Maha Guru (MG) yang mesra dengan panggilan Ayahanda naik berang. Berang kerana anak muridnya tidak mengamalkan Langkah 22 yang telah diajar semasa dibawah bimbingannya dulu.
Dia masih lagi memandang gelangang persilatan yang menjadi pertarungan diantara kumpulan anak didiknya dengan kumpulan lawan. Gelangang yang semakin ditinggalkan orang setelah pengadil memberi kemenangan kepada pihak lawan. Walaupun itu pusingan pertama namun MG terlalu berang kerana pada penyaksiannya sebentar tadi anak didiknya yang juga guru persilatan yang baru saja 3 purnama diangkat ke taraf guru telah tidak memberi arahan yang betul kepada pesilat taruhannya. 'Sat tidak patuh', bisik suara hati MG menyalahkan guru bernama Satria yang sama-sama dipersetujuinya dulu untuk mengetuai pasukan silat langkah 22.
"Menyerang tidak boleh berundur. Mesti kedepan. Itu asas serangan Langkah 22", jantung MG berdenyut terlalu cepat melepaskan kemarahan dalam dadanya.
Langkah 22 adalah buah-buah pukulan Seni Silat yang menjadi pegangan MG bagi menyerang musuh. Ia telah mengamalkan selama 22 tahun dan dia tidak pernah gagal dalam setiap serangan yang dibuat. Lawannya akan patah riuk, bergelempangan kaku dalam gelanggang perlawanan. Ada yang lumpuh hilang upaya. Ada juga lawan yang patah tangan dan kaki dan cedera rengan yang masih bernyawa, ada yang nyawa-nyawa ikan yang merujuk kepadanya untuk diajar kehebatan langkah 22 ini. MG seperti biasa akan berkata bahawa dia seorang yang terbuka dan boleh menerima siapa saja yang mahu belajar dengannya. Dia seorang yang sedia memaafkan sesiapa saja yang pernah memperkecilkan Langkah 22 yang menjadi pegangannya. Dan sikapnya ini mendapat sanjungan tinggi anak-anak didikannya tidak terkecuali anak-anak didikan dari seni persilatan lawan. Maka bilangan yang berpindah untuk bersetia kepadanya dari hari ke hari bertambah ramai.
MG mula tersenyum . Bibir atasnya sedikit terangkat dan melebar ke kiri dan ke kanan sekadar cukup membentuk satu garis pemisahan dengan bibir bawah. Senyumannya adalah simbol Langkah 22. Senyumannya itu adalah ilham yang melahirkan Langkah 22.
MG pernah menguasai dua belantara yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang panjang dan besar. Dia sesekali berdayung ke belantara sebelah kanan kerana dia lebih suka tinggal di belantara sebelah kiri kerana di sini banyak pasukan persilatan yang bercambah menjadi pesaingnya. Lagipun anak didiknya yang mendiami di belantara kanan terlalu taksub dengannya, terlalu bersetia.
Di belantara kiri lawan-lawannya sentiasa ajak beradu dalam gelanggang. Namun dia tidak pernah tewas. Cuma yang dia ingat dua kali dia hampir tersungkur. Falsafah langkah 22 telah menyelamatkannya. Ya, kalau menyerang biar musuh itu mati. Dia lebih suka gunakan perkataan mampus kerana lebih menyelerakan nafsunya.
Tapi yang memberi kesan yang sangat-sangat menebalkan rasa bencinya kepada siapa saja lawan mahupun kawan ialah peristiwa dia diberitahu apabila ada anak didiknya cuba pandai-pandai mengenalkan langkah persilatan yang baru. Dia terlalu berang akan berita yang disampaikan oleh beberapa juak-juaknya yang memang tidak senang dengan langkah baru yang cuba hendak diperkenalkan orang itu. Lalu bersama juak-juaknya anak didik yang dianggap pengkhianat kepada seni persilatannya itu telah di tusuk. Sasaran sebenar didada tapi yang mengena hanya di mata dik kerana tepisan dan elakan anak didik yang dikatakan pengkianat itu. Hanya lebam membiru dimata dan benjol dikepala saja. Itupun bagi MG sudah cukup kerana Langkah 22 juga mengatakan 'kalau pukul mesti ada lebam dan benjolnya'.
Sekarang MG telah keluar gelanggang persilatan. Tapi masih lagi duduk dipinggiran memerhati dan melihat anak-anak didiknya dengan penuh waspada terutama hal yang berkaitan Langkah 22. Dia mahu seni persilatannya diteruskan. Seni persilatan yang sentiasa bertumpukan serangan . Tidak ada satu langkahpun perlu diabaikan semasa menyerang.
Di sebelah kiri MG duduk bersila bekas anak didiknya yang paling taat padanya walaupun tidak termasuk dalam jemaah persilatan yang ada ketika ini. Tapi rohnya menjiwai Langkah 22 yang dipelajarinya dulu. Di sebelah kanan MG pula adalah juga anak muridnya yang masih lagi dalam jemaah persilatan Langkah 22 tapi ramai ahli jemaah persilatan yang menyepi terhadapnya. Dia macam melukut ditepi gantang. Di belakang MG ada beberapa orang yang pernah cedera dik buah pukulan Langkah 22 semasa mereka itu cuba-cuba menguji kehebatan Langkah itu. Mereka berdiri tegak seperti batu, membisu tapi lagak sebagai pengawal MG. Kesemuanya, yang kiri, kanan dan belakang sudah akur dan tunduk akan kehebatan MG.
"Dia ni dah lupa langkah yang Ayahanda ajarkan. Mahu buat langkah sendiri, serang dan undur. Konon untuk menyusun langkah yang baru yang lebih kemas. Tak boleh. Bila menyerang kita tidak boleh undur barang selangkah. Kalau undur macam mana buah serangan boleh kena lawan. Langkah kita serang dan mara" , berang MG terhambur keluar mendapat anggukan dari kiri kanan dan belakang.
" Kat, beritahu Ayahanda tiang pertama yang menjadi paksi Langkah 22", MG menoleh ke kiri untuk menguji ingatan anak didiknya yang taat itu yang bernama Katam yang lebih mesra di panggil Kat saja. Terperanjat juga Kat apabila menerima soalan yang tiba-tiba itu kerana dia bukanlah seorang yang pengingat sangat. Dia pun bukan yang cerdik. Cuma dia suka mencari pohon yang rendang, yang lebat daunnya, pohon yang sentiasa berbuah lebat. Kelakuan dan sifatnya sama seperti beruk yang suka bergayut pada pokok-pokok yang berbuah lebat.
Kat menggaru kepala.
"Maaf Ayahanda, hamba mudah lupa tidak seperti Ayahanda", Kat terus menggaru kepala cuba mengingatkan jawapan kepada soalan yang tidak disangka-sangka itu sambil memuji Ayahanda yang tidak mudah lupa. MG mengukir senyum biasanya. Ada ejekan dalam senyumannya itu.
"Kamu Rog, beritahu ayahanda", MG menoleh ke kanan untuk mendapatkan jawapan dari Roger yang dipanggilnya Rog. Rog seorang anak murid yang disifatkannya sebagai bijak tapi agak nakal yang selalu mengganggu kawan-kawan sepersilatan dari kumpulan wirati. Atas bantahan kumpulan ini Rog telah dikeluarkan dari gelanggang.
"Maaf Ayahanda" pohon maaf yang sentiasa didahulukan semasa berbicara dengan MG. Ianya tidak bermakna orang itu bersalah. Tapi itulah caranya memuliakan MG yang dikasihi. Perlu merendah diri seumpama seorang hamba dengan tuannya. "Kalau tidak silap ingatan saya , paksi utama ialah 'kalau menusuk biar sampai mati' ". MG tersenyum mendengar jawapan Rog yang begitu tepat sekali. Senyum dalam ukiran yang sama yang membawa mesej kebencian dan kebongkakan.
"Kalau telanjang .....", "biar sampai bogel", sambung Kat sebelum sempat MG menghabiskan paksi kedua Langkah 22. Kat begitu gembira sekali sewaktu menyambung melengkapkan paksi kedua itu. Sekali lagi MG tersenyum.
Kat dan Rog bingkas bangun dari persilaan apabila mendapat arahan MG untuk memanggil Sat guru persilatan baru itu berjumpa dengannya. Sat berdiri di hujung gelanggang bersama dengan beberapa pembantunya. Dia begitu tenang sekali walaupun pesilatnya telah tewas. 'Ini baru pusingan pertama' . Sat melebarkan senyuman sebaik saja mendapat jemputan Kat dan Rog untuk mengadap MG.
"Kenapa kalah. Ayahanda lihat pesilat kita tadi berundur semasa menyerang. Mana pukulan boleh mengena lawan. Kita mesti serang dan serang , melangkah ke depan. Bukan berundur mengatur langkah untuk buat serangan baru. Itu sudah terlambat kerana lawan akan mula langkah dan meluru ke depan menyerang kita", MG tidak berlengah menyerang Sat, Guru Silat baru tiga purnama itu yang dianggap masih mentah sebaik saja Sat berada dihadapannya. Sat berdiri saja tidak berkata apa-apa. Dia tundukkan kepala sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan MG. MG pula yang duduk diatas kerusi tidak bangun semasa menyambut tangan Sat. Pada dia cara itu adalah satu isyarat bahawa dia lebih tinggi darjat berbanding guru silat yang baru itu. Dia yang mendidiknya dulu . Penghormatan adalah hak mutlak untuk diberikan kepadanya saja. Dia Maha Guru.
Memandangkan serangan mulutnya tidak berbalas MG mengulangi serangan sekali lagi tapi kali ini lebih lembut dan berdiplomasi. "Ayahanda bukan apa, cuma amat simpati pada anakanda. Kita kalah membuatkan pihak lawan naik muka. Kita kalah kerana langkah kita sumbang. Kita serang kemudian berundur. Tak boleh macam tu". Sat menundukkan kepala penuh patuh mendengar. Kali ini dia mahu menyatakan sesuatu. Tapi mengenali MG dia lebih suka menyimpan dalam hati dari menyatakan sesuatu.
Melihatkan Sat berdiam saja tanpa mahu menyatakan sesuatu perasaan marah MG mula membuak. Dia macam tersenyum apabila kedua bibirnya mula merekah kecil .
"Pasal apa serang kemudian melangkah undur kebelakang. Ini bukan langkah 22. Ini langkah menyerah kalah", bibir yang merekah kecil itu telah betukar menjadi bertambah besar untuk membolehkan sergahan keluar dengan lancar. Sat mengangkat kepala tidak tunduk lagi. Dia berpusing membelakangkan MG. Dia Guru Silat ketika ini bukan MG. Dia tahu apa yang dia buat. Dia bukan bodoh seperti yang di pandang oleh MG.
"Ini baru pusingan pertama. Kita beri dia menang. Biar dia berkhayal dulu. Nanti dipusingan akhir baru kita tibai", begitu lancar dan tegas keluar kata-kata dari Sat. Dia tidak takut pada MG. MG sudah jadi orang pinggiran, tidak perlu masuk dan turun gelanggang.
MG bingkas bangun . Dia terlalu amat marah. Dia tidak menyangka Sat berani berkata begitu dengan suara yang lantang. MG memandang kiri ,kanan dan belakang untuk membaca reaksi anak-anak didiknya. Mereka semuanya berdiri, bersedia untuk menerima perintah MG.
"Kita semua turun gelanggang. Kita tidak boleh harap orang ini. Musuh tentu menang. Mati kita" , kata-kata MG yang lantang dan jelas mendapat kata-kata laungan sokongan "Hidup Maha Guru" dari anak-anak didik yang bersama tadi. Berang Mahu Guru semakin memuncak. Tangan kanannya diangkat melekat didada sebelah kiri. Satria melangkah meninggalkan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan