Theflowersellingboy

Isnin, 24 Ogos 2015

"Baik-baik cuuu, hantu berkeliaran sekarang niii". Najibah terbaring pengsan




Najibah, seorang nenek berusia 60an memang suka bercerita dengan cucunya, di sebelah malam, dengan harapan cucu-cucunya segera tidur seperti mana anak-anaknya dulu.

Najibah tahu dia sudah ketinggalan zaman. Tapi dia tidak boleh lekang dari ketagihan untuk bercerita disebelah malam dengan apitan cucunya, dulu anak-anaknya. 

Kerja seperti itu adalah rutin baginya semenjak dia menjadi ibu kepada lima orang anak-anaknya dulu. Semenjak dulu lagi, Najibah konsisten dalam penceritaannya dengan tema yang sama dan bagi maksud yang sama juga.

Tema ceritanya ialah Takut Pada Hantu. 

Najibah mengharapkan, seperti anak-anaknya dulu, agar cucu cucunya berebut-rebut mendekatinya, sehampir yang boleh, sekurang-kurangnya dapat memegang satu diantara jari-jarinya kalau pun tidak dapat memeluknya bagi mendapat perlindungan atau dilindungi dari kacau ganggu hantu yang tidak dapat dilihat tapi amat digeruni.

Malang sekali bagi Najibah, nenek yang ketagihan mahu cerita fasal hantu tetapi tidak selalu mendapat peluang untuk melepaskan gian bercerita fasal hantu itu. Semua anak-anaknya telah berkeluarga, punya anak dan tinggal di Kuala Lumpur, jauh dari tempat tinggalnya disebuah kampong terceruk di pedalaman.

Namun, dia telah mendapat khabar dari Rosnah yang kebetulan tinggal berdekatan dengan anak-anaknya di Kuala Lumpur, yang balik lebih awal, bagi menyambut hari raya, membisikkan ke telinganya bahawa kesemua anak-anak dan cucunya akan balik beraya di kampong.

Najibah tersenyum lebar, sambil menggoyang-goyangkan bahu si Rosnah.

"Tak mungkin dia orang tu balik. Kat kampong apa ada", Najibah semacam merajuk sambil hatinya mengharapkan anak cucunya akan balik beraya di kampong.

Rosnah meyakinkan Najibah. Ini khabar berita yang benar, bukan bohong mahupun fitnah. Buat apa dia buat dosa kering.

Sekali lagi Najibah mengukir senyum kerana apa yang di harap di hati akan menjadi kenyataan.

"Dapatlah aku bermain dengan  cucu-cucu. Boleh cerita macam-macam", gian untuk bercerita fasal hantu mula menguasai otak Najibah.

Malam raya, setelah selesai khenduri arwah dan kesyukuran dan semua tetamu meninggalkan rumahnya, Najibah sudah tidak sabar lagi memanggil cucunya untuk berbaring bersamanya di ruang tengah rumah, rumah yang hanya ada satu bilik itu.

Lima orang cucunya. Masing-masing memegang talipon tangan sedang asyik dengan permainan dalam talipon. Panggilan Najibah semacam tidak dihiraukan oleh cucu-cucunya itu. 

"Mas, kan ke nenek panggil tu", seorang dari anak Najibah mengingatkan anaknya yang sedang asyik bermain gem talipon itu.

Mas atau nama penuhnya Maslah segera mengajak sepupu-sepupu yang hampir sebaya dengannya untuk pergi mendekati nenek yang tidak sabar mahu bercerita fasal hantu.

Kesemua cucu-cucu itu sudah berada bersama nenek. Talipon masih lagi digenggam erat ditangan.

Sambil mengusap-usap kepala cucu yang paling hampir dengannya, Najibah mahu memulakan cerita.

"Nenek nak cerita fasal hantu dapur. Dulu masa mak kau orang kecil, suka dengar cerita hantu dapur. Banyak kali suruh nenek ulang".Ayat pengantar Najibah sebelum memperincikan hantu dapur itu.

"Hantu dapur nek? Hantu tu pandai buat spegeti ke?", seorang dari cucunya yang bernama Raduan atau dipanggil wan bertanya.

Belum lagi sempat Najibah menjawab pertanyaan cucunya Wan itu, seorang lagi cucunya bertanya, "Din nak tahu nek...ada ke hantu tu suka melancung oversea, misalnya ke negeri Yahudi Israel ke, negeri Cina. Boleh lah kenal dengan orang Yahudi atau orang Cina?" Din atau nama penuhnya Zainuddin selamba saja bertanya.

"Oiii apalah kau ni Din. Tak payah ke Israel atau ke Cina, di Malaysia pun ada orang Yahudi dan Cina. Disini ada Cina daplah, cina mca, cina gerakan. Macam-macam cina ada", Wan memperkecilkan pengetahuan Din.

"Dah dah lah tu. Nenek nak cerita fasal hantu dapur. Hantu ni duuknya di dapur. Mukanya hitam legam, rambut sampai ke kaki, panjaaang, matanya merah menyala", Najibah mendepakan kedua-dua tangannya sebagai ukuran betapa panjangnya rambut hantu dapur itu sambil membuka luas matanya. Najibah mahu menimbulkan rasa gerun di hati cucunya itu.

Tapi tidak ada seorang pun cucu-cucunya itu datang merapatinya seperti yang dilakukan oleh anak-anaknya dulu kerana terlalu seram dengan gambaran wajah hantu yang menakutkan itu. 

Cucu-cucunya masih lagi memegang talipon dan terus dengan gem talipon yang menyeronokkan sambil mendengar cerita hantu neneknya Najibah.

"Aku menang", menjerit cucunya yang bernama Wahid yang lebih mesra dipanggil Hid saja.

Najibah mula rasa putus asa kerana cerita hantunya tidak diambil serious oleh cucu-cucunya itu. Tidak seorang pun menunjukkan rasa gerun dan takut.  Sebaliknya menanyakan soalan yang bukan-bukan.  

Tapi Najibah orang tua, orang tua yang lebih dulu makan garam. Dia tidak akan mudah menyerah kalah pada cucu-cucunya yang ubun-ubun mereka masih lembek.  

Najibah masih lagi mahu menimbulkan suasana seram dan menakutkan agar cucu-cucunya berebut-rebut memeluknya, paling kurang memegang jarinya.  

"Kau orang tau tak, hantu dapur tu berkeliaran sekarang ni", Najibah menggeletarkan seluruh anggota badannya dari kepala sehingga ke kaki.

"Baik baik cuuu, hantu berkeliaran sekarang niii", Najibah mengeluarkan suara dengan nada beserta mimik muka seperti orang dalam ketakutan.

"Mana hantu tu nek, saya nak tangkap hantu tu", Mas bangun menuju ke pintu menjenguk ke luar mahu cari hantu itu.

Najibah terbaring pengsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan