Theflowersellingboy

Khamis, 13 Ogos 2015

Ringgit Yang Menyusust Adalah Baik?




Sesiapa yang tidak setuju nilai ringgit turun orang itu adalah bodoh dan gila.

Itu kata seorang menteri.

Bahkan dengan bangga menteri itu berkata dialah orang yang paling gembira dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan nilai mata wang asing misalnya USD dan Singapore dollar.

Nilai ringgit yang merosot ini menjadikan kos pelancung asing yang datang berbelanja di Malaysia akan menjadi murah, misalnya bayaran hotel atau tempat kediaman.  Maka sudah tentu, menurut menteri itu akan menambahkan bilangan mereka untuk melawat Malaysia.

Alasan itu ada juga logiknya. Kos belanja yang murah sudah tentu meningkatkan permintaan.

Tapi sayang sekali, hujah menteri itu tidak pula disertakan dengan statistik jumlah kedatangan pelancung pada satu tempoh yang berbeza berdasarkan pertukaran mata wang pada tempoh-tempoh yang dirujuk.

Sebagai seorang menteri, sepatutnya itulah hujah yang dikedepankan. Tidak cukup membuat kenyataan secara am bahawa kos yang rendah boleh atau akan menggalakkan orang berkunjung ke Malaysia.

Paling tidak senonoh apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan seperti itu, diberi label sebagai bodoh dan gila.

Mengapa agaknya menteri itu merasakan dia layak atau bebas untuk memberi lebel bodoh dan gila kepada orang yang tidak sependapat dengannya?

Saya ada satu jawapan saja iaitu menteri ini merasakan kuasa yang ada dan kedudukannya sebagai menteri boleh saja memperbodoh dan mempergilakan orang lain. Dia ada lesen besar untuk kata apa yang dia suka. Dia bos.

Menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai menteri untuk berbeza pendapat, tidak ada salahnya , jika hujahnya disokong dengan fakta dan statistik yang boleh dipertanggungjawabkan. Sudah tentu hujah itu boleh meyakinkan pihak yang tidak bersetuju pada awalnya untuk bersetuju dengan menteri itu kemudiannya. 

Rasanya menteri itu akan lebih diberi penghormatan, dan dipercaya apabila membuat kenyatan pada masa depan.

Tapi kalau berhujah mengatakan orang lain bodoh dan gila kerana tidak sependapat dengannya, ia merosakkan rasa hormat kepada kedudukan beliau sebagai menteri dan beliau secara peribadi. Dan kenyataan beliau pada masa depan juga walaupun ada kebenarannya, akan sentiasa diragui.

Sudah tentu bukan itu yang beliau mahukan, sebagai seorang politik.

Ada dua keadaan yang menyebabkan nilai mata wang menyusut berbanding mata wang asing.

Pertama, ia bersangkutan dengan Polisi Kewangan Negara. Misalnya tindakan negara China sekarang   menyusutnilaikan (devalue) mata wangnya dengan menetapkan satu kadar pertukaran  wang asing bagi mencapai maksud tertentu misalnya bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Di Malaysia, semasa menghadapi krisis kewangan, Polisi Kewangan pada masa itu adalah membuat tambatan kadar pertukaran RM3.80 bagi USD1.00 sebagai langkah menyekat penyusutan nilai ringgit yang lebih rendah.

Kedua, mata wang yang terdedah kepada nilai pasaran dunia (market forces) dimana berlaku penyusustan dan peningkatan mata wang itu berbanding mata wang asing.

Malaysia ketika ini berada pada kedudukan kedua diatas.

Soalan: Adakah penyusutan nilai wang itu baik kepada Malaysia?

Jawapannya, tidak semudah 'ya' atau 'tidak' tanpa data dan fakta yang berkaitan.

Tapi apa yang berlaku sekarang ini, penyusutan nilai ringgit banyak memberi kesan yang buruk dari yang baik kerana penyusutan itu berterusan.

Tindakan BNM menggunakan simpanan bagi menyokong nilai ringgit adalah satu petanda jelas bahawa penyusutan nilai ringgit ini bukan sesuatu yang diingini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan