Sudah hampir sebulan duduk di kondo. Pemandangan di luar pada waktu malam dari tingkat 12 amat menarik sekali dengan nyalaan dan kilauan lampu-lampu jalan , lampu-lampu di rumah-rumah dan bangunan tinggi yang lain. Hati saya mula tertawan untuk tinggal lama di kondo, untuk menjaga cucu tersayang.
Rumah yang ditinggalkan di Melaka tidak lagi menguasai perasaan malah semacam hampir hilang dari ingatan, kecuali isteri yang masih risau akan bunga-bunga yang ditanam yang sudah tentu mati kekeringan kerana tiada siapa yang menyiram. Tapi sayangkan cucu melebihi dari rumah besar yang ditinggalkan, membuatkan isteri masih lagi memilih untuk mendiami di kondo yang menyekat kebebasan pergerakannya.
Tiba-tiba pada pagi ini sewaktu kami menolak cucu didalam stroller dalam siri senaman pagi, kami telah berbincang untuk menjual rumah dan hasil jualan itu akan digunakan untuk membeli kondo di Putrajaya. Kami merasakan pada usia yang telah meningkat ini tenaga yang ada tidak lagi mampu untuk menguruskan dengan sempurna dalaman serta luaran rumah.
Enam bilik air perlu dicuci tidak termasuk sebuah bilik air diluar rumah; mengemas dan membersihkan bilik-bilik tidur dari habuk dan kotoran yang lain terutamanya tahi-tahi berakan cicak yang tidak pernah gagal ditemui pada setiap hari; memotong rumput sekurang-kurangnya dua kali sebulan; menyapu serta membuang sampah yang terpaksa dilakukan setiap hari; dan menyiram, membaja tanaman dan bunga serta mencantas dan men'trim' daun-daun adalah kerja-kerja yang menggerakkan anggota kami berdua sebagai sebahagian dari senaman. Untuk mengupah pihak lain melakukan sudah tentu menambahkan lagi perbelanjaan. Ianya di luar kemampuan.
Lagi pun tiga orang dari empat orang anak telah bekerja. Dua darinya telah berumah tangga dan seorang darinya telah mempunyai rumah sendiri. Maka keperluan untuk sebuah rumah yang mempunyai enam bilik diatas kawasan seluas lebih kurang 13,000 kaki persegi nampaknya tidak praktikal lagi bagi orang tua seperti kami. Kami yakin kesemua anak-anak akan mempunyai rumah sendiri dan tidak akan mengambil alih untuk mendiami rumah kami itu.
Bahkan untuk turun naik tangga atas kebawah dan bawah ke atas juga tidak lagi setangkas dahulu. Tangan sentiasa memegang pada selusuh tangga untuk membantu pergerakan.
Demikianlah sambil berjalan menolak cucu di dalam stroller yang memandang kiri dan kanan menikmati persekitaran, kami berbincang yang secara kebetulan kedua-dua kami mempunyai pendapat dan pandangan yang sama. Namun isteri masih lagi menyimpan harapan untuk rumah itu diambil alih oleh salah seorang anak. Isteri menaruh harapan kepada anak lelaki yang baru saja bekerja yang masih belum bekeluarga atau anak bongsu yang masih lagi belajar. Harap-harap salah seorang itu akan bekerja dan bermastautin di Melaka.
Saya menyatakan kepada isteri bahawa harapan itu berkemungkinan besar akan tidak menjadi kenyataan kerana besar kemungkinan kedua-dua anak-anak itu akan berpindah randah sepanjang mempunyai pekerjaan. Jadi apa perlu buat? Juallah rumah itu. Beli kondo. Ditakdirkan tiada lagi terpulang kepada anak-anak sama ada nak jual atau nak disewakan. Kalau tinggalkan banglo, nak sewa untuk harga yang sesuai amat susah sekali.
Kalau anak-anak balik beraya macam mana? Soalan yang dikemukakan isteri. Dia masih lagi mengharapkan rumah itu akan diambil alih salah seorang anak. Kalau duduk kondo yang hanya ada tiga bilik, kecil pula bukan kah itu satu masalah untuk berkumpul dihari raya.
Saya memberikan jawapan yang terlalu mudah dengan mencadangkan supaya perjumpaan hari raya dibuat di hotel atau di mana-mana restoran. Anak-anak itu bolehlah menyewa hotel yang berdekatan kerana bilik yang ada tidak mencukupi. Isteri mendiamkan diri, mungkin tidak bersetuju.
Macam mana pun perbincangan menjual rumah dan tinggal di kondo ini adalah sesuatu yang baru saja terfikir difikiran kami berdua. Jika dulunya kami berfikir cara begini sudah tentu kami tidak akan membuat rumah seperti yang ada itu.
Jadi kepada mereka yang mahu memiliki atau membina rumah , hendaklah memikirkan keupayaan tenaga kita di usia tua. Bena dan miliki rumah yang cukup bagi keperluan kita suami isteri kerana anak-anak mempunyai kehidupan mereka sendiri. Bagi saya yang telah terlambat menyedari perkara ini pilihan yang terbaik ialah rumah bawah yang mempunyai tidak lebih 3 bilik. Ertinya pilihan saya bukanlah kondo dan tidak juga banglo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan