Theflowersellingboy

Ahad, 23 Ogos 2015

Semakin Kalut Sekarang Ini . Nasib Baik Ada Tukang Karut.

Semakin melalut sekarang ini. Dia terlalu amat kalut. Nasib baik dia ada tukang karut.

Ianya bermula hanya dengan satu persoalan yang perlukan jawapan 'ya' atau tidak.  Tapi sekarang sudah melalut.

Bila ditanya dia jadi bingung, sebingung-bingungnya. Macam mana  boleh jadi bocor sedangkan hanya dia seorang saja yang terlibat yang jadi penerima, bukan dua atau lebih dari satu. Ertinya  kalau bocor mesti dari mulutnya sendiri, bukan orang lain.  

Dia tahu, dia tidak melakukannya. Mengapa perlu orang lain tahu? Tidak perlu, orang lain tidak perlu tahu kerana tidak ada untungnya, malah merugikan saja.

Bila bocor, ramai pula yang datang bertanya. Kawan , yang rapat dan yang jauh dihati juga mahu tahu benar kah begitu kisahnya. Bertalu-talu soalan ditanya, secara  empat mata, dalam kepungan empat dinding, dengan cara sopan dan beradab meminta pengesahan benarkah kisah yang bocor itu.

Dia buat bisu saja, angguk tidak gelengpun tidak. Biar kawan-kawan yang bertanya itu naik muak, jadi bosan. Dia percaya lama kelamaan kawan-kawan itu akan berhenti bertanya.

Tapi tidak begitu rupanya. Kawan-kawan itu masih lagi bertanya mahu tahu duduk perkara tentang cerita bocor ini. Kawan-kawan itu berhujah mereka tidak tahan akan perli memerli dari orang disebelah sana, yang sudah lama menjadi musuh ketat. Muka mereka sudah cukup tebal menanggung malu.  

'Fitnah'!  Ya, ini semua fitnah.

'Fitnah' ! Kawan-kawan mula mengulang kata-kata itu, menjaja ke sana ke sini, tidak ada saat untuk berhenti.

Selesai. Beres dengan kawan-kawan. Tidak perlu jawapan 'ya' atau 'tidak'. Cukup dengan memberitahu mereka bahawa perihal dalam bocor itu adalah fitnah semata-mata dari musuh-musuh yang jahat yang mahu menggulingkannya. 

Tapi dia ada masalah lagi. Masalah dari tuan guru yang mengajarnya dulu. Tuan guru tersangat marah padanya, berpatah arang berkerat rotan. Tidak boleh disambung lagi.

Mengapa tuan guru itu tersangat marah kepadanya. Tidak mungkin kerana masih kurang ilmu yang telah dipelajarinya dulu. Rasanya dia telah khatam dan sempurna menuntut ilmu dari tuan guru. Lihat saja ijazah dalam frem berukir emas melekat di dinding bilik tamu yang sentiasa menjadi ilham pada kawan-kawannya yang lain untuk menjadi seperti dia.

"Tidak kah itu bukti aku telah khatam dan sempurna mendapat ilmu dari tuan guru?", Bisik hatinya tanpa mahu tunggu jawapan, kerana dia sudah tahu.

Tuan guru tersangat tidak berpuas hati kerana dia tidak sepenuhnya taat, patuh ilmu yang telah diturunkan.              

"Mana boleh wang itu masuk dalam akaun peribadi. Itu wang untuk organisasi, untuk parti, untuk sama berkongsi", rungut tuan guru sebaik saja diberi tahu oleh seorang kawan yang dapat mengutip cerita dari bocor itu. 

"Wang amanah, mana boleh seorang saja yang tahu. Mesti ada dua atau tiga yang uruskan", dia semacam terdengar suara marah tuan guru.

Tiba-tiba dia dapat satu pertolongan dari seseorang yang ghaib, halimunan sifatnya. Orang itu wujud namun kewujudannya tidak begitu penting. Cukup dengan hanya mengatakan orang itu berada nun di sana di padang pasir sedang menabur wang ke mana dan di mana dia suka.

Dia terima derma tidak terkira banyaknya kerana dia adalah orang yang telah berjasa dalam perjuangan menentang musuh halimunan itu.

"Apa salah terima derma?" Segera seorang dari tukang karutnya menjerit, melaung sekuat hati.

"Lagipun derma ini adalah kerana jasa. Tak salah diberikan pada diri orang yang berjasa", seorang lagi tukang karut menjaja cerita ke seluruh negara, satu malaysia sudah ambil maklum. 

Tapi tuan guru ini, sifatnya sebagai tuan guru tidak mahu berundur kalah. Mengalah pada anak murid adalah satu penghinaan, menurut disiplin ilmu perguruannya. 

"Siapa dulu makan garam?" Satu pertanyaan seumpama senjata ampuh untuk menyerang balas dalam sessi berhujah. "Siapa dulu jadi bos?" 

Dia masih mahu bertahan. Apatah lagi dia punya banyak tukang karut. 

Apabila dia nampak ada tanda-tanda keletihan pada tukang karut, dengan segera proses isi semula dilakukan, seperti menambah petrol Ron 97 dalam tangki kereta yang tersenggut-senggut menaikki bukit. Top-up talipon jenis khidmat bayar-dulu perlu segera dibuat.

Dia beri makan dan minum pada tukang karut-tukang karutnya itu untuk memulih dan mendapat stamina yang lebih, agar menjadi segar dan tegar kerana kerja-kerja mengarut perlu diteruskan. Serangan dari tuan guru dan musuh yang lain wajib dipatahkan.

Dia lihat ada sedikit kesan cara bertahannya. Tuan guru sedikit longlai, serangannya walaupun bertubi tapi tidak banyak yang dapat mengena dan mencederakannya. Dia masih dia lagi. Masih bertahta diistana.

Tiba-tiba dia dapat berita dari juak-juaknya, yang sekarang lebih merasa mesra dan mulia dipanggil macai bahawa tuan guru telah berpaling tadah. 

Tuan guru telah bersekongkol dengan musuh ketatnya. Musuh ketat yang dulunya juga musuh tuan guru.

Khabar tidak baik menyampaikan bahawa tuan guru telah mengadakan kesepakatan dengan musuh untuk menjatuhkan, menyingkirnya dari terus bertahta. 

Sesungguhnya berita ini amat membimbangkan kerana dia tahu perangai tuan guru itu -ke lubang cacing akan dicari, jika dia mahu berlindung di situ. Apatah lagi kerja mencari lubang cacing itu bertambah mudah dengan bertambahnya bilangan orang yang mahu turut mencarinya.

Dia perlu satu cerita lagi untuk tukang karut. Cerita yang menyentuh rasa, meraih dan mengumpul simpati. Dia tahu bahawa sekeras mana pun hati orang Melayu, sebenci mana pun orang Melayu terhadap sesama sendiri, se alim mana pun orang Melayu, orang melayu itu mudah saja dicairkan hatinya, dan digelincirkan kealimannya, hanya cukup dengan dua hal saja.

Katakan lah kepada orang melayu bahawa tuan guru yang telah berpaling tadah itu, dan yang telah bersepakat dengan musuh adalah sebenarnya bekerja bagi pihak Yahudi dan orang Cina DAP, untuk menyingkirkan dia.
  
Hancurlah kita! Hancurlah Islam! Runtuhlah istana!

Ini adalah senjata yang ampuh, sebagai pertahanan terakhir bagi menyerang tuan guru dan geng barunya. 

Dia tahu senjata ini amat berkesan kerana telah diuji dan tahan diuji yang telah juga digunakan oleh tuan guru itu sehingga berjaya kekal diatas tahta selama 22 tahun.

Dari mana ilmu diperolehi kalau tidak dari guru sendiri. Dia mula senyum lebar.

Maka berkatalah tukang karut, "Bahawa kerja menyingkirkan ketua kita ini adalah kerja yang dibayar oleh Yahudi dan Cina DAP. Mereka mahu jatuhkan kepimpinan Melayu dan Islam".

Tukang karut terus mengarut dan melalut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan