1. Mahathir (M) kelihatan tidak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar (A) dari tuduhan liwat 2 pada tarikh yang dipopularkan 901. Ini berikutan dari kenyataan beliau yang membawa maksud sedemikian dengan mengambil kesempatan menegaskan bahawa cabang kehakiman semenjak dahulu ( mungkin bermaksud -khususnya pada ketika beliau jadi PM) adalah bebas dari campur tangan eksekutif.
2. Kalau tidak gembira bermakna M tidak suka atau dukacita, tidak gemar, tidak seronok, tidak bersama, tidak menyebelahi, tidak syok dan tidak menyokong dan berbagai tidak yang lain yang menegatifkan sesuatu perkataan yang berciri positif, misalnya 'bersyukur' akan ditambah di hadapannya dengan tidak. Apatah lagi untuk rasa bersimpatai terhadap A. Hal itu boleh difahami jika beliau masih lagi menjadi PM kerana pencabar yang dibenci masih lagi berpeluang untuk menyainginya. Kedudukan untuk menduduki kerusi PM adalah berisiko jika A bebas dan tidak di penjarakan.
3. Tetapi selepas berada dipinggiran , (maksud saya walaupun telah melepas jawatan , M masih lagi bergerak seolah-olah sebagai seorang yang masih lagi berimpian kuasa ), rasa benci dan marah terhadap A ini tidak dapat disingkirkan dari menguasai pemikirannya. Benci dan marah yang berpanjangan, mungkin tidak ada garis penamat.
4. Ini bermakna sama ada ketika menjadi PM atau pun selepas tidak memegang jawatan itu, dan selagi hayat di kandung badan , M masih lagi mempunyai sikap yang sama terhadap A, benci, marah dan ada hal/hal-hal yang sangat menyakit dan melukakan hati M. Ada perkara yang belum selesai antara dua personaliti yang banyak mewarnai dan menguasai senario politik Malaysia. Atau adakah kesumat dendam-mendendam menguasai diri baik M mahu pun A.
5. Semasa menjadi PM, A disingkirkan dari jawatan TPM adalah berasaskan moral A yang dikatakan M terlalu rendah dan tidak sesuai untuk diangkat mengetuai kerajaan. Kemudian, selaras dengan asas penyingkiran itu A telah didakwa dan mahkamah telah mensabitkan A bersalah dan dipenjarakan.
6. Kemudian dalam tempoh M tidak berjawatan PM, A telah berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan dan dibebas dari penjara. Namun begitu M masih lagi mengatakan bahawa dia percaya A telah melakukan perbuatan rendah moral itu.
7. Jadi disini dapat dilihat bahawa kebencian M terhadap A adalah berpaksikan apa yang dituduh M sebagai moral A yang terlalu rendah. Seolah-olah nampaknya bukanlah A itu sebagai pencabar yang boleh menggugatkan kedudukannya sebagai PM seperti yang diandaikan oleh setengah pihak. Sebab selepas tidak jadi PM pun beliau nampaknya secara konsisten membenci A atas isu moral A yang dikatakan terlalu rendah.
8. Ertinya mesej yang hendak disampaikan oleh M ialah bahawa A memang tidak layak untuk menerajui negara atas isu moral tersebut. Atau dalam perkataan lain M tidak mahu dan tidak bersetuju, sangat menentang dan benci sama sekali orang yang mempunyai moral yang rendah . Apatah lagi jika orang itu dilihatnya bercita-cita atau mempunyai potensi untuk menjadi PM sama ada sebagai pencabarnya atau semasa dia tidak lagi jadi PM. Sesungguhnya ada kemurniaan dalam hasrat M itu. Kita wajar menolak sesiapa saja yang dibuktikan mempunyai moral yang rendah untuk memimpin kita.
9. Sudah tentu perbuatan atau perlakuan atau tabiat atau perangai orang yang suka menerima dan memberi rasuah, seorang penjenayah, merompak harta negara, menyalahguna kuasa, pembunuh, penipu, pembohong, pemfitnah, perogol, pembuat penyebar dan penayang video kotor seperti video lucah, pemutar belit fakta dan pemalsuan keterangan dan banyak lagi perlakuan yang tidak senonoh adalah orang yang memang termasuk dalam senarai M yang tidak layak menjadi pemimpin sama ada pemimpin masyarakat, politik mahu pun pemimpin negara terutamanya menjadi seorang PM Malaysia. Moral mereka setaraf dengan moral A seperti yang dituduh dan dibenci oleh M.
10. Dan pada ketika ini M hanya mempunyai seorang nama saja dalam senarainya iaitu ANWAR IBRAHIM. Anwar Ibrahim tidak layak jadi PM. Maknanya yang lain khususnya orang politik yang telah dipilih sama ada dari parti yang memerintah atau pembangkang adalah layak menjadi PM kerana tidak mempunyai isu moral.
11. Oleh itu sekarang saya mula faham bahawa asas kebencian M terhadap A adalah atas asas moral yang rendah. Sebab itulah M terlalu tidak gembira apabila hakim melepaskannya. Maknanya, buat ketika ini, A yang dikatakan bermoral rendah itu sebenarnya tidak sedemikian setelah disahkan oleh hakim bicara. Keputusan seperti ini bertentangan dengan perjuangan M yang sangat benci dengan orang yang bermoral rendah. Yang paling menyakitkan hati ialah A mempunyai peluang untuk menjadi PM jika PR memenangi pilihanraya yang ke 13 nanti.
12. Apa kah yang akan terjadi kepada Malaysia jika A jadi PM? Kalau berpandukan kepada kebencian M terhadap A, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral. Rosak kita semua! Itu adalah kerisauan M dan yang sealiran dengannya.
13. Saya bersetuju 'jika rosak kita semua' itu hanya merujuk kepada mereka yang sealiran dan penyokong kuat M saja. Saya dan banyak yang lain hanya menerima saja sesiapa yang telah ditunjukkan oleh majoriti rakyat Malaysia untuk jadi PM, tidak semestinya A saja.
14. Yang jelas ialah bahawa M dan A masih lagi bermusuh, permusuhan yang tidak ada garisan penamat. Cuma saya tidak pasti siapakah diantara kedua personaliti ini yang mempunyai dan menyimpan dendam kesumat. Tiada kemaafan bagi mu.
15. Oleh itu jika ditakdirkan A jadi PM nanti, singkir dan buanglah jauh-jauh rasa kebencian terhadap M jika masih lagi tersimpan pada waktu ini.
5.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan