Theflowersellingboy

Khamis, 6 Ogos 2015

Mengapa Terus Ber hoha hohe?




"Terima derma pun tak boleh. BR1M pun kata rasuah".  Marah.

Ayat-ayat yang saya dengar dari seorang yang seusia saya, 60 an, berkopiah putih, yang sedang berborak-borak bersama dengan beberapa orang yang lain, yang sesusia juga rasanya, disebuah  warung makan minum , sebaik saja saya melintasi meja mereka untuk balik ke rumah setelah menikmati milo o dan sekeping roti canai.


Di rumah, seperti biasa, saya mahu dengar cerita dari sahabat baik saya, laptop berwarna hitam, dikuasakan oleh internet.

SPRM mengesahkan wang yang masuk dalam akaun peribadi PM adalah derma dan bukan dari 1MDB. Penderma tidak diberitahu.

SPRM juga memberitahu pihaknya tidak menyiasat 1MDB, ianya tugas PDRM.

Saya menggaru-garu kepala walaupun tidak gatal. Sehelai dua rambut melekat dijari menipiskan lagi kepala yang sudah setengah botak. 

Mengapa masih ada lagi hoha hohe disana sini? Semakin kuat dan laju jari-jari tangan kanan saya menggaru kepala. Semakin banyak rambut yang melekat di jari. 

Sebelum kenyataan SPRM ini, sebahagian mereka yang hoha ini menafikan wang masuk dalam akaun peribadi PM. Kata mereka dakwaan WSJ dan SR adalah satu fitnah, bohong. Saman, jangan tak saman jerit mereka!

PM pula hanya memberi reaksi mengatakan beliau tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi. Tidak ada kenyataan dari PM tentang dakwaan wang RM 2.6 billion itu masuk ke dalam akaun peribadinya.
 
Ada juga sebahagian dari mereka yang hoha ini  mengatakan wang itu adalah bagi maksud politik yang mana PM sebagai pemegang amanahnya. Wang bagi maksud pembiayaan politik tidak salah dari segi undang-undang negara, menurut tafsiran mereka.

Mereka yang suka hohe pula mahu tahu betulkah wang 2.6 billion ringgit itu masuk ke dalam akaun peribadi PM. Betulkah, tanya mereka lagi wang itu dari sumber 1MDB.

Sekarang SPRM sudah beritahu: Wang itu adalah wang derma dan bukan dari sumber 1MDB.

Maka wahai sang hoha yang dulunya  kata tiada wang sebanyak yang didakwa masuk ke dalam akaun peribadi PM itu sebenarnya tiada yang benar, melainkan benar semata-mata. 

Wahai sang hoha yang percaya bahawa wang bagi maksud pembiayaan politik tidak menyalahi undang-undang negara, hendaklah bersabar dulu. Kunci mulutmu dari kenyataan seperti itu. Kamu bukan penyiasat dan pihak yang ada otoriti untuk mengatakan salah benar tentang hal itu.

Dan bagaimana kamu boleh kata PM sebagai pemegang amanah sedangkan kamu sendiri sebelum diberitahu oleh SPRM tidak mengetahui duduk perkara wang itu. 

Amanah siapa yang PM pegang?

Kamu pula sang hohe mengapa terus berhohe. Apa yang kamu tanya telah terjawab. Benar, wang sejumlah itu ada masuk dalam akaun peribadi PM. Tidak benar wang itu bersumberkan 1MDB, ianya wang derma.

Apa lagi yang kamu nak tanya wahai sang hohe? Apa yang tidak puas hati? Apa yang kamu terkilan?

Sabar sang hohe, jangan sepantas itu mahu tahu siapa gerangannya sipenderma itu. Jangan ganggu kerja SPRM, mereka sedang menyiasat. PM pun akan dipanggil untuk memberi keterangan tentang wang itu.
  
Waduhhh du du du du du.....mereka ini tak mahu faham masih lagi berhoha hohe.

Ehhh geramnya.

Kepala saya jadi mangsa, rambut berguguran.

Kata sang hohe, mereka mahu juga tahu siapa penderma yang dermawan itu lagi budiman itu.

Sebab, hujah mereka, sepanjang pengalaman mereka dalam mengutip derma - mengutip derma membantu anak yatim dan fakir miskin, membina masjid dan membantu pembiayaan kos pembedahan pesakit jantung, misalnya, tidak pernah berjaya mengumpul satu jumlah yang mencukupi. Banyak kali wang mereka sendiri ditambah bagi mencukupkan keperluan. 

Mereka mahu kenal dengan penderma yang dermawan itu dengan harapan akan memudahkan kerja mereka mendapat sejumlah wang yang mencukupi bagi maksud memberi bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan.

Mereka yakin dan percaya bahawa penderma itu akan tidak mengecewakan. 

Sebab, sedangkan PM yang tidak termasuk dalam asnaf orang yang memerlukan, dihulurkan derma, banyak pula. Apalah ada hal dengan derma kepada anak yatim, duit membeli belah sehari penderma itupun sudah lebih dari cukup.

Dapat pahala pula!

Sang hohe ini juga tidak setuju dengan tafsiran hoha bahawa derma untuk maksud politik tidak menyalahi undang-undang negara. Lalu mereka tunjukkan satu peruntukan dalam Akta 694, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Bahagian 1 Seksyen 3 dibawah tafsiran 'Suapan':

'Bahawa wang derma adalah termasuk dalam tafsiran suapan'.
Semakin berhohelah mereka. Padan muka hoha.

Pemegang amanah?

Hohe mula buat bising, ketawa terbahak-bahak. 

Wang yang disimpan atas nama sendiri dikatakan memegang amanah? Amanah sendiri? Semakin kuat gelak si hohe.

Memegang amanah parti?

Fasal apa pula dalam akaun peribadi PM. Fasal  apa hoha tidak  tahu atau PM beri tahu wang sebanyak itu masuk dalam akaun peribadinya melainkan setelah di beritahu oleh WSJ dan SR. Bukan kah wang itu wang amanah yang hoha sendiri mesti mendapat manfaatnya.

Gila betul si hoha ni. Si hohe senyum puas.

Sudah puas hohe dengan gelak ketawa mu yang mengilai? Saya mahu kepastian.

Belum? Apa lagi?

Macam mana SPRM kata wang derma itu bukan bersumberkan 1MDB sedangkan bukan tugas SPRM menyiasat 1MDB?

Aduiiiiiiiiiiiiii.....semakin kuat jari saya mencakar kulit kepala. 

Wahai sang hoha sila beri pencerahan. Saya tidak mahu tanya SPRM  sebab biarkanlah SPRM menjalankan kerja siasatan keatas SRC. Jangan dikacau ganggu. Lagipun SPRM telah beri jawapan perkara yang ditanyakan. Hohe saja yang gatal-gatal tanya itu dan ini.

Please hoha, please ! Jangan biarkan saya menggaru kepala yang tidak gatal ini. Banyak dah rambut saya berguguran.

Saya letakkan laptop ke samping kiri diatas sofa yang tiada penghuni. Jari-jari  berhenti menggaru kepala. Ada tugas lain yang perlu dilakukan -memetik kawalan jarak jauh tv (remote control).

"SPRM mengesahkan, wang yang masuk dalam akaun peribadi PM itu adalah wang derma bukan dari wang 1MDB".

 "Eh ini sudah kali yang ke berapa yek aku dengar ayat-ayat serupa ni?"  Sekali lagi jari naik atas kepala saya.

Lost count.

Padanlah di warung tadi orang tua tu marah sangat. Fasal apa hohe gatal gatal nak persoal wang derma yang masuk dalam akaun peribadi PM.

Saya ambil laptop semula. Apa?

Beberapa pegawai tinggi SPRM disoal siasat oleh polis.

Jawatankuasa khas menyiasat 1MDB bubar.

Saya percaya hoha dan hohe akan berterusan berhoha dan berhohe.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan