Pagi, jam 8 kami memasuki lif untuk turun dari tingkat 12. Hanya kami bertiga didalam lif termasuk cucu Ahmad Naqib yang bersandar didalam stroller berwarna hitam. Naqib menunjukkan wajah keriangannya. Matanya fokus melihat kesebelah kanan dinding lif yang mempamirkan pertukaran angka-angka digital berwarna merah menandakan pergerakan lif ke bawah dari tingkat demi tingkat. Udara dalam lif tidak menyehatkan khususnya kepada saya seorang pengidap penyakit asma.
Sampai saja dibawah aras meletak kereta, kamipun keluar. Dihadapan kami kelihatan seorang anak muda lelaki yang sedang menyapu sampah dan kotoran yang lain untuk dimasukkan kedalam tong sampah yang berwarna hijau. Saya menyapa anak muda itu bertanyakan asal negerinya. Dia orang Kelantan tapi belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang perniagaan, di tahun ketiga. Semasa cuti semester ini dia mengambil kesempatan untuk mendapat wang belanja, katanya dapat juga membeli duit minyak motor.
Sesungguhnya saya amat bangga dengan sikap anak muda ini kerana sanggup bekerja sebagai pengumpul sampah bagi membolehkannya membeli minyak motorsikal. Mahu pakai motorsikal pandai pula berusaha. Baguslah. Jangan merempit atau jadi kaldai dadah.
Nampaknya anak-anak muda pelajar kita pada masa ini telah menunjukkan satu sikap yang terpuji termasuklah anak saudara saya yang sekarang ini bekerja dengan KFC sebagai pekerja sambilan. Anak saya juga pernah bekerja sebagai pengambil pesanan di Shusi King. Sekarang tiada apa yang perlu dimalukan asalkan halal, buatlah kerja tersebut. Lebih baik buat begitu dari merempit.
Selepas habis saja perbualan pendek, kami meneruskan perjalanan dalam rutin harian senaman pagi bersama cucu. Kami mengambil jalan biasa menyusuri barisan rumah-rumah setingkat kediaman pegawai-pegawai kerajaan. Di garaj kereta bagi setiap rumah, terdapat paling kurang dua buah kereta. Tanda kehidupan mewah sebahagian rakyat Malaysia.Tetapi kami tidak menemui sesiapa pun di luar rumah yang pintunya sentiasa tertutup. Jadi tidak dapatlah untuk mencari kenalan baru atau sekurang-kurangnya membuat sapaan semasa berjalan.
Saya dan isteri bergilir-gilir menolak Naqib. Tapi di kawasan yang mendaki tugas itu terserah kapada saya. Selepas melepasi barisan rumah-rumah tadi kami nampak sekumpulan pekerja yang sedang duduk diatas jalan laluan yang kami gunakan. Isteri mengajak saya berpatah balik kerana khuatirkan kemungkinan pekerja-pekerja itu tidak membenarkan kami lalu atau mengganggu . Saya tidak pula merasa begitu. Lalu kami teruskan perjalanan yang mendaki itu.
Sebaik mengahampiri kumpulan pekerja yang masih lagi duduk diatas laluan, kami dapati mereka ini adalah pekerja membersih kawasan sekitar termasuk mencantas pohon atau tumbuhan. Kesemuanya adalah orang Tamil. Saya mengagakkan mereka bukan orang tempatan. Mereka adalah pekerja dari negara asing. Naluri saya berkata begitu. Saya tidak tahu mengapa walaupun amat susah membezakannya dengan warga tempatan. Tapi cara dan lagak gayanya mereka bukan orang Malaysia walau pun bertutur dalam bahasa Tamil. Bilangan mereka melebihi 10 orang.
Beberapa orang dari mereka bangkit , membuka ruang bagi kami meneruskan perjalanan. Sebaik melepasi mereka, tiga hal bermain dalam kepala saya. Hal pertama mengapa kita perlukan tenaga asing (saya terlalu yakin mereka bukan orang tempatan) dalam kerja-kerja membersih kawasan. Pekerja tempatan boleh melakukannya. Pekerja tempatan malu? Saya tidak fikir. Lihat contoh pelajar UiTM tadi , anak saudara saya dan anak saya yang tidak malu buat kerja-kerja yang dianggap rendah itu. Mungkin pekerja asing ini dibayar dan sanggup menerima gaji yang rendah. Kalau begitu yang perlu dipersalahkan ialah majikan yang mementingkan untung besar tetapi tidak memikirkan masalah orang tempatan.
Kedua, bilangan yang begitu ramai untuk kerja yang tidak seberapa itu mengingatkan saya tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan dulu. Saya teringat pekerja CEB (Central Electricity Board) atau LLN sebelum bertukar menjadi TNB sewaktu membetulkan wayar letrik yang terputus. Kerja yang boleh dibuat paling ramai 3 orang tetapi bilangan yang datang lebih dari 10 orang. Dan banyak yang bercakap, menyuruh sana menyuruh sini tapi yang buat kerja 3 orang saja.
Hal ketiga ialah berkaitan dengan memudahkan kita mengenal identiti sama ada orang tempatan atau pekerja asing. Nampaknya dalam hal ini kita ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand. Di kedua negara ini bahasa hubungan rakyat dari kalangan sesama dan berbagai kaum ialah bahasa negara itu iaitu Bahasa Indonesia bagi Indonesia dan Bahasa Thai bagi rakyat Thai. Tetapi di Malaysia ini berbeza. Kalau orang Cina sesama kumpulan mereka akan berbahasa China. Begitu juga orang Tamil akan berbahasa Tamil. Begitu juga yang lain. Maknanya terlalu rumit bagi kita untuk mengenalpasti mereka sama ada warga atau orang asing.
Bilakah agaknya kita boleh bertemu suasana dimana warga kita walaupun sesama mereka akan berbicara dalam bahasa negara kita iaitu Bahasa Melayu. Menurut perkiraan saya ianya tidak akan tiba masanya walau pun dihujung usia dunia. Kerana apa? Itulah formula yang kita pakai atas prinsip menghormati warisan budaya kaum-kaum atau bangsa yang menjadi warga kita. Agaknya itulah yang dikatakan taat kepada negara!
Mungkin ada yang mencadangkan supaya saya menegur kumpulan pekerja itu. Kalau tidak tahu cakap Melayu maknanya orang asinglah.
Anggapan itu tidak semuanya benar kerana seorang pekerja asing dari Nepal yang menjadi pengawal keselamatan telah boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang agak fasih semenjak berada disini dalam tempoh 3 bulan saja. Kalau dia tidak beritahu saya yang dianya orang Nepal , saya tidak mengesyakkinya sebagai orang asing. Warna kulitnya macam saya juga.
Jangan pula tidak percaya ada warga negara Malaysia yang telah lahir dan dibesarkan di Malaysia dan telah berpuluh tahun tinggal di Malaysia yang masih lagi tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu. Saya sendiri tahu. Kalau ada yang tidak percaya cuba siasat sendiri. Apakah ertinya ini.
Kami berpatah balik selepas sampai disatu hujung. Kali ini giliran isteri saya yang menolak Naqib yang telah lena didalam stroller. Perjalanan menurun amat memudahkan isteri saya yang sebelumnya nampak keletihan. Akhirnya kami sampai di pintu lif. Kali ini kami bertemu dengan seorang pekerja yang menguruskan kerja-kerja penyelenggaran kondo tempat kediaman kami itu. Teka, warga asing atau warga tempatan?
Kalau meneka tidak melihat wajah sudah tentu tidak adil permintaan saya itu. Jadi saya beri jawapan. Pekerja itu ialah warga Bangladesh. Dan sebahagian besar pasukan penyelenggaraan adalah pekerja dari Bangladesh. Majikannya, saya hanya agak saja adalah Perbadanan Putra Jaya. Sungguh pilu rasa hati saya.
Hampir satu jam kami berjalan. Selain dapat buat senaman untuk kesihatan badan, ada rasa terkilan dihati mengenangkan nasib pekerja tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan