Semalam saya terlalu fokus. Fokus kepada satu hal yang mungkin sebagai penyebab saya lalai atau tidak ambil pusing tentang hal yang lain. Seolah-olah pada ketika itu hal itu saja yang wujud dalam pemikiran saya. Segala tumpuan saya , perlakuan dan deriaan saya adalah tertumpu untuk melaksanakan atau memenuhi hajat yang telah ditentukan oleh otak saya itu. Yang lain tiada langsung wujud. Tidak perlu diambil peduli. Saya hanya perlu lakukan yang itu saja.
Ditemani isteri, saya membawa cucu Ahmad Naqib untuk menemui mamanya dihospital untuk mendapat susuan langsung dari mamanya. Pada hari ini Naqib tidak mahu menerima makanan yang biasa kami berikan sebagai tambahan kepada susuan ibu. Dia juga masih tidak mahu menyusu susu ibu melalui suapan botol atau sudu. Nampaknya dia agak 'kelaparan'. Saya mesti segera ke hospital untuk berjumpa dengan mama Naqib bagi tujuan susuan badan.
Maka setelah memasuki kereta dan menghidupkan enjinnya saya mula masuk gear untuk berundur ke belakang. Pada gerakan awal kebelakang, sebuah kereta berwarna hitam tiba-tiba muncul melintasi dibelakang. Kereta itu cepat sedikit pergerakannya membuatkan saya terselamat dari melanggarnya. Saya berhenti pergerakan kereta sesaat dua, mengurut dada merasa lega terlepas dari bahaya perlanggaran itu sambil perasaan saya sedikit marah terhadap pemandu kereta hitam itu. Bisikan hati saya mengatakan kenapa di kawasan tempat letak kereta perlu pandu laju. 'Tidak ada otak' , tercetus perlahan kata-kata bercampur marah yang hanya didengar oleh telinga sendiri.
Dalam perasan sedemikian saya meneruskan unduran ke belakang. Saya tidak mendengar bunyi isyarat kereta yang dipandu , sebagai amaran bahawa di belakang ada sesuatu objek/halangan, dan perlu berawas. Maka unduran saya teruskan.
'Bengggg' terdengar bunyi yang memeranjatkan. Saya telah melanggar sebatang tiang di belakang. Saya melihat beberapa orang yang berhampiran memandang ke arah bunyi itu. Saya menggerakkan kereta itu ke hadapan dan terus memberhentikannya untuk memeriksa kerosakan.
Saya menggeleng kepala kerana kereta itu anak yang punya, yang baru saja di beli belum sampai 3 bulan. Saya memahami perasaannya apabila saya memberitahunya nanti. Tapi kewajipan saya ialah untuk memberitahu. Saya sedar bahawa berita sedih ini akan mengganggu sedikit sebanyak perasaanya. Apatah lagi disebabkan keletihan dan kurang tidur setelah menjalankan khidmat on call yang terlalu panjang itu. Sesungguhnya saya telah merosakkan 'harinya' yang sepatutnya boleh memberi sedikit kerehatan fikiran dan perasaannya.
Perasaan marah kepada pemandu kereta hitam tadi mula hilang kerana hati kecil saya berkata bahawa jika pemandu itu tidak laju sudah tentu saya akan melanggarnya. Kesannya mungkin lebih teruk berbanding dengan melanggar tiang. Mungkin berlaku pertengkaran diantara dia dan saya, masing-masing mempertahankan diri, tidak mahu mengaku bersalah. Di pihak saya sudah tentu mengatakan pemandu itu bersalah kerana lari laju. Dan pemandu itu pula mengatakan saya yang bersalah kerana tidak berhati-hati waktu mengundurkan kereta. 'Lesen terbang ke?' mungkin anatara kata-kata yang akan terkeluar dari mulut pemandu itu. Dan ini membuatkan saya berasa marah. Dia pun marah. Maka yang berkemungkinan besar terjadi ialah pergaduhan.
'Ya Allah, malunya jika itu yang terjadi'.
Sesungguhnya Allah telah menghindarkan saya dari musibah yang besar kepada yang kecil. Melepaskan saya dari mendapat malu. Melepaskan saya dari kecederaan. Bukan saja saya bahkan isteri dan cucu tersayang terlepas dari musibah itu. Saya bersyukur akhirnya. Tentang kerosakan kereta itu saya wajib beri tahu dan akan menanggong kos untuk membaikkinya.
Jika telah ditentukan kemalangan berlaku, ianya tetap berlaku. Peristiwa ini adalah ketentuan dari Allah pada hari itu. Saya ditentukan untuk menerima kemalangan kecil dengan Allah mengelakkan saya menerima kemalangan yang lebih besar. Saya tidak pasti apakah ianya hasil dari berkat membaca beberapa ayat al-Quran yang sentiasa menjadi amalan semasa saya hendak memulakan sesuatu kerja termasuk waktu mula memandu. Ayat Kursi memang menjadi amalan saya. Dan itulah juga pesanan saya kepada anak-anak untuk sentiasa membaca ayat ini. Saya tidak tahu. Hanya Allah yang maha mengetahui.
Di hospital, saya tidak memberitahu anak saya tentang apa yang telah berlaku. Saya tidak mahu perasaannya terganggu yang boleh memberi kesan kepada kerjanya. Seterusnya memberi kesan kepada orang yang dirawatnya.
Oleh itu saya hanya memberi tahu pada waktu habis kerja jam 5 petang lebih, sebaik saja dia memasuki kereta dan menyusu anaknya. Dia hanya bertanya 'ada kesan calar ke?'. Saya hanya menjawab 'Jaja tengoklah sendiri nanti'.
Jadi saya menyimpulkan bahawa kita tidak boleh terlalu fokus dalam sesuatu hal saja. Kita mesti ambil peduli hal lain yang berada di sekitar kita. Kerana bukan kita saja yang mendiami didunia Allah ini. Ada makluk lain yang hidup atau wujud bersama. Jangan mementingkan memenuhi hajat dan hasrat sendiri saja. Orang lain juga ada hajat dan hasrat yang mahu dilaksanakan. Mungkin pemandu yang memandu laju itu, perlu segera sampai ke rumahnya untuk sesuatu maksud yang terlalu penting, sebab itu dia pandu sedikit laju di tempat letak kereta. Oleh itu dalam kemahuan kita untuk menunaikan hajat dan hasrat, kita tidak boleh lupa bahawa dalam masa yang sama orang lain pun begitu.
Nasib baik langgar tiang. Kerosakan melanggar tiang itu, saya rasa perbelanjaan untuk membaikkinya tidaklah sebesar sekiranya berlaku perlanggaran dengan kereta hitam itu. Saya bersyukur. Tapi cuma saya sedih kerana saya telah menambah keletihan dan kepenatan anak pada hari itu dengan berita yang saya percaya dia tidak mahu dengar.
'Apa boleh buat ianya telah berlaku'. Tapi saya tidak hanya boleh berkata begitu saja. Saya mesti mengambil tanggongjawab untuk membaikki kereta itu. Namun saya percaya kereta yang diperbaikki tidak sama dengan yang asalnya. Saya kena ambil ingatan perkara ini untuk masa depan. Harap-harap tidak berulang lagi. Tapi orang tua cepat lupa.
Mudah lupa? Saya harap dan memohon kepada Allah saya tidak akan lupa membaca ayat Kursi itu setiap kali melakukan sesuatu termasuk dalam memulakan panduan kereta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan