Theflowersellingboy

Selasa, 11 Ogos 2015

1MDB: Adakah ditubuhkan bagi maksud politik? Dan adakah politik itu satu seni yang jahat?




Politik adalah seni serba mungkin.
 
Itu yang selalu diperkatakan banyak pihak. 
 
Saya tidak bersetuju secara total politik adalah seni serba mungkin, jika ianya dikuti secara dogmatik, sebagai jalan untuk mengizin dan menghalalkan kejahatan atau kedurjanaan, dan mahu lari dari realiti.
 
Cukup setakat itu komen saya tentang  sifat politik itu, yang dianuti oleh banyak orang.
 
1MDB dan politik, macam isi dengan kuku, tidak boleh dipisahkan. Kekecuhan yang belum reda tentang 1MDB juga adalah kerana politik.
 
1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan kerajaan  dibawah Kementerian Kewangan (milikan penuh) bagi tujuan untuk terlibat dalam sektor pembangunan strategik.
 
Ertinya asas penubuhan 1MDB adalah bertujuan untuk membangunkan negara, menghasilkan pertumbuhan ekonomi. Bukan atas dasar pertimbangan politik.
 
Sebelum 1MDB telah sedia ada satu syarikat pelaburan bagi tujuan yang sama iaitu Khazanah Nasional Bhd.
 
Kedua-dua, Khazanah dan 1MDB ini adalah syarikat pelaburan strategik negara yang dibiayai dari dana simpanan kerajaan (sovereign wealth fund -simpanan (resereves) lebihan hasil kerajaan).
 
Jika demikian, kita boleh tanya: Apakah Khazanah Nasional Bhd, telah gagal, kurang berkesan atau sudah kehabisan kapasiti sehingga memerlukan sebuah lagi syarikat di tubuhkan bagi maksud yang sama?
 
Soalan diatas boleh dilanjutkan: Adakah ada tujuan lain berselindung disebalik kepentingan pembangunan ekonomi? 

Seperti yang saya katakan diatas, kaitan 1MDB dan politik adalah  macam isi dengan kuku. Kekecuhan 1MDB juga adalah disebabkan politik.
 
Saya tidak mahu bermula dengan mengaitkan parti pembangkang, dalam hujah saya. Cara itu adalah satu yang tipikal yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini. 
 
Apa saja masalah atau isu yang menjadi beban, yang boleh mencemarkan kerajaan, pembangkang adalah sasaran pertama kerajaan. Jari telunjuk dengan cepat menuding pembangkang yang suka buat fitnah, konon.

1MDB tidak dibiayai dari simpanan kerajaan (lebihan hasil kerajaan) seperti yang sepatutnya. Ianya dibiayai melalui hutang, dalam berbagai bentuk- misalnya melalui pinjaman langsung dan instrumen hutang seperti bon yang dijamin/sokong oleh kerajaan.
 
Selain mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan perdagangan, 1MDB juga mendapat pinjaman dari Dana kepentingan awam seperti Kumpulan Wang Pesara.
 
1MDB berserabut dengan hutang, dan operasinya tidak atau masih belum menjana keuntungan. Maka syarikat itu tidak mampu untuk membayar faedah hutang , yang kena dibayar. Kerajaan terpaksa masuk campur bersetuju menyelamatkan syarikat ini.
 
Ringkasnya, syarikat ini menghadapi masalah kewangan. 
 
Maka timbullah dakwaan tentang ketidakaturan dalam pengurusaan syarikat termasuk penyelewangan kewangan.
 
Sepatutnya, kerajaan lebih khusus lagi Kementerian Kewangan, dan lebih tepat lagi Menteri Kewangan mengambil langkah tertentu bagi membetulkan keadaan seperti yang didakwa. 
 
Sebaliknya , kerajaan lebih berminat menafikan, malah mempertahankan dengan mengatakan 1MDB tiada masalah kewangan, asetnya yang dinilaikan sebanyak RM 51 billion lebih dari mencukupi bagi menghadapi liabiliti RM 42 billion.
 
Laporan dari World Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) yang mendakwa berlakunya penyelewangan dalam 1MDB juga sehingga kini dikatakan sebagai fitnah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
 
Namun begitu, sehingga kini, kerajaan masih lagi belum mendakwa WSJ dan SR atas fitnah yang dikatakan itu.
 
Menurut laporan WSJ dan SR bahawa sejumlah wang bernilai US700 juta bersamaan RM 2.6 billion tleh masuk ke dalam akaun peribadi PM.
 
Tiada penafian dari Menteri Kewangan yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tentang dakwaan itu, tetapi menyatakan bahawa beliau tidak pernah menggunakan wang rakyat bagi maksud peribadi.
 
Ada yang mentafsirkan bahawa tiada penafian itu bermaksud dakawaan WSJ dan SR itu adalah benar -wang sejumlah RM2.6 billion masuk dalam akaun peribadi PM.
 
Namun begitu, PM dan beberapa menteri dan penyokong memberitahu bahawa PM tidak sebodoh itu untuk memasukkan wang yang didakwa itu ke dalam akaun peribadinya.
 
Kemudian, mengaku bahawa wang itu adalah dalam bentuk derma dari pihak tertentu. Wang itu adalah derma bagi maksud politik.

SPRM setelah menyiasat mengesahkan wang itu adalah derma dari dermawan Timur Tengah yang identitinya tidak boleh didedahkan.
 
Pembangkang dan mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan khususnya PM terus memberi tekanan agar PM letak jawatan atau bercuti untuk memudahkan penyiasatan dijalankan.
 
Sama ada derma politik itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang negara, hanya pihak yang ada otoriti saja yang layak menentukan. 
 
Yang pasti dan jelas ialah wang RM2.6 billion itu telah diakui digunakan untuk maksud politik. Semua orang/pihak telah mendengar pengakuan itu dari PM dan beberapa orang menteri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 
Jadi 1MDB ditubuhkan adalah bagi maksud politik. Bolehkan kita kata begitu? 
 
Saya berat untuk mengatakan begitu berbanding dengan maksud pembangunan ekonomi negara kerana selain dari pengakuan tentang pengunaan wang 'derma' RM2.6 billion itu, 1MDB kelihatan tidak diuruskan bagi menjana keuntungan walaupun diberi layanan istimewa misalnya membayar premium tanah kerajaan pada harga yang rendah dari nilai pasaran, dan pinjaman dijamin/disokong oleh kerajaan.
  
Jika benar begitu, politik adalah seni yang jahat yang membenarkan/mengizinkan kejahatan dan kedurjanaan dilakukan, merosakkan negara dan menjejaskan kepentingan rakyat.
 
Saya tidak percaya itu tujuan politik. Yang percaya adalah mereka yang suka buat jahat. Maka politik digunakan bagi maksud menghalalkan kedurjanaan mereka.
 
 

 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan