Perancangan awal ialah untuk bertolak dari Putrajaya balik ke rumah di sebelah petang. Tetapi setelah diperingatkan oleh isteri bahawa perjalanan balik yang biasanya memakan masa tidak lebih dua jam pada hari biasa akan berkemungkinan mengambil masa lebih dari 4 atau 5 jam. Katakan bertolak pada jam 6 petang hanya sampai pada 10 atau 11 malam. Kalau naik pesawat rasanya dalam tempoh itu kita boleh sampai di Iran? Saya kurang pasti. Yang pasti jika diteruskan juga kami dan ramai pengguna jalan raya yang lain akan berada didalam kereta pada tempoh yang agak lama dari biasa untuk sampai ke rumah. Maka diputuskan untuk bertolak pada esok hari , Sabtu.
Setiap petang Jumaat, bilangan kenderaan dari Kuala Lumpur dan Putrajaya menuju sama ada ke utara atau selatan bertambah berbanding dengan hari-hari lain kerana mengambil kesempatan dua hari cuti kerja untuk pulang ke kampong atau membawa keluarga berehat pendek di luar Kuala Lumpur misalnya menuju ke Melaka. Kenderaan akan lagi bertambah jika cuti dua hari itu disambung dengan cuti-cuti rasmi lain seperti cuti menyambut tahun baru China yang akan datang ini.
Selamat Tahun Baru Cina semoga kita semua berbahagia.
Bercakap fasal berbahagia ini saya ingin menyentuh perkara yang selalu dan biasa iaitu keselamatan di jalan raya di musim cuti perayaan ini.
Saya percaya semua orang mahu mengelakkan kemalangan. Semua orang tidak mahu bersedih apatah lagi pada hari yang hendak dirayakan. Namun pada setiap menyambut hari perayaan sama ada sebelum semasa dan selepas hari tersebut kejadian-kejadian yang mendukacitakan selalu berlaku. Berlaku kemalangan jalan raya. Akibatnya ada yang cedera parah, luka-luka kecil, lumpuh dan ada yang maut. Cerita ini berlaku berulang kali setiap menyambut perayaan seolah-olah kemalangan jalan raya itu adalah satu dari pakej menyambut perayaan. Tiada kemalangan maka tidak lengkaplah perayaan itu. Tidak mengapa jika terpaksa bersugul pada hari yang berbahagia itu.
Macam-macam cara telah difikir dan dilakukan oleh pihak yang bertanggongjawab untuk mengurangkan kemalangan jalan raya itu. Tetapi nampaknya kemalangan berlaku juga malah meningkat. Jadi pihak manakah sebenarnya yang menjadi sumber terbesar menyebabkan kemalangan ini?
Pada pendapat saya, kita pengguna jalan rayalah yang menjadi punca utama kemalangan. Puncanya ialah tidak sabar dan mahu cepat sampai. Pengguna jalan raya yang perangai seperti ini saya rasa tidak tahu takut. Tidak takut cedera, tidak takut mati apatah lagi saman dari pihak berkuasa. Kenderaan dipandu pada kelajuan yang terlalu tinggi. Kalau tidak boleh potong di lorong kanan, akan ke lorong tengah. Gagal lorong tengah ke lorong kiri. Gagal lorong kiri gunakan lorong kecemasan. Semua lorong dia yang punya. Sungguh dahsyat orang berperangai seperti ini. Bilangannya bukan sedikit. Terlalu ramai. Agakknya masyarakat Malaysia ini telah terlalu sombong sehingga tidak langsung memberei pertimbangan kepada keselamatan orang lain.
Jadi bagaimana hendak menghadapi perangai orang semacam ini? Bagi nasihat dan tunjuk ajar? Tidak mungkin. Sebab ada yang pandai-pandai. Saman? Juga kurang berkesan sebab mereka boleh bayar. Mereka bukan orang susah kerana ada yang berkereta besar. Gantung lesen? Pun mereka ada jalan keluar.
Pendek kata orang-orang macam ini kalau tiada lebih baik. Tapi yang merisaukan ialah mereka boleh menjadi punca kepada kemalangan dan menyebabkan pengguna jalan raya yang berkhemah kehilangan nyawa atau cedera.
Perangai mahu cepat dan tidak sabar ini molek lah dirakamkan. Kemudian tayang dikhalayak ramai untuk ditonton oleh semua orang. Rasanya cara ini lebih berkesan.
Bagaimanapun Insya Allah esok kami akan bertolak balik ke rumah dengan memohon doa selamat sampai ke rumah. Selamat bagin kesemua pengguna jalan raya.
Qong xi fa cai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan