Theflowersellingboy

Selasa, 11 Ogos 2015

Ku Sangka Panas Hingga ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengah Hari. Tapi Bukankah Langit Tak Sentiasa Mendung?




Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Tapi bukankah langit tidak sentiasa mendung? 

Ya, aku begitu optimis sekali. Bahawa langit itu tidak sentiasa mendung. Berarak lalu awan mendung ditiup angin, cerahlah bumi yang ku pijak.

Perlahan-lahan cahaya mentari menyuluh bumi.

Pukul 8 pagi, satu keputusan yang besar dan kritikal aku kena buat. Aku mesti mengambil kira berbagai faktor bagi menyokong keputusan yang bakal dibuat itu, agar hasil nya nanti menguntungkan aku. Aku tidak mahu rugi.

Aku mesti bertindak sebagai ahli perniagaan walaupun aku belum sampai ke tahap seorang tokoh koperat. Tapi aku tidak mahu jadi keparat. Tiada seorang pun yang suka jadi keparat. Orang yang bertaraf keparat tiada tempat dimata orang ramai.

Semalam dan beberapa hari yang lepas, hujan tidak berhenti-henti membasahi bumi. Langit sentiasa mendung. Tergendala dibuatnya banyak dari kerja di luar rumahku. 

Memesin rumput di sisi kiri, kanan dan belakang rumah ku jadi tergendala.  Pasu-pasu bunga yang di tumbuhi rumput tidak dapat diuruskan, susun aturnya pun tidak secantik mata memandang, tidak berkenan dihati.

Tapi ada juga baiknya hujan. Bil air aku akan berkurangan.

Keputusan yang aku perlu buat hari ini bukan fasal mahu buat kerja di luar rumah. Aku mahu lupakan kerja itu buat sementara waktu pada hari ini. Lagipun raya cuma akan menjelang pada minggu hadapan. Aku tidak perlu bergegas, masa masih panjang. Ada kerja lain yang lebih penting.

Macam mana hendak buat sesuatu keputusan agar matlamat dapat dicapai dengan sempurna, pada tahap yang optima. Maksud aku, dicapai dalam masa yang singkat, belanja yang minima dan hasil yang lumayan.

Ahh semua itu angan-angan dan ideal yang selalu diajar oleh para professor kewangan dan ekonomi. Mereka melihat dari segi kos dan faedah. Mereka membuat andaian seolah-olah dunia ini kaku. Tak boleh pakai cara professor itu.

Habis, bagaimana caranya untuk satu keputusan yang terbaik?

Lupakan itu dulu. Apakah sebenarnya yang aku hendak buat pada hari ini. Pada hari yang tidak mendung, pada ketika mentari  menyuluh bumi tanpa awan hitam yang menghalang.  

Sebelum bersara, 15 tahun sebelumnya aku kerap bertugas rasmi ke luar negeri melawat pejabat kedutaan Malaysia, mengkaji dan menyemak keperluan mereka agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

Banyak  negara yang telah ku lawat. Perancis, Jerman, Belanda, Itali, Switzerland, Austria, Maghribi, Libya, dan Mesir. England, sudah jadi macam aku balik kampong sendiri, kerap aku kesana. Lagipun, dua tahun aku menetap disana melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

Aku telah membuat banyak pelaburan semasa berada di negara-negara tersebut. Mana kan tidaknya, banyak yang berkenan di hati, selain ianya perlu. Duit di poket pun lebih dari cukup, elaun tugas rasmi amat lumayan sekali.

Di Belanda misalnya aku membeli sebuah meja hiasan panjang bersama tiga meja sisi yang dibuat dari bahan yang dipanggil 'ornet'. Aku pun tidak pasti salah atau betul sebutan dan ejaan bahan itu. Itu yang aku ingat, apabila aku diberitahu oleh pegawai kedutaan di The Hague, Belanda.

Di Perancis, aku beli sebuah jam digital. Sampai hari ini jam itu masih lagi berfungsi dengan baik, sebagai rujukan kepada telingaku agar meminta aku segera bangun bersyahur pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu Subuh setiap hari. Aku beli jam itu pada tahun 1976.

Macam-macam yang telah aku beli setiap kali aku berada di negara-negara yang aku lawati. Terlalu banyak wang yang telah aku keluarkan. Ini adalah pelaburanku.

Paling banyak aku melabur ialah semasa tinggal di England. Dua tahun lamanya. 

Aku beli sebuah kereta, walaupun sudah tua usianya tapi masih dibenarkan oleh pihak pengangkutan jalan raya England, Ministry of Transport (MOT) untuk berada di jalan raya. Harganya hanya 300 pounds saja, yang sama nilai 1500 ringgit pada nilai pertukaran 5 ringgit 1 pound.

Pelaburan ini berbaloi. Pulangannya lumayan sekali.

Aku pergi balik dari rumah ke universiti dengan kereta tua yang berjasa itu. Tidak perlu berjalan diusik kesejukan untuk dapatkan bas. Jimat masa dan wang ringgit berbanding kalau aku naik bas -dua kali tukar bas dari rumah ke 'u'.

Kereta tua itulah yang telah membawaku bersama 5 orang ahli keluarga ke Wales, Scotland dan beberapa tempat terkenal di England, berkemping bersama kawan-kawan, semasa cuti semester musim panas, dan memetik buah (fruit picking).

Menyeronokkan.

Paling aku berpuas hati ialah apabila kereta tua yang amat berjasa itu telah menarik hati seorang kawan, seorang junior. Berkenan pula dihatinya untuk memilik kereta itu. Lalu aku jual kepada kawan ku itu sebagai jualan selamat tinggal England untuk kembali ke Malaysia. Harganya cuma 150 pounds saja. Murahkan! Tapi wang jualan itu aku terima dengan senyum.

Banyak lagi yang telah aku labur. Tapi ianya aku tinggalkan kepada kawan-kawan yang masih meneruskan pengajian mereka. Tanpa bayaran.

Banyak juga yang aku bawa balik. 

Hari ini, entah macam mana aku terpandang sebuah beg lama diatas sebuah almari pakaian. Aku segera mengambil beg itu dan mahu membukanya. Tapi tidak semudah itu untuk membukanya kerana sudah lupa angka kawalan keselamtannya. Namun cuba punya cuba akhirnya dapat juga beg itu di buka.

Apa yang ada? Macam-macam, tapi sebahagian besarnya adalah pakaian. Ada juga berbagai cenderamata dan barang hiasan. Keadaannya tidaklah teruk sangat, masih boleh dipakai atau diletakkan sebagai hiasan rumah. Hanya yang perlu dibuat ialah membersih dan membasuhnya.

Membersih dan membasuhnya. Aku perlu tentukan ianya akan mudah kering. Hanya dengan adanya pancaran matahari, aku akan berjaya mencapai matlamat itu.

Jadi aku perlu buat keputusan sama ada mahu membersih dan membasuh pakaian dan barang dalam beg itu atau tidak. Ini satu keputusan yang besar dan kritikal untuk dibuat. 

Kerana barang dan pakaian itu aku beli dari luar negeri. Selain dari harga yang telah ku bayar, yang aku anggap sebagai pelaburan, ianya mempunyai nilai sentimental yang tidak ada ukuran dari segi wang.  

Inilah barang yang membawa berbagai kenangan yang mengingatkan aku cerita suka duka, pahit manis , sepanjang aku disana. 

Ahh 'overall' itu telah banyak melindungi aku dari kesejukan dalam perjalanan ke kampus.

Perlu aku basuh?

Aku menengadah. Langit diatas mula bertukar wajah dari cerah , terang benderang kepada perlahan-lahan menjadi gelap.

Rupanya langit tidak sentiasa cerah....ku harap panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Beg itu aku tutup dan letakkan semula ke tempat asalnya. Ia nya lebih selamat.

Bukankah eloknya jika kerajaan juga melakukan seperti apa yang aku lakukan sewaktu bercadang menubuhkan 1MDB -mesti mengambil kira persekitaran yang ada dan sentiasa mampu menjangka risiko yang mendatang. 

Lagipun, aku yang telah sedia ada pakaian, apa perlu aku membasuh pakaian dalam beg itu kerana ianya tidak akan kering dik langit yang bertukar wajah dari cerah menjadi mendung.

Apa perlu sebuah syarikat seperti 1MDB sedangkan negara telah sedia ada Khazanah Nasional Bhd yang tujuannya juga sama seperti yang mahu dilakukan oleh 1MDB iaitu untuk terlibat dalam pembangunan yang strategik.

Sekarang apa yang terjadi? Syarikat berhutang, negara dan rakyat yang menanggung beban. Kerugiannya lebih besar berbanding dengan kerugian yang aku hadapi jika aku terus membasuh dan membersih pakaian dalam beg itu.

Aku hanya rugi kerana tidak dapat pakai pakaian itu disebabkan matahari tidak ada untuk mengeringkannya.

Belajarlah dari aku sebelum membuat sesuatu keputusan.






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan