Mood cuti sempena tahun baru Cina ini tidak meransang untuk membuat paparan di blog. Lebih mahu berehat dari mahu menulis. Namun kerja-kerja berbentuk fizikal tetap diteruskan dengan mengemas rumah- mop lantai dalam dan luar rumah dan vacuum menyedut habuk dan kotoran. Kerja-kerja itu mengambil masa setengah hari.
Semua kerja-kerja itu dibuat sebaik saja sampai di rumah dari Putra Jaya.
Perjalanan balik dari Putra Jaya ke Melaka berjalan dengan lancar melainkan di Nilai. Disini berlaku kesesakan dan kereta bergerak perlahan. Namun ada juga pemandu-pemandu yang kaki lari membelok ke kiri dan ke kanan memotong kereta dihadapan. Nasib baik tidak ada kereta yang dirempuhnya. Mereka yang suka berperangai potong memotong belok kiri kanan yang amat bahaya itu mungkin pemandu yang berani dan cekap sebab cara potongan itu nampaknya begitu lancar sekali. Cuma kadang-kadang potongan tersebut memaksa kereta yang dibelakang menekan brek mengelak dari berlaku perlanggaran. Ini membuatkan kereta-kereta yang dibelakang menekan sama brek. Tapi yang buat potongan itu bersahaja saja meluncur laju .
'Mungkin mereka yang laju itu hendak cepat sampai ke destinasi. Ada perkara penting yang hendak diuruskan'.
Itu reaksi saya ketika ini apabila melihat pemandu-pemandu yang lari laju dan suka potong memotong yang agak bahaya. Dan mendoakan mereka selamat termasuk pengguna jalan raya yang lain. Kalau dulu reaksinya berbeza. Paling kurang saya akan menggelengkan kepala kerana tidak berkenaan pemanduan yang amat bahaya pada diri dan orang lain. Tapi kalau sudah terlampau geram mahu juga berlumba. Biasanya tidak dapat mengatasi mereka itu yang memang berani mati. Saya setakat 130 km pun sudah pucat. Tambah-tambah lagi isteri yang selalu menegur supaya jangan melayan orang 'gila' itu. Betul juga.
Pergerakan di Nilai menjadi perlahan rupa-rupanya disebabkan oleh dua buah kereta berhenti dibahu jalan sebelah kiri. Mungkin rosak atau di tahan oleh Polis kerana terdapat sebuah kereta peronda polis. Yang menghairankan dua buah kereta itu tidak langsong menghalang perjalanan kenderaan yang lain. Tapi mengapa pula perjalanan menjadi tidak lancar?
Saya memerhatikan dua kenderaan itu untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi. Pemandu yang dihadapan pun saya rasa melakukan perkara yang sama. Mungkin semua pemandu yang melintasi kenderaan yang berhenti dibahu jalan itu melakukan perkara yang sama. Masing-masing ingin tahu apa masalah yang dihadapi oleh pemandu-pemandu kereta yang 'rosak' itu. Kesemuanya terlalu perihatin tetapi perjalanan di teruskan juga. Cuma perlahan sedikit.
Oleh kerana sebahagian besar terlalu perihatin dengan memberikan sedikit jelingan kepada kereta yang rosak itu maka pergerakan pun menjadi perlahan. Inilah sebenarnya punca kepada tidak lancarnya perjalanan hari itu. Tidak ada pun kemalangan yang berlaku. Jadi saya juga adalah penyumbang kepada perjalanan yang tidak lancar itu.
Setelah penat mengemas rumah tonton pula perlawanan Tenis Terbuka Australia. Dan di sebelah malam tonton pula perlawanan bola sepak liga Inggeris. Maka menulis blog sudah tidak menjadi keutamaan.
Jadi untuk memulakannya satu perkara yang bukan mudah. Pertama, apa benda yang nak di tulis? Kedua mengapa benda itu perlu di tulis? Ketiga, berbaloikah benda itu di tulis? Itulah diantara persoalan-persoalan yang selalu menjadi penghalang saya untuk membuat paparan dalam blog. Akhirnya jalan mudah yang diambil ialah bermain dengan cucu. Tidak payah nak fikir macam-macam. Melihat keletah cucu dan suara gelak ketawanya lagi menghiburkan. Menulis di blog juga menghiburkan. Setidak-tidaknya syok sendiri. Harap-harap tidak menyakitkan hati orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan