Theflowersellingboy

Sabtu, 8 Ogos 2015

Bersama Kawan-kawan Lama Di Majlis Restoran Terbuka.




Malaysia yang unik, kata seorang kawan. Lain dari yang lain, seorang lagi kawan menambah. Malaysia Boleh lah, seorang lagi kawan mencelah.

Kami berkumpul makan-minum di sebuah restoran. Perjumpaan sama-sama kawan satu sekolah dulu, yang sudah pencen. Maklumlah orang pencen ada banyak masa lapang. Lagipun masih lagi bulan syawal. Kami berjumpa di Restoran Terbuka. Samalah dengan konsep  Rumah Terbuka.

Kami berasal dari beberapa buah negeri. Ada dari Melaka, Selangor, Johor , Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang. 

Dulunya bersekolah di Kuala Lumpur, empat tahun bersama tinggal di asrama, dari tingkatan empat, lima, enam rendah dan enam atas. Makan nasi kawah. Tapi sebelum makan kena berdiri baca doa, pakai baju Melayu pulak.

Seronok berbual cerita  lama walaupun diantara kami ada yang pernah bergaduh, bertumbuk dan berkelahi. Berkelahi dan bertumbuk bukan fasal rebut kekasih atau kerana seorang perempuan kerana tiada perempuan selain cikgu dan tukang masak di sekolah kami. 

Adalah seorang dua perempuan tapi semuanya kakak-kakak tingkatan enam, yang telahpun ada pasangan. Kami terlalu junior untuk bertegur sapa apatah lagi untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan mereka.

Paling popular yang menjadi sebab kami bergaduh ialah perasaan keegoaan negeri masing-masing. Kelantan dengan kapak kecilnya. Perak dengan kerisnya. Masing-masing negeri mahu tunjuk kehebatan.

Yang aku ingat ialah pergaduhan diantara budak Kelantan dengan budak Perak. Maka masing-masing berkumpul. Tapi aku tidak pun nampak keris terhunus di tangan budak-budak Perak. Aku juga tidak nampak kapak kecil ditangan budak-budak Kelantan.

Cuma bising-bising saja. Tiada apa yang berlaku. Tiada seorang pun yang cedera, budak perak mahu pun budak Kelantan.

Kami pun tergelak besar dalam restoran itu.  

Dulu, kami semua belum matang. Darah cepat panas menggelegak. Pantang di cabar. Dan jika  ada yang suka memperkecilkan negeri, segera di bantah atau diajak bertumbuk oleh yang empunya negeri yang di perlekehkan itu.

Sekarang, aku tidak kisah. Kawan-kawan akupun tidak ambil kisah. Bahkan tidak ada langsung nak timbulkan kisah-kisah lekeh memperlekeh negeri orang.

Kawan aku , budak Kelantan beristerikan budak negeri Sembilan. Johor kahwin Terengganu. Aku kahwin dengan orang Pahang. Menantu aku pun , orang Perak, orang Negeri Sembilan dan  orang Kelantan. Seorang lagi belum kahwin, mungkin dari negeri lain.

Apa ada pada negeri? Sama, asalkan kelakuan dan peribadi baik.

Kami juga banyak bercerita tentang Malaysia, tajuk-tajuk semasa yang popular. Tentang derma RM2.6 billion, nilai ringgit yang terus merudum, pengguguran jawatan Gani Patail sebagai peguam negara dan penyiasatan serta arah pindah pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam penyiasatan berkaitan SRC satu daripada anak syarikat 1MDB.

Apa yang sibuk sangat fasal derma RM2.6 billion tu, kata seorang kawan. Ada orang yang mahu menderma, ambil sajalah. Salah ke? Fasal apa mahu tahu penderma? Bukankah , sebagai penderma, kita tidak mahu tahu atau hebuh-hebuh kita yang menderma? Itu riya namanya. Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu.

Kami ketawa, maksudnya kawan aku yang buat komen itu pun ketawa sama, terbahak-bahak. 

Memang kau ni lain dari yang lain, seorang kawan bersuara setelah ketawa kami mereda. 

Orang lain mahu tahu siapa si dermawan yang pemurah itu, kau pula tak setuju. Kalau kita tahu, boleh juga tumpang tui, mengendeng-ngendeng minta sikit. Minta sikit, untung-untung dapat banyak. Pencen kau cukup ke? Kau mesti ingat, duit pencen dah kena ambil RM 4 billion , oooiiii!

Ooiiiiiiiii....banyak tuuuuu! Kami tergelak.

2.6 billion, 4 billion, ohhh dahsyat! Serentak suara kami menyebutnya, suara latar sebuah koir, seolah-olah ada konduktor yang memimpin. Semua menyebut tanpa kecuali.

Kawan itu menepuk bahu kawan pertama yang cakap fasal derma tadi. Tiada seorangpun yang marah-marah, tidak seperti semasa sekolah dulu, jika ada perbezaan pendapat, silap-silap penampar naik ke muka. Kami  begitu 'enjoy' sekali.

Apa masalah kau berdua ni? Seorang kawan lagi mahu jadi orang tengah.  Kan ke Malaysia ni semua boleh, Malaysia Boleh!

Nama hodoh jadi sanjungan dan  di minati. Orang jahat disanjungi dan dilindungi. Yang baik, diketepi, di benci, ada yang disumbati dibelakang pagar besi.

Contoh, kau suka orang panggil kau 'menate'? Tanya kawan tu pada kawan dari Kelantan?

Ok, kata kawan dari Kelantan tu. 

Sekarang , kau kata oklah. Kalau masa sekolah dulu sudah tentu aku kena kapak kecil kau tu. Sebab menate sekarang ni boleh  dapat banyak untung. Bagi aku, kata kawan itu, menate tu tetap juga menate.

Sekali lagi kami tergelak besar, seolah-olah kami saja berada dalam restoran yang penuh sesak dengan pelanggan.  

Lantaklah, kata seorang kawan lagi. Yang penting kita tak kacau dia orang nak melantak.

Satu lagi contoh, bersuara kawan yang menimbulkan fasal menate itu.

Kau didakwa buat salah. Kemudian kau lantik pasukan penyiasat untuk buat siasatan atas dakwaan tu. Kemudian kau gugur ketua penyiasat. Kemudian, pasukan penyisat terbubar. Kemudian ada yang terus menyiasat kau, kau ugut mereka, soal mereka macam-macam.

Betul ke cara kau tu?

Sudah tentu betul! Jawab seorang kawan yang soalan itu tidak ditujukan kepadanya.

Kami ketawa. Kali ini paling kuat sekali. Seorang pekerja restoran mendekati kami , lalu dengan penuh takzim meminta kerjasama kami untuk tidak terlalu kuat ketawa, ianya mengganggu tetamu yang lain.

Kami mohon maaf. Sebab kami tahu kami buat salah. Kami mengganggu ketenteraman orang lain walaupun ketawa itu hak kami. Ada peraturan dan undang-undang yang perlu kami patuhi -tidak kiralah kami ini orang Pahang , orang Johor atau dari mana-mana negeri, waemah orang pencen sekali pun.

Kami bersedia untuk keluar dari restoran. Seorang kawan mengambil baki wang dari bayaran makan-minum perjumpaan kami itu.

"This is my token donation to you, not much,  two ringgit sixty sens only, for you ". Pekerja restoran itu tersengeh-sengeh tapi tidak juga mengambil derma itu. Mungkin 'keep the change' tu terlalu kecil untuk di kongsi sama dengan sahabatnya yang lain, dan mungkin nilainya tidak seberapa jika dia berbelanja di Singapura.

"Please!", Kawan saya tu sekali lagi menghulur wang baki itu. Dia merayu agar dermanya ikhlasnya diterima.

"Don't worry, nothing wrong taking this money. It's legal. Morally acceptable".

"Thank you, sir. Come again visit us". Pekerja itu beredar dan kami melangkah keluar restoran itu.

RESTORAN MELANTAK, tiba-tiba seorang kawan membisik ke telingaku. Aku memandang ke sebuah papan besar. Aku tersenyum. 

Sesungguhnya Malaysia unik. Malaysia lain dari yang lain. MALAYSIA BOLEH....boleh segalanya. Tapi mesti ada KUASA POLITIK DULU! 

Dengar video ini dan lihat penyanyinya: Macam Mana? Malaysia Boleh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan