Theflowersellingboy

Jumaat, 21 Ogos 2015

Yang Salah Itu Jelas, Yang Betul Pun Jelas. Tapi Mengapa Yang Salah Itu Dilindungi.



 
Rasanya saya amat jelas sekali tentang apa yang di kategorikan sebagai rahsia kerajaan yang apabila dibocorkan terutama kepada pihak musuh boleh memudharatkan kepentingan dan keselamatan negara. Pembocor maklumat itu wajar diambil tindakan di dibawah OSA.
 
Dan saya faham bahawa kepentingan kerajaan itu tidak sekali-kali bermaksud bagi melindungi kepentingan individu. Ertinya maklumat itu tidak sesekali untuk melindungi kepentingan individu.
 
Namun begitu, perkembangan yang begitu panas ketika ini boleh membuatkan ramai orang bertanya: Apakah sebenarnya kepentingan negara boleh dikorbankan demi kepentingan individu?
 
Maksud saya, demi kepentingan pihak tertentu, maklumat tentang salah laku dan penyelewengan dalam tadbir urus negara menjadi haram diketahui (menjadi kesalahan kepada rakyat mengetahuinya) oleh rakyat walaupun perbuatan salah urus dan penyelewengan itu boleh merosakkan negara dan kepentingan rakyat.
 
Saya percaya, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak keliru dan dapat membezakan diantara yang hak dengan yang batil. 
 
Dengan demikian maklumat-maklumat tentang salah laku dan penyelewengan dalam urus tadbir negara adalah terlalu penting untuk rakyat mengetahui agar rakyat dapat bersama-sama terlibat dalam menentukan penyelewengan itu tidak berterusan dan perlu diberhentikan serta merta.
 
Tetapi tidak sedemikian halnya di negara kita ini. Maklumat seperti itu sudah dikategorikan sebagai 'haram' atau menjadi kesalahan jika berada dalam pengetahuan rakyat.
 
Walaupun rasa membuak rakyat begitu tinggi untuk terlibat sama dalam membenteras yang batil dan memperjuangkan yang baik, demi kepentingan negara dan rakyat, ianya dianggap sebagai menjadi ancaman kepada kepentingan negara. Pelik?
 
Saya tidak pelik. 
 
Kerana disana ada dasar bertujuan untuk menjaga kepentingan diri atau sebahagian kecil puak yang berkepentingan mengekalkan kuasa.
 
Jadi soal rakyat mahu tahu apa yang benar dan apa yang tidak benar, bukan satu perkara yang penting dan perlu ditunaikan. Pihak mana berada dilandasan benar dan pihak mana yang tergelincir dari landasan yang benar, bukan satu keperluan untuk ditentu dan dikenal pasti.
 
Maka sia-sia saja kewujudan badan-badan penguatkuasa yang bertanggongjawab antara lain bagi mencegah penularan perbuatan-perbuatan batil yang merosakkan negara dan merugikan rakyat.
 
Bahkan badan-badan itu tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lancar, berkesan- bebas dari berbagai halangan dan tekanan.
 
Amat malang sekali fenomina seperti ini berlaku di negara kita yang sentiasa diwarwarkan sebagai negara Islam. Negara Islam yang berwasatiyah, yang mengamalkan maqasid syari'ah dan yang mempunyai indeks syari'ah dalam urusniaganya.

Ertinya tadbir urus negara yang sepatutnya berpandu kepada perkara-perkara diatas yang asas rujukannya ialah sentiasa melakukan yang baik dan mengenepikan yang tidak baik, hanya sedap dimulut saja, bukan pada amalannya. 
 
Ketinggian moral dan sifat berintegriti sebagai syarat penting dalam mengambil tugas dan amanah rakyat, hanya menjadi mainan seruan dan kata-kata di galeri awam saja. Ianya bukan sesuatu yang penting yang perlu dipatuhi.

Keadaan seperti ini membuatkan fikiran kita melayang ke negara Jepun, Korea, dan negara maju di barat dan Amerika Serikat.
 
Kita tertanya-tanya mengapa pemimpin negara-negara tersebut, segera melepaskan jawatan apabila saja mereka dikatakan terlibat dalam sesuatu salah guna atau skandal, sedangkan mereka itu bukan pemimpin Islam.
 
Bukan saja setakat melepaskan jawatan, ada yang mengambil nyawa kerana terlalu malu akan perbuatan yang mereka lakukan. Terlalu 'aib bagi mereka untuk berhadapan dengan rakyat.
 
Tetapi  di negara kita perkara yang lebih di pentingkan ialah menghukum pihak yang mahu membenteras dan mencegah kemungkaran kerana pendedahan perbuatan yang mungkar adalah satu kesalahan. Perbuatan melindungi atau mempertahankan kemungkuran tidak dianggap sebagai sesuatu yang mengaibkan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan