Berturut-turut hari telah disiarkan dalam tv cerita mengenai sampah yang tidak dikutip oleh pihak yang telah diberi tanggongjawab untuk melakukannya. Cerita sampah-sampah yang dikatakan busuk (ada ke sampah yang tidak busuk? Macam juga ada orang yang berkata judi haram. Ada ke judi yang halal?), yang tidak diurus dengan baik itu nampaknya wujud di negeri Selangor ,Kedah dan Kelantan.
Yang paling teruk sekali ialah di negeri Selangor. Berturut-turut hari disiarkan berita sampah yang busuk itu terbiar bergelempangan tidak di urus dengan sepatutnya. Kehadiran sampah busuk itu telah diyakinkan lagi dengan menunjukkan penduduk setempat marah-marah dan memberi amaran supaya tindakan segera di ambil jika tidak pihaknya akan menggunakan kenderaan tertentu untuk membuang sendiri sampah itu dikawasan yang mereka pilih.
Ada juga mereka yang marah-marah akan sampah yang busuk di Selangor itu membuat pujian kepada pemungut sampah yang lama dengan menyebut nama pemungut sampah yang perkhidmatannya tidak diteruskan lagi oleh Negeri Selangor. Maknanya rekod kebersihan Selangor dari segi kutipan sampah busuk ini telah tercemar setelah khidmat pengutip sampah dulu ditamatkan. Dalam kata lain dulu Selangor tidak busuk dengan sampah. Sekarang Selangor sudah menjadi busuk disebabkan sampah busuk tidak diuruskan dengan baik.
Setelah saya lihat dan renung maka negeri-negeri yang diberitakan yang tidak pandai mengurus sampah busuk itu adalah negeri-negeri yang ditadbir oleh parti selain dari Barisan Nasional (BN) yang ingin dipanggil sebagai Pakatan Rakyat (PR). Tetapi Pulau Pinang nampaknya terlepas dari termasuk sebagai negeri yang tidak pandai menguruskan sampah busuk ini. Tapi mungkin saya tidak perasan atau terlepas pandang berita sedemikian yang disiarkan di tv.
Bagaimanapun buat ketika ini saya ucap tahniah kepada Pulau Pinang. Sebabnya ialah kalau ada isu yang busuk seperti sampah busuk ini, saya jamin tv akan siarkan . Bukan sekali bahkan berturut dan berulang kali dengan menyertakan sama orang-orang/kumpulan orang yang memberi ancaman dan amaran kepada pihak yang gagal menguruskan sampah busuk itu dan dalam nada yang lunak memuji pengutip sampah busuk yang telah ditamatkan perkhidmatannya , sehingga kadang-kadang saya rasa curiga pula berita itu.
Berita sampah busuk yang tidak diurus dengan baik yang diulang cerita itu tidak melibatkan negeri-negeri pemerintahan BN. Maknanya, pengurusan sampah busuk dinegeri-negeri itu adalah baik gamaknya. Kalau busuk macam Selangor sudah tentu pencari cerita sampah busuk ini akan terhidu baunya. Tidak mungkin bau busuk sampah di negeri-negeri itu ada keistimewaannya sehingga tidak dapat dikenalpasti oleh hidung yang menghidu.
Kemungkinan besar bau busuk sampah di Selangor yang tidak diuruskan secara sepatutnya pada ketika ini adalah disebabkan Kerajaan Selangor ketika ini (PR) tidak menggunakan penyapu untuk menyapu semua sampah-sampah yang busuk itu. Tidak seperti pada masa sebelumnya iaitu semasa BN dulu dimana kerajaan terlalu banyak penyapu. Dan oleh kerana terlalu banyak penyapu, sudah berlebihan maka penyapu itu telah dijadikan hadiah kepada penjawat awam pada hari khidmat cemerlang. Penyapu sudah jadi satu simbul kecemerlangan!
Maka tidak hairanlah dulunya Selangor tidak tercemar dengan sampah busuk kerana MBnya menjadikan penyapu sebagai hadiah dihari khidmat cemerlang penjawat awam. Dengan hadiah penyapu itu, semua penjawat awam Selangor ketika itu membuat sapuan. Semua kena sapu, tiada busuk yang tinggal.
Namun apa perlu dihairankan tentang cerita-cerita busuk yang ada kaitan dengan Selangor ini diulang beritakan. Bukankan masa semakin menghampiri untuk membuat sesuatu keputusan: BN ke PR untuk Selangor. Kalau ambil BN , terimalah penyapu sebagai hadiah untuk menyapu sampah sampah yang busuk itu.
Jadi cerita sampah-sampah busuk ini membuatkan kita rasa menyampah. Tidak ada cara lain ke?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan