan sebenar   dianggap sebagai bermulanya 'perjuangan' dalam pembelajaran. Maka ada setengah ibubapa telah bersiap-siap untuk menghantar anak-anak kecil ini menghadiri kelas tambahan atau tuition supaya anak-anak itu dapat bersaing dan sentiasa mendahului kawan-kawan yang lain dari segi kedudukan dalam sesuatu penilaian/pemeriksaan. 

Maka pada hari ini bermulalah juga satu lagi 'bebanan' kepada ibubapa dan guru-guru bagi memandaikan anak-anak untuk masa depan yang lebih baik. Itulah harapan ibu bapa dan guru-guru. Harapan ini jika tidak diurus dengan baik akan menjadi   tekanan kepada anak-anak yang sentiasa dibebankan dengan kerja-kerja latihan sekolah yang bertambah dari sehari kesehari. Apatah lagi jika disebelah petang anak-anak itu akan mengikuti kelas pengajian agama khususnya kepada anak-anak Islam. Masa berehat dan beriadah semakin berkurangan.   

Sebab itulah sebahagian besar ibubapa merasa wajib untuk hadir bersama pada hari pertama persekolahan anak kecilnya ini. Pada hari inilah  benih-benih harapan mula disemai. Maka ibubapa juga mewarnai dan mencorakkan suasana hari pertama persekolahan anak-anak. Masing-masing mahu menyaksi sendiri bagaimana anak kecilnya bertindak terhadap suasana baru dihari pertama persekolahan. 

Secara amnya kesemua ibubapa menunjukkan wajah yang ceria dan amat berbangga sekali kerana telah dapat melaksanakan satu dari tanggongjawab yang amat penting untuk masa depan anak-anak. 
Syabas dan tahniah kepada anak-anak, ibubapa dan para guru yang saya percaya akan bekerjasama bagi menjayakan pelaburan modal insan yang amat penting untuk masa depan anak-anak dan negara.
Itulah harapan semua. Dan kita harapkan 'Harapan" itu dapat diuruskan secara terbaik. Selamat Maju Jaya.
Selamat maju jaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan