Theflowersellingboy

Selasa, 25 Ogos 2015

Pengucapan Perkataan Yang Amat Mendukacitakan




Terbangsat! Haram jadah!
 
Mahu percaya tak kata-kata itu diucapkan oleh seorang Perdana Menteri. Nadanya tinggi penuh benci dan marah. Seorang perdana menteri , Melayu bangsanya dan Islam agamanya. 

Tidak mahu percaya, tapi sendiri dengar dan lihat. Bukan melalui penceritaan dan perkhabaran orang lain.
 
Kata-kata itu tidak wajar diucapkan. PM atau siapa pun tidak patut melakukanya walau dalam apa keadaan sekalipun. Ada perkataan lain yang boleh digunakan untuk menyatakan perasaan kekesalan atau tidak suka terhadap seseorang atau kumpulan orang.
 
Mengapa perlu gunakan haram jadah yang tujuannya untuk menyampaikan maksud 'anda tidak layak menerima bantuan disebabkan anda tidak menyokong kerajaan'. Boleh gunakan perkataan atau ayat 'jangan mimpi kerajaan membantu anda' atau 'lupakan saja bantuan dari kerajaan'.

Tidak juga perlu gunakan perkataan terbangsat yang tujuannya untuk menyampaikan maksud bahawa 'anda akan menjadi bangsa yang paling hina'.

Apa boleh buat, kata-kata itu telah diucapkan. Kesannya tidak sama dengan terlajak perahu.

Terlajak perahu boleh berpatah balik. Kesan tidak baiknya hanya diukur dari segi tempoh masa yang digunakan--terdapat pembaziran masa.  

Berlainan dengan mengucapkan kata-kata yang kurang manis, apatah lagi dikhalayak ramai oleh seorang ketua tertinggi di negara ini, dengan penuh marah dan perasaan benci.

Apa kah kesan yang tidak baik?

Keperibadian diukur. Pertama atas dirinya sendiri. Kedua ibubapa dan keturunan. Ketiga, bangsanya. Keempat , agamanya. Kelima jawatan yang disandang.

Nama baik dan imej diri tercalar. 

Ibubapa dikatakan tidak tahu mengajar anaknya, dan boleh menimbulkan persoalan adakah keturunannya begitu perangainya. 

Itukah budaya orang Melayu yang dikatakan lembah lembut, berbudi bahasa dan halus tingkah laku dan pekertinya. 

Adakah itu yang diajarkan oleh Islam, soalan yang boleh ditanya terutama dari yang bukan Islam.

Perdana Menteri Malaysia 'membangsatkan' bangsanya? Pertanyaan yang penuh kehairanan akan tentu ditanya.

Bukan saja kesan buruk itu mengena kepada 5 diatas,  Rakyat dan negara juga tidak terkecuali terpalit menangung kesan buruk itu.

Peribadi yang tercalar namanya tidak mudah dipercayai, dan tidak juga akan dipandang tinggi dan dihormati. Keadaan ini lebih sulit lagi jika peribadi itu memimpin sebuah negara. Apa imej yang dia bawa semasa berdepan dengan kepimpinan luar negara.

Sesungguhnya amat malang sekali kata-kata itu telah diucapkan oleh perdana menteri.

Tentang bangsa Melayu menjadi satu bangsa terbangsat jika UMNO kalah seperti yang dinujumkan oleh perdana menteri, saya percaya sebahagian besar rakyat tidak bersetuju malah ada soalan untuk ditanya balik kepada perdana menteri dengan kenyataan seperti berikut:

Terbangsat itu ertinya paling hinalah - tiada maruah, merempat, miskin dan papa kedana dan segala sifat  hina yang lain.

Mahu tanya:  

i) Setelah hampir 58 tahun merdeka, dan semenjak merdeka sehingga sekarang ini UMNO yang memerintah, mengapa hanya misalnya tahun depan UMNO kalah dan tidak jadi kerajaan, Bangsa Melayu menjadi bangsa yang TERBANGSAT?

ii) Apakah dalam jangka masa 58 tahun itu, UMNO dengan mudah mahu melepaskan tangan dan tidak mahu bertanggungjawab  keatas taraf dan tahap kedudukan orang Melayu?

Sesungguhnya apa yang pm tuturkan itu terlalu amat sekali dikesalkan. Ianya bukan saja mencalarkan nama baik dan imej peribadinya bahkan memberi kesan buruk kepada ibubapa, bangsa, agama dan institusi jawatan perdana menteri. 

Begitu juga penujumannya itu adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.
 
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan