Theflowersellingboy

Sabtu, 15 Ogos 2015

Menyediakan DiriUntuk Menghadapi Pilihanraya.




Jangan cepat buat kesimpulan mengatakan pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat. Tajuk diatas tidak sekali-kali membawa perutusan seperti itu. Jauh panggang dari api, sejarak antara bumi dan langit.
 
Siapa kah saya? 
 
Saya bukan PM yang boleh menentukan bila pilihanraya boleh diadakan. Tidak juga Suruhanjaya Pilihan Raya yang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai berkaitan tarikh pilihanraya. Saya juga bukan penganalisis politik yang berkemahiran yang ada ilmu, maklumat dan fakta serta yang melakukan banyak kajian tentang politik dan pilihanraya.
 
Jadi mengapa mahu kacau daun dalam bidang di luar daya kemahiran dan penguasaan saya?
 
Saya tidak kacau daun. Biar mereka buat kerja mereka. Tapi saya tidak mahu hanya duduk melopong. Tambah-tambah lagi keadaan negara kita sekarang terlalu kencang dengan cerita politik walaupun kita baru saja (2013) mengadakan pilihanraya.
 
Saya adalah warga Malaysia. Saya adalah rakyat Malaysia yang layak mengundi sekali gus undi saya merupakan sebahagian dari undi yang boleh diambilkira dalam menentukan parti mana yang layak membentuk kerajaan , menjadi pemerintah.
 
Saya inginkah sebuah kerajaan yang boleh memberi menfaat kepada saya, kepada rakyatnya. Bukan sebuah kerajaan yang hanya memberi peluang kepada sebahagian kecil yang ada kuasa, dan sebahagian kecil rakyat yang dekat dengan yang ada kuasa, untuk memonopoli harta dan kekayaan negara. Saya tidak mahu sebuah kerajaan yang mahir dalam silap mata dari segi kata-kata dan tindakan.
 
"Rakyat di Dahulukan , Prestasi di Utamakan". 
 
Bertepuk tanganlah rakyat yang terbatas sumber maklumat, yang sebahagian besarnya tidak mempunyai pendidikan yang baik dan tinggal di perjauhan yang serba kekurangan dari segi capaian (akses) kepada berbagai infrastruktur dan keperluan bagi mengecapi satu tahap dan gaya hidup sebagai rakyat dalam sebuah negara yang sudah lama merdeka.
 
Mereka (rakyat yang bertepuk tangan itu) adalah terdiri dari kategori yang tidak banyak soal jawab, hidup sekadar yang ada, yang sentiasa di minta untuk bersyukur dan berterima kasih kepada setiap khidmat dan bantuan yang diterima. 
 
Mereka juga tidak menjadikan hak mengundi sebagai cara untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat demi menfaat dan kesejahteraan rakyat, yang bertanggungjawab kepada rakyat. 
 
Bagi rakyat seperti itu, nilai hak mengundi itu  sudah cukup di penuhi dengan kata-kata seperti diatas. 
 
Bagi meeka,  kata-kata itu sungguh menawan sekali. Apatah lagi sekali sekala, dalam musim pilihanraya, kata-kata itu disusuli dengan tindakan konkrit sebagai bukti bahawa janji ditepati.
 
Maka berkatalah yang punya kuasa, "Kadar pemberian BR1M dipertingkatkan lagi. Bilangan yang menerima BR1M semakin bertambah. Mereka yang dapat BR1M mencecah RM 7 billion".
 
Maka cairlah hati rakyat itu. 
 
Dengan sikap totok, tanpa ragu-ragu, tangan rakyat itu terus memangkah calun yang melunakkan hatinya dengan kata-kata seperti diatas itu dan pemberian BR1M yang amat  diperlukan, tanpa ada soalan sama ada diperingkat awalan mahupun susulan.
 
Rakyat itu tidak pernah bertanya:
 
Apa itu rakyat didahulukan? Kemudian menyusul dengan soalan:
 
Jika benar rakyat di dahulukan mengapa hidup mereka dalam sebuah negara yang telah merdeka lebih 56 tahun, sebuah negara yang kaya dengan sumber alam masih lagi terhimpit, capaian kemudahan awam seperti sekolah, hospital, yang terhad dan tidak sempurna; mengapa peluang kerja begitu kecil dan setengah kawasan tidak wujud?
 
Mereka tidak akan tanya sama ada pada hari-hari biasa mahupun pada hari kempen meraih undi atau sewaktu mengundi.
 
Dari mula sehingga ke akhir dalam kehidupan mereka, soalan bertanyakan tentang kebertanggungjawaban mereka yang berkuasa tidak pernah ditanya.
 
Apa perlu tanya, bukti sudah ada: janji yang dibuat telah di tepati dengan pemberian BR1M.
 
Tapi mereka lupa, mengapa banyak dari mereka yang menerima dan memerlukan BR1M?
 
Mereka tahu mereka miskin. Tapi soalan seperti diatas tidak pernah ditanya.
 
Mainan silap mata dalam bentuk kata-kata dan pemberian bantuan sekali sekala khususnya semasa pilihanraya telah menutup akal mereka untuk bertanya adakah itu saja kerja kerajaan yang dipilih?
 
Oleh itu untuk memilih sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat, rakyat sendiri mesti menyediakan diri sendiri seolah-olah kita mahu masuk perang atau pertandingan. Mesti tahu apa perang yang kita hadapi atau  apa pertandingan yang kita masuki.
 
Dalam hal mengundi bagi memenangkan parti yang kita ingin membentuk sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, ilmu  yang berkaitan dengan harga sebuah undi perlu diketahui dan di gunakan bagi mendapat menfaat yang terbaik bagi diri dan negara.
 
Bagi  saya ilmu itu akan memberitahu kita bahawa dalam memilih sebuah kerajaan yang mahu mengambil tanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab dengan baik demi rakyat, ketepikan emosi,  sebaliknya gunakan akal yang waras.
 
Apa itu akal yang waras? 
 
Akal yang apabila kita gunakan ianya tidak memberikan banyak kesan yang buruk kepada kehidupan kita, dan seterusnya negara.
 
Fikiran yang waras tidak menjadikan emosi sebagai faktor utama dalam membuat keputusan semasa membuat pilihan parti atau calun yang hendak dimenangkan.
 
Emosi tetap ada, tidak mungkin dapat di ketepikan begitu saja. Tetapi emosi tidak dijadikan faktor utama dalam membuat keputusan.
 
Contoh: 
 
Emosi dari sudut bangsa dan agama. 
 
Sudah tentu susah untuk diketepikan begitu saja dalam membuat pertimbangan. 
 
Tapi jika parti atau calun itu tidak menepati atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab demi kebaikan rakyat walaupun dianya atau parti itu mengatakan berjuang atas nama bangsa agama seseorang pengundi itu , pengundi itu hendaklah menggunakan akal yang waras menolak calun atau parti itu. 

Apatah lagi jika emosi itu terlalu lebih di mainkan sehingga ke tahap menakut-nakutkan yang dikatakan boleh membahayakan keselamatan dan survival sesuatu bangsa dan institusi yang sangat dekat di hati pengundi itu. 

Tolak mentah-mentah jika ada calun dan parti memainkan emosi yang berlebihan seperti diatas. Ianya tidak baik kepada rakyat dan negara.
 
Sebenarnya rakyat boleh membuat keputusan secara waras.
 
Kita bukan baru berkerajaan sendiri. Kita telah melalui sudah 13 kali pilihanraya. Mempunyai kerajaan dari parti yang sama.
 
Nilailah prestasi kerajaan itu dengan waras dan bukan di bebani dengan pertimbangan emosi. 
 
Pertimbangan yang waras akan mengambil kira fakta dan maklumat yang tepat yang boleh di pertanggungjawabkan, bukan berdasarkan khabar angin atau gula-gula politik sama ada dari yang mahu kekalkan kuasa atau yang mahu dapatkan kuasa.
 
Misalnya dalam mengukur prestasi kerajaan dan khidmat kepada rakyat, rujukan boleh dibuat antaranya:
 
i) Laporan Ketua Audit Negara.
ii) Keadaan kehidupan harian - kos sara hidup, tempat tinggal, makanan dan pakaian yang mampu dibeli, peluang pekerjaan, capaian kepada kemudahan awam dan banyak lagi
iii) Perbincangan pihak-pihak yang berkepakaran yang terlibat dalam isu-isu kepentingan negara.
 
Pilihanraya akan tiba. Soal bila, biarlah pihak yang ada autoriti menentukan. Yang penting bagi pengundi ialah menyediakan diri untuk mengetahui bahawa hak mengundimereka terlalu amat berharga, dan jangan disia-siakan.
 
Tidak perlu mengeluh apabila kerajaan yang kita pilih akhirnya mengecewakan kita.  
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan