Theflowersellingboy

Isnin, 31 Ogos 2015

Dari Tingkap Rumahku




Di sini, di tingkat atas rumahku, aku selalu berdiri memandang keluar menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Berkuasa, sejauh mata memandang.  Disinilah juga aku terpaksa melakukan kerja yang tidak berjadual, menghalau beruk.

Biasanya tingkap-tingkap itu tertutup rapat sepanjang hari, siang dan malam. Serangga, nyamuk aedes terutamanya menjadi seram sekali bagi keluargaku , terutama isteriku  untuk dibiarkan masuk membawa penyakit denggi. 

Begitu juga, sang lotong, monyet , kera dan yang sejenis selalu juga mengganggu ketenteraman kami, meniti wayar letrik  yang menyambungkan arus letrik ke rumahku. Binatang jenis ini amat garang, langsung tidak takut walaupun disergah, diacah dengan batang kayu penyapu, matanya tepat merenung ke arah si pengacah seperti mahu beritahu kepada sipengacah bahawa 'datanglah ke mari jika kamu berani'.

Isteriku paling takut. Takut nyamuk aedes, takut kera, monyet dan lotong itu. Maka aturan pertama yang dibuat, jangan ada sesiapa yang buka tingkap-tingkap. Bahaya, katanya.

Tapi dia hanya seorang isteri, bukan ketua keluarga. Aku terkecuali dari peraturan itu walaupun aku sendiri bersetuju dengan kewarasan hujahnya itu. Jika aku berdiri di tingkap, pastinya tingkap itu akan aku buka, wah nyaman sekali angin menyapa wajahku.

Aku selalu berhujah, apa yang perlu diseramkan dengan sinyamuk aedes itu. Pertama nyamuk itu sendiri tiada. Yang ada hanya nyamuk hutan yang lebih besar, yang gigitannya amat gatal sekali. Tapi nyamuk hutan itu, jarang sekali naik ke tingkat atas, hanya berkeliaran di sebelah bawah, di pasu-pasu bunga dibawah. Jika naikpun penyembur nyamuk akan mematikannya. Lagipun aku percaya nyamuk hutan yang besar itu boleh menakutkan nyamuk aedes yang saiznyz kecil itu.

Mengapa pula perlu takut dengan lotong, kera dan monyet. Binatang-binatang itu mempamerkan kemahiran meniti wayar letrik , satu pertunjukan percuma. Tidak ada kepuraan dalam aksi yang ditunjukkan, asli sifatnya, tanpa diupah makanan seperti pisang, macam dilakukan di mana-mana zoo. Kalau cucu-cucu balik, tidak perlu dibawa ke zoo, jimat belanja.

Ya, aku tidak takut binatang-binatang itu. Tapi aku tidak suka. Sudah beberapa kali aku keluar belanja untuk menyambung semula talian masuk talipon ke rumah. Sekali sambung, kontrakter kenakan RM200.00. Terlalu mahal, pada hal kerjanya hanya menyambung semula wayar yang terputus akibat penitian yang dilakukan oleh beruk-beruk itu. Tidak ada penggantian wayar baru. Hendak buat sendiri, tidak mampu untuk panjat memanjat. Jadi bayarlah.  Ini semua beruk-beruk itu punya fasal

Nasib baik, TNB buat sendiri kerja penyambungan wayar ke rumah. Katanya, penyambungan dari punca bekalannya (tiang) ke rumah adalah tanggungjawab TNB. Kerja sambungan dalaman adalah tanggungjawab tuan rumah. Selamat kocekku.

Oleh kerana aku tidak suka dengan kelakuan beruk-beruk itu, setiap kali binatang itu datang sama ada sendirian atau berkawan, bertenggek di balkoni rumahku, aku akan buka tingkap untuk menghalaunya. Aku lakukan dengan perlahan agar telinga beruk itu tidak dapat mengesan. Sambil sebelah tanganku memegang batang penyapu , aku dengan perlahan-lahan membuka tingkap yang berhadapan dengan beruk itu.

Tapi, gerakan daun tingkap itu mengeluarkan bunyi walaupun perlahan , dapat juga dikesan oleh telinga dan mata beruk itu. Berlompatanlah beruk itu menuju ke wayar letrik untuk lari. Beruk itu akan berhenti di pertengahan jarak , lalu menoleh ke belakang. Matanya tepat memandang padaku yang sedang mengacah-acah dengan batang penyapu. Dia tidak hairan, nampak gayanya, langsung tidak bergerak, seolah-olah mencabar aku untuk segera mendekatinya.

Marah? Sudah tentu aku marah. Beruk mempermainkan aku. Mentang-mentang aku tidak mampu mendekatinya, beruk itu amat berani sekali menunggu kedatanganku.  Aku tahu jika penyapu itu aku baling ke arahnya, beruk itu tidak akan lari, dan mungkin akan ketawakan perbuatanku itu. Sia-sia layan beruk cara itu.

Aku tutup tingkap dan terus mengambil senapang. Hanya dengan senapang, beruk ini akan lari. 

Aku tidak pula memasukkan peluru ke dalam senapang itu. Sebenarnya, aku tidak berniat untuk menembak beruk itu. Aku mahu menakutkannya saja.

Beruk itu masih diatas wayar letrik itu, menghayun ke kiri ke kanan seperti buaian. Aku bertambah risau, takut wayar letrik itu akan putus sambungan. 

Melihat aku mengacah dengan senapang tetapi tidak berbunyi, beruk itu terus menghayun badanya ke kiri ke kanan,tidak langsun mahu lari. Matanya masih lagi memandang padaku.

Macam mana? Mesti ada peluru dan lakukan tembakan kosong menuju ruang yang berjauhan dengan beruk itu. Sekali lagi aku tutup tingkap, berjalan untuk mengambil peluru.   

Bunyi letupan senapang membuatkan beruk itu lari lintang pukang, hampir-hampir terlepas mencengkam wayar itu. Beruk itu terus melompat dari satu batang pokok ke pokok yang lain. Aku hanya mampu memandang sehingga beruk itu tidak kelihatan.

Itulah antara tugas yang tidak berjadual yang aku terpaksa lakukan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan