Saya teringat akan kata-kata seseorang semasa beliau ditanya mengapa hanya memberi sumbangan yang terlalu sedikit berbanding dengan anaknya walaupun dari segi kemampuan kewangan ia mampu menyumbang lebih dari itu.
"Bapa dia orang kaya berjawatan tinggi dan bapa saya penorih getah orang susah" , begitulah kata-kata yang dilafazkan.
Saya amat tertarik dengan kata-kata itu. Ada cerita moral yang hendak disampaikan.
Biasanya orang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah akan sentiasa ingat kisah lamanya walaupun taraf kehidupannya telah bertukar menjadi orang yang lebih senang dan memegang jawatan yang tinggi dalam masyarakat. Tidak dinafikan juga ada yang lupa daratan. Tapi jumlahnya kecil saja..
Membesar dalam keluarga yang susah telah membiasakan kita menghadapi berbagai kesempitan hidup dalam berbagai sudut. Sempit dari kedudukan ekonomi, rendah dari segi taraf sosial dari segi pandangan masyarakat dan tidak mudah untuk mendapat keyakinan dari masyarakat akan kemampuan kita untuk berjaya dalam kehidupan masa depan. Kehidupan yang susah itu seolah-olah akan berterusan dan berkekalan kerana ruang dan peluang selalunya tertutup atau ditutupkan.
Pendapatan yang tidak sebanyak mana ditambah pula mempunyai tanggongan yang besar telah mengajar keluarga seperti itu untuk lebih bercermat dalam serba serbi keperluan. Atau dengan kata lain mereka tidak banyak pilihan walaupun ianya satu keperluan. Misalnya makanan yang berzat yang segar untuk membina tubuh dalam proses membesar termasuk keperluan kecerdasan otak tidak boleh dijadikan sebagai asas membuat pilihan. Asas yang digunakan adalah semata-mata asalkan ada sedikit makanan bagi membolehkan mereka menyambong kehidupan pada esok hari dan seterusnya . Itu sudah memadai.
Kedudukan yang rendah dimata masyarakat juga telah memudahkan orang yang susah ini untuk membuat apa saja kerja asalkan yang halal kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan. Menjadi pencuci longkang, mengambil upah menjaga binatang peliharaan orang, dan berbagai kerja rencam yang lain tidak menjadi sesuatu yang memalukan kerana kalau malu pun taraf sosial mereka tidak juga menjadi bertambah baik.
Pada amnya orang yang susah ini tidak dilihat sebagai mempunyai potensi untuk memperbaikki kehidupan mereka kerana mereka ini tidak akan mampu untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak. Begitu juga mereka tidak tahu akan peluang-peluang yang mungkin boleh digunakan bagi memperbaikki kehidupan mereka misalnya mendapat bantuan dari institusi, yayasan dan jabatan kerajaan. Kalaupun mereka tahu, dalam banyak hal peluang-peluang itu akan di 'rembat' oleh orang yang senang-senang.
Jadi merujuk kepada kata-kata diatas maka sebagai anak penoreh getah sudah tentu orang itu telah melalui berbagai kesempitan hidup. Beliau amat sedar sekali betapa susah dan peritnya untuk mendapat sesuatu. Sesuatu yang susah untuk diperolehi mempunyai nilai yang tinggi yang perlu dijaga dan tidak wajar dibaziri. Maka bercermat dan berdikit sentiasa mempengaruhi pemikiran jika hendak melakukan/membuat sesuatu keputusan tentang perbelanjaan. Barang/perkhidmatan yang hendak diperolehi juga sentiasa mempunyai urutan kepentingan. Yang terlalu asas untuk kehidupan perlu diberi keutamaan dan yang bersifat mewah perlu diketepikan.
Oleh kerana pemikiran tersebut telah lama terbentuk maka apabila telah menjadi orang yang mewah yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan kedudukan sosial yang tinggi , beliau tidak mudah untuk berubah berfikir seperti seorang yang hidup dalam kemewahan. Maka jika beliau hanya memberi sumbangan yang kecil berbanding dengan anaknya ianya tidaklah bermakna beliau seorang yang kedekut dan anaknya seorang yang pemurah.
Sebenarnya dia hendak memberi tahu bahawa anaknya itu tidak biasa dengan kehidupan yang susah. Wang tidak jadi masalah. Sebaliknya beliau perlu berhati-hati dalam perbelanjaan (sumbangan) kerana pengalaman masa susahnya mengajar beliau untuk bercermat. Nilai wang terlalu tinggi baginya.
Ianya juga hendak memberitahu bahawa anaknya yang hidup dibawah payung kemewahan tidak dapat menilai betapa susahnya untuk mendapat wang bagi meneruskan kehidupan. Sebab itulah mudah saja memberi jumlah sumbangan yang besar.
Sesungguhnya perkara seperti ini berlaku dikalangan sebahagian besar dari kita semua. Cuba lihat, perhati dan renung dengan penuh insaf akan cara, gaya, lagak, perangai, kesukaan, minat dan kecenderungan anak-anak kita sekarang ini. Bagi saya seseorang yang pernah menjalani keperitan hidup dan telah berjaya pula dalam memperbaikki taraf ekonominya, akan dapat melihat perbezaan sikap dan sifat diantara dirinya dengan anak-anak yang hidup dalam keadaan lebih senang dari kehidupannya dulu. Anak-anak terlalu manja dan mewah berbelanja ikut suka.
Tidak semuanya begitu. Tapi secara amnya begitulah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan