Theflowersellingboy

Rabu, 12 Ogos 2015

Apa Nama Kereta Ku Ini?




Aku seorang pengeluar kereta. Seorang Bumiputera. Melayu, lebih tepat lagi. 
 
Sudah tentu aku seorang Islam- kerana aku telah beriman dengan mengaku, "Bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Tak percaya dengan lafaz syahadah ku itu, yang telah ku lafaz semenjak aku tahu menyebut perkataan-perkataan itu dengan betul, dan faham pula maksudnya, sehingga sekarang aku terus menyebutnya, paling tidak dalam solat fardhu lima waktu?

Jangan gatal mulut cuba minta bukti hitam putih tentang agama ku. Lihat saja Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di Malaysia, di situ keraguan akan terjawab dengan sendiri.

Aku Melayu, otomatik aku Islam. Dan aku beriman padanya. Habis perkara. Jangan tanya lagi.

Sekarang tiba giliranku untuk bertanya: Apa Nama Kereta Ku Ini?

Tunggu dulu. 

Dengar dulu tip yang aku nak  beritahu agar nama yang diberikan nanti menepati ciri-ciri sebuah kereta idamanku, kereta hasil daya fikir dan daya cipta seorang pengeluar kereta Bumiputera, seorang Melayu.

Kereta kebangganku dan kebanggaan umat Melayu!

Spesifikasi.

Ini amat mustahak. Dengar baik-baik.

Enjin: Dikuasakan sejukan air  (water cooled) dan sejukan angin (wind cooled).

Kuasa menggerakkan kereta: kuasa haibrid (hybrid) -menggunakan petrol + diesel + air. Boleh juga gunakan satu atau dua dari hybrid kuasa penggerak itu.

Hebat kan? Genius dari seorang anak Melayu. Air boleh di sera kan dengan minyak (air dan minyak boleh disatukan).

Think outside the box man! Paradigm shift!

Oh, mengapa garu kepala? Too technical?

Baik. Aku tahu. Aku faham, too technical bagi kamu semua. Sebab kamu bukan jurutera otomotif walaupun kamu dalam industri otomotif.

Ya, betul juga. Apa perlu ilmu itu sedangkan bisa saja kamu panggil jeh oo el oo untuk uruskan hal-hal teknikal.

Mengapa kamu sedikit tersengeh macam kerang busuk bila aku eja jeh oo el oo?

Ejaan itu bunyinya holo. Itu sebutan orang Sepanyol. Tiada kena mengena dengan kamu semua, yang hidup atau yang mati. Contoh saja.

Baik. Aku beri tip yang mudah kamu semua faham.

Kereta itu direkacipta untuk kelajuan yang tidak terhad. Maknanya apa? Maknanya, 'porah' dengan undang-undang had laju. Tak makan saman. 

Muatannya, maksud aku siapa atau apa yang boleh diisi - terdiri dari manusia dan bukan manusia yang eksklusif sekali.

Kemampuan mengisi minyak dan mengisi semula minyak -  Tangki boleh diisi penuh, tumpah pun tak mengapa. Boleh diisi dimana-mana stesyen minyak. Bukan itu saja, boleh diisi semula dari tangki kereta lain sambil bergerak, laju mahu pun perlahan, tak jadi hal.

Ini prototaipnya. Lihat saja reka bentuknya- aero dynamic. Badannya diperbuat dari bahan-bahan tempatan 100%. Besi dari kilang perwaja.

Sekarang aku minta kamu semua memberikan nama yang sesuai untuk kereta ku ini. Satu nama yang aku idam-idamkan, menjadi kebanggaaanku, orang Melayu, negara Malaysia.

Maaf, nanti dulu. Turunkan tangan mu. Satu perkara yang mesti aku beritahu, yang mesti aku beritahu, kereta ini hanya 1 , bukan satu-satunya, tapi hanyalah 1 pengeluaran anak Melayu  Dalam Banyak-banyak kereta yang ada.

Oiii, semua angkat tangan. Macam dah ada nama yang boleh menarik perhatianku.

Beginilah. Bila aku bercadang nak mengeluarkan kereta ini, telah tersemat di hatiku bahawa kerja ku mesti satu kerja yang dapat barakah. Maka semasa membuat prototaip ini aku telah minta seorang kawan baikku dari Timur Tengah untuk membaca doa. Aku boleh juga baca doa. Tapi lebih afdal jika doa itu orang Arab yang bacakan.

Ok. Apa nama keretaku ini?

'aaaaaaaahhhh.....macam pernah dengar jer!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan