Theflowersellingboy

Rabu, 2 September 2015

PM DS Najib Tidak Mungkin Boleh Diturunkan Melalui Demonstrasi, Kata Tok Nujum Tanpa Tauliah.




Saya bukan tok nujum, dan saya pun tidak percaya pada tok nujum. Namun begitu saya nak buat telahan masa depan. Oleh itu jangan percaya sangat kerana hanya Allah saja yang tahu apa yang akan berlaku. Anggaplah telahan saya ini sebagai mainan sorok dan cari  (hide and seek) kegemaran anak kecil. 

Telahan saya tentang PM kita sekarang ini. PM kita selamat bertahta sehingga ke pilihanraya ke 14. Cerita ini dapat menggembirakan penyokong-penyokong PM. Tapi ingat, ini hanya nujuman saya, yang bukan ahli nujum.

Dalam masa yang sama, ini tidak bermakna BERSIH 4.0 telah gagal sepenuhnya. BERSIH 4.0 telah berjaya mengumpulkan bilangan rakyat yang ramai , menyatakan kepada PM dan kerajaan bahawa ada yang tidak kena dalam urus tadbir negara. Kerajaan tidak wajar mengambil sikap memandang rendah pengaruh BERSIH 4.0 dengan mengenepikan begitu saja tuntutan mereka.

PM tidak akan jatuh. PM tidak akan berundur. Itu saya yakin. Bukan kerana PM mempunyai sokongan yang kuat dari rakyat umum, tidak juga sokongan padu dari UMNO. Sehingga ke PRU 14, kita akan berPMkan DS Najib. 

Jadi buat sementara ini sehingga ke PRU 14, rakyat yang mahukan PM Najib berundur, wajar menelan rasa kecewa, sebaik-baiknya kita kata'bersabarlah' dulu. BERSIH 4.0, usah rasa serik kerja-kerja baik yang anda telah lakukan.

Tun Mahathir yang terlalu sangat hendakkan PM Najib berundur wajar rasa kecewa, kerana itulah matlamat sebenarnya beliau mengambil kesempatan gunakan pentas BERSIH 4.0. 

Tun Mahathir, bukan sangat bersetuju dengan BERSIH 4.0. Tetapi oleh kerana terlalu marah dengan PM Najib atas sebab-sebab beliau sendiri tahu, beliau mengorbankan prinsip yang dipegangnya dulu, bahawa demonstrasi bukan jalan penyelesaian mengurus atau mengatasi sesuatu masalah.

Sepatutnya Tun Mahathir sedia tahu bahawa usaha menjatuhkan PM Najib cara berdemonstrasi tidak akan berhasil, kerana beliau ada pengalaman menjadi PM selama 22 tahun.

Mana mungkin seorang PM Malaysia yang berkuasa boleh dibuang begitu senang melalui laungan dan pekikan suara rakyat waemah setengah juta rakyat menjerit siang malam berterusan selama 34 jam.

Kuasa PM Malaysia adalah kuasa mutlak walaupun secara berpura kita kata tiada siapa yang mengatasi undang-undang, semua sama, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan begitu. Yang tersurat dan tersirat tidak sama yang hakikat, iaitu apa yang sebenarnya berlaku.

Malaysia unik bukan? Yang nyata diperuntukkan dalam Perlembagaan boleh saja PM Malaysia mengecualikan diri.

Itu adalah sebab pertama mengapa PM tidak akan mampu diturunkan melainkan melalui pilihanraya, kerana PM ada kuasa mutlak.

Kuasa mutlak ini memanjangkan jangkauan tangan PM bukan saja terhadap Eksekutif, ianya boleh mencengkam Parlimen dan Kehakiman. Agensi-agensi penguatkuasa dan yang lainya, adalah dibawah taklukan PM , terlalu kecil untuk tidak bersama atau menurut telunjuk dan arahan PM.

PM boleh mengadakan pertuduhan, mengarah siasatan, mendakwa dan membicarakan serta mempengaruhi keputusan perbicaraan. Sebalik dari itu, PM boleh melepaskan sesiapa saja yang berkenan di hati atau melepaskan diri dari proses-proses perundangan itu, jika berlaku apa-apa salah laku atau perbuatan yang sejenis dengan itu.

Apa kata PM, jarang sekali dibantah khususnya dari kalangan satu parti atau gabungan parti-parti, BN. Membantah dan menggeleng kepala saja akan menerima sergahan dari ahli-ahli lain dengan amaran tindakan kerana tidak bersama dengan PM. PM adalah ketua yang mesti diberi taat setia.

Tapi, amaran itu berhujahkan bahawa berbeza pandangan dengan PM tidak ada salahnya, cuma mesti berkhemah dan beradab.

Seronok kan jadi PM Malaysia!

Kuasa yang mutlak memudahkan PM meneruskan budaya parti yang telah diterima, diamal dan selalu diingatkan kepada ahli parti, bahkan sentiasa mahu diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia.

Budaya itu ialah budaya MENGENANG BUDI dan BERTERIMA KASIH. Bersyukurlah kamu semua atas segala jasa dan pertolongan yang telah diberi!

Ini adalah sebab kedua yang menjadi penghalang kepada hajat mana-mana pihak untuk menyingkirkan PM.

Tidak boleh dinafikan terutama dikalangan ahli, lebih-lebih lagi ahli yang diberi kedudukan dalam parti atau kerajaan, banyak budi dalam berbagai bentuk yang telah dinikmati. Jangan pula mahu ambilkira cara budi itu diterima dengan melihat dari segi hukum halal haramnya, teratur atau tidaknya dari segi undang-undang atau nilai moralnya.

Budi tetap budi walau bagaimana pun cara ia diterima, ianya patut disyukuri, diucapkan terima kasih dan wajar dikenang. Jasa mu tetap dikenang.

Siapakah dalam Malaysia ini yang mampu memberikan semaksima budi kalau tidak PM sendiri. 

Kata orang politik yang pernah saya dengar, salam orang politik adalah salam berisi. Mengambil dari kata-kata itu, tidaklah keterlaluan untuk merumuskan bahawa nilai 'isi' dalam salam seorang perdana menteri tidak mungkin dapat ditandingi oleh seorang menteri biasa. Jika sebaliknya berlaku, secara protokol ianya satu tindakan melawan ketua.

Melawan ketua, termasuk berbeza pendapat dengan PM atas apa garisan sekalipun, waemah atas garisan hak dan benar, adalah satu taboo, satu dosa politik yang amat besar, padahnya hilang tempat dan kedudukan -hilang lesaplah semua kesenangan dan keselesaan hidup.

Ini bukan kata-kata imiginasi yang terbentuk dari sakit hati dan dengki. Ini adalah realiti dengan bukti. Yang terbaru adalah penyingkiran TS Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana tidak sejalan dengan PM DS Najib. 

Tidak beradab dan berkhemah? Khabar berita dari TSM sendiri bahawa ianya dilakukan secara empat mata, cara yang beradab dan berkhemah.

Peristiwa PM, DS Najib memecat Timbalannya, TSM ini adalah satu ulangan cerita. Cerita yang sama telah dilakukan juga oleh perdana menteri Malaysia yang lain, khususnya Tun Mahathir dalam kes melibatkan timbalannya Tun Musa Hitam dan DS Anwar Ibrahim. 

Budaya politik BN khususnya UMNO ialah taat setia yang tidak berbelah bagi kepada ketua iaitu Perdana Menteri. Apa kata ketua itulah kata orang dibawah, sama ada secara sukarela mahupun tidak rela tetapi terpaksa, demi kedudukan.

Kesimpulannya ialah bahawa usah bermimpi untuk menjatuhkan PM dengan cara demonstrasi seperti yang dilakukan oleh BERSIH 4.0. Tun Mahathir telah membuktikannya. Sebab itu beliau boleh berkuasa selama 22 tahun.

Tapi mengapa Tun Mahathir terlibat sama dalam demonstrasi BERSIH 4.0? Bukankah beliau mahu menyingkirkan PM DS Najib?

Benar, itu hajatnya. Namun dalam ketaksuban untuk mencapai hajatnya, Tun telah meninggalkan prinsip-prinsip yang dia sendiri percaya dan bina.

Tunggulah sehingga PRU 14. Usahakan sebaik-baiknya untuk memastikan PM sekarang DS Najib tidak lagi menjadi PM.

Ini adalah pandangan dari tok nujum yang tiada tauliah.

 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan